Kaki Mengembang Pada Waktu Tengahari – Mengapa Ia Berlaku?
Pernahkah anda terbaca atau terlihat di mana-mana bahan bacaan atau di internet yang mengatakan, waktu yang paling sesuai untuk membeli kasut adalah pada waktu tengahari.
Mengapa tengahari? Hal ini disebabkan oleh saiz kaki yang lebih besar pada waktu tengahari yang mana akan memberi kesan kepada keselesaan kaki jika kasut yang dibeli sedikit kecil.
Bercakap mengenai kaki mengembang lagi, apakah faktor atau punca ia berlaku sedemikian?
Jawapannya, ketika kita tidur, badan berada dalam keadaan yang terlentang dan statik. Pada keadaan sedemikian, aliran darah adalah sekata ke seluruh badan.
Sebaliknya, pada waktu tengahari dan petang pula adalah keadaan yang mana anda akan berdiri tegak selain kerap bergerak dan berjalan. Dengan ini, ia menjadikan darah anda bergerak ke bawah iaitu ke bahagian tapak kaki dan akan berlaku pengumpulan darah di kaki sehingga cenderung untuk membengkak.
Untuk mengulas lanjut mengenai kaki membengkak adalah faktor graviti sewaktu berjalan.
Pada siang hari, kaki anda akan bergerak sepanjang hari, sama ada anda sedang duduk atau berdiri atau berjalan ia akan bergerak sepanjang hari.
Hasilnya, graviti akan menarik darah ke urat kaki, dan sebahagian air di dalam darah akan memasuki tisu kaki anda sekaligus menyebabkannya membengkak.
Bilakah Kaki Akan Berhenti Membesar?
Menambah lagi sedikit mengenai kaki juga, tahukah anda bilakah kaki anda akan berhenti membesar?
Seperti yang anda sedia ketahui, kaki akan membesar selari dengan usia dan termasuk juga disebabkan oleh kenaikan berat badan atau ligamen yang longgar. Ada kalanya juga, wanita akan mengalami peningkatan ukuran kaki semasa tempoh hamil.
Kaki biasanya berhenti membesar pada usia 20 tahun untuk lelaki dan juga wanita. Perubahan saiz yang paling ketara kemungkinan akan berlaku semasa meningkat semasa baligh.
Namun untuk lelaki, pertumbuhan kaki secara amnya perlahan antara usia 14 dan 16 tahun. Sementara kaki wanita pula, biasanya akan membesar pantas dan lebih awal ketika berumur antara 8 hingga 13 tahun.