Asal Usul Surat Khabar – Komuniti Peranakan Adalah Yang Pertama Menerbitkannya Di Malaysia
Seperti yang kita tahu, sebelum wujudnya internet, komunikasi disampaikan dan disebarkan melalui lisan atau hanya sekadar mulut-ke-mulut. Yang mana ia amat terhad dan sukar untuk disampaikan terus kepada komuniti yang berkapasiti besar.
Oleh itu jika anda perasan, pemerintah pada zaman dahulu memainkan peranan yang besar dalam kehidupan masyarakat dalam memastikan masyarakat ketika itu celik dan peka tentang sesuatu informasi.
Bagaimanakah Penyebaran Maklumat Dilaksanakan Pada Zaman Dahulu?
Pada zaman Rom Purba, Acta Diurna atau ia juga disebut sebagai Acta Populi atau Acta Publica diterbitkan yang merangkumi pewartaan harian pemerintah mengenai peristiwa penting yang berlaku di Rom. Ia diterbitkan seawal abad 131 SM.
Antara butiran yang ditampilkan di dalamnya termasuk berita politik, kempen ketenteraan, percubaan, dan pelaksanaan undang-undang baru secara umum. Ianya akan dipahat dengan batu atau logam dan kemudiannya ditulis dengan tangan dan diedarkan serta dibacakan kepada umum. Acta Diurna ini dianggap sebagai pencetus surat khabar moden.
Manakala di China pula, salah satu bentuk media berita yang paling awal dikenali sebagai tipao. Ia terhasil seawal abad 202 SM yang mana laporan dan buletin istana diedarkan oleh pemerintah kepada birokrat.
Bilakah Surat Khabar Pertama Dicetak?
Risalah pertama dicetak oleh Johannes Gutenberg yang mana beliau memperkenalkan mesin cetak dengan acuan huruf logam berbentuk aksara latin di Eropah sekitar tahun 1440. Walau bagaimanapun, ada sumber yang mengatakan, mesin cetak sebelum ini telah diperkenalkan di Asia Timur namun butirannya tidak diketahui.
Versi Gutenberg tersebar meluas kerana ia dilihat berkemampuan untuk menghasilkan dokumen secara besar-besaran. Pada tahun 1500, mesin cetak telah sampai ke seluruh Eropah, dan lembaran berita atau buku berita diedarkan secara meluas.
Bergerak ke sekitar tahun 1800-an, metode serta mesin percetakan mengalami kemajuan dan pembangunan yang pesat. Surat khabar mingguan pertama diterbitkan di Jerman oleh Johann Carolus pada tahun 1604 yang dikenali sebagai “Relation aller Fürnemmen und gedenckwürdigen Historie“. Antara yang ditampilkan di dalamnya adalah topik berkaitan politik, acara, hiburan, sukan dan banyak lagi.
Pada tahun 1618 pula, surat khabar dengan ukuran saiz folio diterbitkan di Amsterdam yang disebut sebagai Courante uyt Italien, Duytslandt, & c. Format surat khabar ini tersebar ke seluruh Eropahn termasuk Sepanyol, Perancis, dan Sweden.
Manakala untuk surat khabar yang tertua di dunia diterbitkan di Oxford pada tahun 1665 iaitu Oxford Gazette yang mana ia masih lagi disiarkan sehingga hari ini.
Pada mulanya, surat khabar hanya tersedia untuk orang Amerika yang kaya, celik huruf dan mampu membayar langganan untuk mendapatkannya sahaja. Hal ini kerana, harga yang ditawarkan adalah sebanyak harga gaji buruh selama seminggu dan kebanyakan individu pada waktu itu tidak mampu membayarnya.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1830-an, kemajuan dalam percetakan dan pembuatan kertas menjadikan harga jualan surat khabar menjadi rendah sekaligus memudahkan penyebaran maklumat dilakukan.
Surat khabar yang mampu milik juga diperkenalkan yang dinamakan Penny Press. Selari dengan perkembangan industri ini juga, syarikat surat khabar turut mula menampilkan ilustrasi terperinci yang diterbitkan sebagai mingguan bergambar.
Menjelang awal abad ke-20, surat khabar menyertakan ciri-ciri yang kini dilihat dalam kebanyakan surat khabar pada masa kini seperti gambar dan ilustrasi, komik, dan liputan sukan serta berita politik dan acara yang selalu menjadi ruji surat kabar.
Surat Khabar Pertama Yang Diterbitkan Di Malaysia
Surat khabar berbahasa Melayu pertama dikenali sebagai Jawi Peranakan yang diterbitkan pada tahun 1876. Pada masa yang sama, surat khabar bahasa India dan China pertama juga dilancarkan pada sekitar tahun 1881.
Nama surat khabar Jawi Peranakan diterjemahkan dari nama asal “The Local Born Muslim”, iaitu merujuk kepada nama masyarakat peranakan yang terdiri daripada bangsa keturunan India dan Melayu.
Surat khabar ini diterbitkan pada setiap hari Isnin yang mana ianya ditulis dalam tulisan Jawi. Pengasas dan penyunting pertama akhbar itu ialah Munshi Mohd Said bin Dada Mohiddin.
Pesaing sengit untuk Jawi Peranakan adalah surat khabar Nujum Al-Fajar dan Sekola Melayu. Jawi telah berhenti diterbitkan pada tahun 1893 akibat daripada kurangnya sokongan dari masyarakat.
Sumber: Britannica, PrinterQoe, Acta Diurna, erasource