Ketahui Jenis Vegan – Sekitar 43% Individu Dari Kumpulan Ini Berisiko Mengalami Tulang Rapuh
Dalam beberapa tahun ini, terma vegan seakan sudah semakin popular dalam kalangan masyarakat tidak kira di dalam dan luar negara. Malah, kebanyakan pasaraya dan kedai makan juga telah mula menawarkan pilihan produk yang lebih meluas khusus untuk vegan.
Apa itu vegan? Istilah vegan ini muncul sejak tahun 1944 yang dicipta oleh sekelompok kecil vegetarian dari Leicester Vegetarian Society di England untuk membentuk Persatuan Vegan.
Kebiasaannya, vegan ini adalah individu yang memilih untuk tidak mengambil susu, telur atau produk lain yang berasal dari haiwan, selain menahan diri dari konsum daging.
Istilah “vegan” dipilih dengan menggabungkan huruf “vegetarian” pertama dan terakhir.
Jenis-jenis vegan
- Vegan diet – Ia merujuk kepada mereka yang menghindari pengambilan makanan yang berasaskan haiwan dalam makanan mereka tetapi masih menggunakannya dalam produk lain seperti pakaian dan kosmetik.
- Vegan makanan penuh – Golongan ini mengambil makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, biji-bijian dan juga kekacang.
- Vegan makanan ringan – Sebilangan orang sangat bergantung pada makanan vegan yang diproses seperti daging vegan, kentang goreng, makanan beku dan pencuci mulut yang bukan tenusu.
- Vegan makanan mentah – Kumpulan ini hanya makan makanan yang mentah atau dimasak pada suhu di bawah 48 darjah Celsius.
- Vegan rendah lemak dan makanan mentah – Golongan ini dikenali sebagai fruitarian, kumpulan yang menerhadkan pengambilan makanan tinggi lemak seperti kacang, avocado dan kelapa, sebaliknya bergantung pada buah.
Berikut adalah jenis makanan yang biasa, namun telah diolah menjadi mesra vegan atau dapat disesuaikan dengan mudah.
Beberapa contoh termasuk burrito kacang, burger sayuran, pizza tomato, smoothie, nachos dan guacamole dan pasta.
Sementara untuk daging, ia biasanya diganti dengan; kacang, tauhu, tempe dan lain-lain.
Di samping itu, vegan cenderung menggunakan pelbagai biji-bijian, serta pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kesan Gaya Pemakanan Vegan Kepada Tulang
Menurut kajian baru-baru ini, vegan atau lebih senang disebut pengemar sayur-sayuran dilaporkan berkemungkinan besar akan mengalami risiko patah tulang lebih tinggi berbanding individu yang makan daging.
Kajian ini dilakukan kepada 50,000 peserta yang tinggal di UK dan mendapati bahawa vegan dan individu yang makan ikan dan tidak mengkonsumsi daging mempunyai risiko patah tulang kerana pengambilan kalsium dan protein dalam diet yang sedikit.
Rata-rata, vegan dengan pengambilan kalsium dan protein yang lebih rendah menyaksikan risiko patah tulang 43 peratus lebih tinggi di mana sahaja di badan mereka, dan khususnya di pinggul, kaki dan vertebra.
Bukti bagi menyokong keperluan kalsium dan protein untuk tulang, pakar pemakanan diet dari University of North Florida mengatakan kalsium dan protein adalah dua komponen utama tulang.
Sumber: Independant UK