Carian
Cerpen: Komunikasi Itu Penting!!!
December 3, 2020 Penulis Kacak

Cerpen: Komunikasi Itu Penting!!!

Saya seorang yang pemalu di dalam pejabat. Malu dengan perempuan, lebih-lebih lagi apabila saya ingin meluahkan perasaan saya. Tetapi suatu hari, saya cuba beranikan diri. Saya berkata pada diri saya, “Sampai bila kau nak malu? Sampai tua? Nak single sampai tua ke?”

Saya ada perasaan terhadap seorang rakan kerja saya. Sejak awal dia mula bekerja saya kerap pandang-pandang, intai-intai dari komputer riba, bila ajak makan beramai-ramai saya cuba dapatkan tempat duduk di sebelah Si Dia.

Makan tidak kenyang, mandi tidak basah, tidur tidak lena kerana kerap berfikir mengenai Si Dia. Saya buntu, kerana masih tidak berani dan tidak tahu bagaimana untuk bercakap dengan Si Dia. Suatu hari, tibanya hari jadi Si Gadis yang saya mimpikan.

Saya tahu muzik kegemaran Si Dia, jadi saya beli tiket konsert penyanyi tersebut. Kebetulan, ketika itu penyanyi tersebut ada melalukan persembahan di kawasan berdekatan. Selepas menyambut hari jadi Si Dia, saya mendekati diri dan ucapkan Selamat Hari Jadi. Saya senyum sambil berdegup kencang hati dan berpeluh tanpa henti.

Saya berikan kad hari jadi yang di dalamnya saya selitkan tiket berkenaan. Dengan harapan dia baca dan terima hadiah tersebut. Tetapi saya hanya mencintai Si Dia dalam diam. Kad ada sedikit ayat-ayat cinta, manis dan lawak – tetapi saya tidak pernah iMessage, WhatsApp atau cuba menghubunginya. Hanya diam dan berharap.

Tiba tarikh konsert, saya membuat panggilan telefon dan bertanyakan “You, Hai you.. hmm., You jadikan pergi konsert? Nak I ambil pukul berapa dan di mana?” Si Dia jawab “Haaa…? I x faham. You pergi jugak ke konsert? I ingat you bagi tiket ni untuk I. So, I ajak boyfriend I pergi sekali. Kenapa tak cakap nak pergi, boleh gerak sekali you dengan I and bf I.”

Dengar kata-kata tersebut saya senyum malu, berdebar, takut – lalu saya letakkan panggilan telefon. Terus tidur.

Inilah akibatnya tidak berkomunikasi. Selepas saya membuat kaji selidik, saya menerima informasi yang Si Dia sudah bersama dengan kekasih beliau sejak sebelum bekerja lagi.

Masuk ke pejabat, saya langsung tidak berbual. Malu sehingga hari ini. Si Dia tanya, “Weyhh, You.. bestkan konsert malam tadi?”. Saya pun tersengih dan jawab “Hehehe, betul best” dan terus berlakunya saat-saat yang tidak selesa.

Saya bangun tidur, tersedar dari mimpi. Rupa-rupanya semua ini adalah mimpi. Mimpi ini memberi pengajaran kepada saya, untuk tabah, beranikan diri dan jadi jejaka yang hebat. Bermula hari ini, saya akan lebih beranikan diri.

2 tahun berlalu, saya masih berseorangan. Si Dia juga berseorangan tetapi tidak berminat untuk mempunyai hubungan. Saya pendam rasa cinta saya dan teruskan kehidupan. Si Dia mungkin tahu mungkin tidak perasaan saya. Nampaknya, 2 tahun saya masih tidak bersedia dan berani. Harapnya, suatu hari nanti saya akan lebih berani dan yakinkan Si Dia – ada hubungan dengan rakan sekerja tidak menjadi masalah. Usah risau, saya akan jaga Si Dia, sayang Si Dia dan In Sha Allah – kami akan bahagia.

Mimpi, mimpi, mimpi. Haishh, sampai sudah mimpi sahajalah yang saya mampu.

Komen