Tanggal 26 November 2020, Google hari ini menampilkan sebuah doodle khusus buat Saloma di laman utama Google Malaysia.

Bersempena penampilan doodle khas ini, Tajria ingin berkongsi serba sedikit fakta menarik mengenai Saloma.

Pertama Kali Saloma Muncul Di Radio

Kerjaya awal Saloma dalam bidang nyanyian adalah tidak disangka-sangka yang mana beliau pada waktu itu hanyalah sekadar menghadiri persembahan orkestra di Radio Malaya. Namun, penyanyi Rokiah Wandah yang dijadualkan untuk menyanyi beberapa buah lagu di orkestra tersebut dilihat tidak menghadirkan diri. Hasil pujukan ibu beliau, Saloma menggantikan penyanyi tersebut dan telah berjaya mendendangkan lagu-lagu tersebut dengan amat baik. Sejak itu, beliau menerima banyak tawaran nyanyian orkestra di seluruh Singapura.

Digelar Marilyn Monroe Of The East

Dengan sosok anggunnya berbaju kebaya klasik dan suara yang memikat, Puan Sri Saloma pernah digelar ikon Marilyn Monroe of Malaya.

Selain mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, beliau turut bijak dalam fesyen yang mana konsep suai padan yang dipopularkan beliau adalah klasik dan masih lagi relevan hingga sekarang. Maka tidak hairanlah, beliau juga dahulunya pernah dianugerahkan sebagai Perintis Fesyen Malaya.

Busana Saloma Pernah Dipamerkan Di Muzium Negara

Pada tahun 2017, terdapat pameran busana Saloma dikongsikan di Muzium Negara dan juga Muzium Tekstil Negara. Sekitar 60 busana dipilih daripada ratusan koleksi fesyen Saloma dipamerkan bagi memperkenalkan rekaan ternama beliau pada suatu ketika dahulu.

Antara fesyen yang menjadi sohor kini wanita pada masa ini adalah peplum yang diilhamkan Saloma sendiri sekitar 1950-an hingga 1960-an dan juga kurung songket bunga penuh yang dipakai Saloma ketika menerima pingat kebesaran Ahli Mangku Negara pada 1975.

Pencapaian Biduanita Negara Pada Tahun 1978

Kerjaya beliau bermula pada awal era 1950-an. Kemerduan vokal beliau telah menjadikan beliau sebagai salah seorang Ikon Wanita Paling Berjaya di Malaysia sehingga kini.

Selari dengan itu, beliau telah menerima anugerah pencapaian Biduanita Negara pada tahun 1978. Kolaborasi bersama beberapa penyanyi lain dan juga penyertaan dalam bidang lakonan bersama P.Ramlee juga telah menaikkan populariti sehingga menerima banyak anugerah dalam dan luar negara.

Merakam Lebih 500 Lagu

Tidak dinafikan, Biduanita Negara Puan Sri Saloma atau lebih dikenali sebagai Saloma bukanlah satu nama yang asing lagi buat penggemar industri muzik tempatan. Antara lagu beliau yang sangat popular dan masih lagi menjadi sorotan kebanyakan generasi masa kini adalah 'Bila Larut Malam' dan juga 'Perwira'. Sepanjang kariernya, Saloma telah merakam lebih dari 500 lagu.

________________________________________________________________________

Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai Saloma yang boleh anda ketahui. Semoga perkongsian ini dapat memberikan motivasi kepada semua individu di luar sana untuk meraih lebih banyak kejayaan dalam hidup!

Lihat profil
Lina Rosli

922 artikel di Tajria.