Banyak Pakaian Lama Dalam Simpanan? Ini Apa Anda Boleh Buat
Apakah yang selalu anda buat pada pakaian lama yang sudah tidak digunakan lagi?
Adakah anda menjualnya? Atau buang sahaja di tong sampah?
Industri fesyen sememangnya adalah penyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Ia merupakan pencemar kedua terbesar di dunia, sejurus selepas industri minyak. Dan kerosakan persekitaran semakin meningkat seiring dengan perkembangan industri.
Namun, ada jalan penyelesaian dan alternatif untuk mengurangkan masalah ini. Langkah pertama terletak pada membina kesedaran dan kesediaan untuk berubah. Oleh itu terdapat beberapa jenama dan juga NGO telah melaksanakan program kitar semula pakaian.
Uniqlo
Jenama ini sangat terkenal dengan rekaannya yang moden dan minimalis. Bukan itu sahaja, Uniqlo juga membawakan pakaian yang berkualiti dengan harga yang berpatutan untuk lelaki dan juga wanita.

Bercakap mengenai jenama ini lagi, selain menampilkan jenis pakaian yang baru, ia juga hadir dengan Program Kitar Semula yang mana mengumpulkan pelbagai pakaian yang tidak lagi dipakai untuk diedarkan kepada pelarian, mangsa bencana dan lain-lain yang memerlukan di seluruh dunia.
H&M
Selain itu, H&M turut menjalankan inisiatif pengumpulan pakaian global dalam usaha mendapatkan “masa depan fesyen yang lestari”.
Syarikat itu menerima sebarang jenama pakaian dan fabrik terpakai seperti stokin, cadar dan macam-macam lagi.
Pelanggan boleh membawa maksimum dua beg setiap kali berkunjung ke H&M dan setiap beg harus berisi minimum lima helai pakaian. Untuk lebih menarik lagi, pelanggan juga boleh mendapatkan baucar diskaun 15%.
Monki
Monki adalah sebuah label pakaian di bawah jenama H&M. Monki turut mengumpulkan pakaian lama walaupun tidak termasuk di bawah label Monki. Walau bagaimanapun, Monki dilihat tidak akan menerima dan mengumpul pakaian dalam atas faktor kebersihan.
Seperti H&M sebelum ini, pelanggan boleh membawa maksimum dua beg sehari dengan minimum lima helai pakaian di setiap beg dan seterusnya memperoleh baucar diskaun 10% untuk pembelian seterusnya di kedai.
Kloth Cares
Kloth Cares adalah gerakan keusahawanan sosial yang dilancarkan pada tahun 2016 dengan tujuan menguruskan dan mengurangkan pencemaran fabrik kepada alam sekitar.

Setakat ini, Kloth Cares mempunyai lebih 280 tong kitar semual yang diletakkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. Bagi yang berminat, anda boleh menyumbangkan pakaian, aksesori pakaian, tekstil rumah, kasut, mainan kanak-kanak, sisa kain (lebih dari 1 meter) dan beg.
Layari Laman Rasmi Kloth Cares
iCYCLE Malaysia
iCycle Malaysia menjalankan program kitar semula yang menawarkan mata ganjaran. Anda boleh mengumpulkan pakaian lama dan kemudiannya susun, timbang dan terima mata ganjaran melalui aplikasi.
Mata ganjaran ini boleh digunakan untuk menebus barang atau baucar isi rumah. Muat turun aplikasi iowt di Play Store dan App Store.

Layari Laman Rasmi iCYCLE Global
Menarik bukan? Terdapat banyak lagi tempatan atau servis yang menawarkan pengumpulan pakaian lama untuk dikitar semula. Dengan ini, ia dapat mengurangkan jejak karbon dan mengurangkan kesan pencemaran.