5 Tips Menghias Meja Kerja Supaya Lebih Menarik Dan Selesa
Bagi anda yang kerap menghabiskan masa melaksanakan tugasan di hadapan komputer mahupun peranti pintar mudah-alih, pastinya anda memerlukan satu ruang yang menarik dan selesa bagi membantu menjana lebih banyak idea.
Apabila anda mempunyai ruang kerja yang bersih, kemas dan juga kondusif, ia sekaligus akan membuatkan penumpuan anda terhadap kerja dan tugasan menjadi lebih baik dan kurang gangguan.
Menyediakan dekorasi dan hiasan meja adalah bukan suatu yang sukar. Namun, ia masih lagi memerlukan sedikit penelitian seperti saiz dan keadaan meja agar ia tidak berserabut dan nampak tersusun.
Secara peribadi, saya lebih menggemari hiasan meja yang ringkas dan minimal kerana saya mempunyai ruang meja yang terhad dan memerlukan ruang yang luas supaya mudah untuk membuat kerja.
Bagi mendapatkan meja kerja yang ideal, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ambil perhatian sebelum mula menghias.
Kenali saiz ruang meja atau pejabat anda.
Untuk saiz ruangan yang kecil, elakkan daripada meletakkan hiasan atau peralatan yang memerlukan ruang yang besar.
Hiasan atau kotak yang besar akan menjadikan meja anda kelihatan penuh dan serabut. Oleh itu, cuba terhadkan penggunaan kotak dan susun buku atau fail di dalam rak bertingkat yang boleh diletakkan di bahagian bawah meja.
Anda juga boleh meletakkan beberapa gabungan bekas yang berpenutup untuk menyimpan barangan kecil yang mudah hilang di dalam satu kotak.
Kurangkan penggunaan barang berasaskan kaca
Anda disarankan untuk tidak menggunakan pasu kaca atau bekas mudah pecah di atas meja. Hal ini supaya, ia mengurangkan risiko berlanggar dan terjatuh sewaktu melakukan tugasan.
Letak barangan yang penting.
Pilih barangan yang penting sahaja untuk dipamerkan di atas meja. Contohnya, anda boleh meletakkan barangan alat tulis atau buku-buku yang anda kerap guna di atas meja. Untuk barangan lain, anda boleh menyusunnya di dalam laci atau rak lain bagi menampakkan meja anda lebih kemas dan tidak berselerak. Manakala, untuk fail-fail lain, anda boleh menyimpannya di dalam satu tempat khas yang memudahkan anda untuk mencarinya kelak.
Susun mengikut saiz peralatan
Kebanyakkan orang seringkali menghadapi masalah dalam menyusun buku-buku dan kertas yang ada di atas meja. Oleh itu, anda boleh menyusun buku-buku nota dan peribadi mengikut saiz dan penggunaan sesuatu buku itu. Ia bukan sahaja akan menampakkan meja anda bertambah kemas, selain ia turut menjimatkan masa anda untuk mencari buku, fail atau kertas yang dikehendaki untuk sesuatu aktiviti.
Tampal jadual atau kata-kata semangat di dinding
Jika anda meja kerja anda berdekatan dengan dinding, anda boleh melekatkan jadual atau pelan bulanan di dinding. Dengan ini, ia lebih mudah untuk anda menyemak jadual anda untuk bulan tersebut.
Bagi mendapatkan suasana yang tenang dan selesa, anda disarankan untuk menggunakan warna-warna yang lembut seperti warna peach, biru langit, kuning cerah atau rose gold yang mudah untuk dipadankan dengan fail dan buku-buku anda.
________________________________________________________________________
Jadi, dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam menghias meja pejabat anda dengan lebih mudah dan efisien. Selamat mencuba!