Grab Kini Menawarkan Caj Penghantaran Untuk Makanan Tempatan Serendah 50 Sen
Semenjak berlangsungnya norma baharu yang mana kerajaan menyarankan rakyat agar kekal duduk di rumah jika tiada hal berkepentingan, permintaan untuk perkhidmatan penghantaran makanan dilihat mendapat permintaan yang tinggi.
Selari dengan itu juga, pelbagai tawaran hadir oleh beberapa syarikat penghantaran dalam mempromosikan perkhidmatan mereka.
Grab kini hadir dalam memberi subsidi yuran penghantaran dan memperluas penawaran makanan tradisional di dalam aplikasi mereka. Melaluinya, ia akan mendorong lebih banyak pesanan daripada pengguna pada masa akan datang.

Bukan itu sahaja, caj penghantaran serendah 50 sen ditawarkan kepada pengguna di seluruh negara bagi mendapatkan makanan tempatan kegemaran yang terpilih pada harga yang lebih rendah. Untuk mendapatkannya, anda boleh memilih restoran terpilih yang berjarak kurang dari 1.5 km dari kawasan pesanan dilakukan.

Selain itu, ‘Food Courts by GrabFood‘ yang merupakan inisiatif GrabFood dalam menawarkan pesanan dari beberapa buah gerai dan hanya membayar satu kos penghantaran dilihat telah mendapat sambutan yang hangat. Ia kini telah berkembang dengan penawaran lebih dari 100 medan selera dan sekitar 900 vendor penjaja di seluruh negara menggunakan ciri ‘mix & match’ menjelang akhir tahun ini.