Carian
Zalora Terokai Tabiat Pembelian Secara Atas-Talian Pengguna Di Trender – Individu Tidak Lagi Memilih Jenama Mewah
December 6, 2020 Lina Rosli

Zalora Terokai Tabiat Pembelian Secara Atas-Talian Pengguna Di Trender – Individu Tidak Lagi Memilih Jenama Mewah

Zalora sebelum ini telah melancarkan perkhidmatan penyelesaian data yang akan membolehkan jenama memanfaatkan sepenuhnya data transaksi yang dinamakan TRENDER.

TRENDER kini digunakan secara meluas di 6 buah negera termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. Bukan itu sahaja, ia menampilkan sekitar 3 juta pengguna aktif serta membawakan jualan mudah alih sebanyak 81%.

Sebelum itu, sebelum mengulas lanjut mengenai TRENDER, terdapat beberapa isu atau trend yang telah berubah dalam tabiat jual-beli dalam kalangan pengguna pada tempoh Covid-19 ini.

Golongan Milennial Dan Gen Z Antara Penyumbang Dalam Arena Edagang Untuk Fesyen Muslimah

Di negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia, penjualan dalam talian pakaian muslimah telah menjadi sangat popular dalam kalangan milennial dan gen Z. 

Golongan ini dilihat banyak bereksperimen dengan fesyen dan telah membuka jalan kepada penawaran lebih banyak jenama fesyen tempatan untuk memperluaskan penawaran serta memenuhi keperluan pasaran.

Faktor luaran lain seperti budaya pop, pekerjaan, dan hobi memainkan peranan penting dalam membentuk kumpulan pengguna fesyen Asia Tenggara yang kompleks.

Lebih Ramai Memilih Untuk Mendapatkan Pakaian Rumah Atau Home Comfort

Dengan lebih banyak masa yang dihabiskan di dalam rumah kerana ingin menerhadkan pertemuan sosial, kebanyakan pengguna kini lebih banyak meneliti alternatif dan tuntutan untuk lebih selesa di rumah.

Mereka juga lebih banyak melabur untuk keselesaan di rumah dan menggantikan pembelian pakaian dan barangan dari jenama mewah kepada yang lebih mesra-rumah.

Bukan itu sahaja, individu juga lebih banyak mencari sesuatu yang sesuai untuk dijadikan sebagai hobi baru. Antaranya, carian tanaman dan tumbuhan atas-talian meningkat 97% di Malaysia, 80% di Indonesia dan 43% di Singapura.

TRENDER – Memudahkan Pengguna Memahami Tabiat Pembelian Secara Atas-Talian 

Menerusi TRENDER, jenama mempunyai akses untuk menganalisis data transaksi pengguna termasuk pandangan pengguna, segmentasi geografi, tabiat membeli dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, dengan perkhidmatan seperti ini, ia membantu jenama untuk menggunakan data ini dengan baik dari segi pemasaran, penjualan dan juga perancangan produk.

Tujuan TRENDER ini dilancarkan adalah untuk membuka lebih banyak peluang untuk menjangkau pengguna dan merupakan bukti komitmen Zalora untuk meningkatkan kelangsungan industri peruncitan digital pada masa kini.

Berdasarkan data yang ditampilkan, jenama produk yang ditawarkan di dalam platform berkenaan adalah lebih tertumpu kepada barangan wanita yang mana sekitar 76% secara keseluruhan. Manakala, antara sub-kategori yang popular dalam kalangan pembeli di Malaysia adalah beg, dompet dan juga kasut.

Bergerak ke hadapan, Zalora menyasarkan untuk mengurangkan jurang penawaran antara pengguna dari pinggir bandar dan juga bandar dalam mendapatkan keperluan pada masa akan datang. Oleh itu, TRENDER dilihat sebagai inisiatif dari Zalora dalam menawarkan ekosistem digital yang mudah untuk diakses pengguna dan juga rakan kongsi dari pelbagai jenama.

Komen