6 Tips untuk Kurangkan Stress dan Keseimbangan Hidup Berkerjaya

Stress datang dari banyak sumber dan mempengaruhi anda dengan cara yang mungkin anda tidak perasan pada mulanya. Sistem badan seperti pernafasan, kardiovaskular, endokrin, pencernaan dan sebagainya boleh terjejas kerana stress yang berlebihan. Walaupun aspek kehidupan yang berbeza menyebabkan stress kepada seseorang dengan cara yang berbeza, pekerjaan adalah antara penyebab utama. Perkara ini paling banyak berlaku terutamanya kepada mereka yang berkeluarga.

Kerana itu amat penting untuk mengamalkan keseimbangan hidup berkerjaya untuk memastikan keluarga dan kerjaya kedua-duanya terjaga. Sebuah kajian telah dilakukan pada tahun 2003 di kalangan akauntan profesional untuk melihat bagaimana mereka membahagikan masa dan perhatian kepada kerja dan keluarga. Mereka dibahagikan kepada tiga kategori iaitu mereka yang meletakkan keluarga pertama dalam hidup mereka, mereka yang membahagikan kerja dan keluarga dengan setara dan mereka yang mengutamakan kerja. Hasil kajian mendapati mereka yang meletakkan keluarga dahulu mempunyai kepuasan dalam hidupnya. Ini diikuti dengan kategori kedua dan mereka yang mengutamakan kerja adalah yang paling tidak berpuas hati dengan hidup mereka

Jadi bagaimana anda ingin mencapai keseimbangan yang sesuai? Bagaimana anda ingin berjaya dalam kerjaya dan masih bahagia bersama keluarga? Berikut adalah beberapa tips untuk menanggani stress dalam menyeimbangkan  kehidupan anda:

1. Tetapkan dan jaga batas waktu kerja.

Sekiranya anda menjalankan pekerjaan tetap dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, teruskan kerja dalam jangka masa tersebut dan fokus pada keluarga anda sepanjang masa selepas itu. Ini boleh menjadi sukar sekiranya anda memiliki perniagaan sendiri atau bekerja sebagai ‘freelancer’ – situasi yang biasanya tidak memungkinkan untuk jadual biasa. Anda mungkin harus membuat jadual dan memaksa diri untuk mematuhinya, dan berkongsi perkara tersebut dengan pasangan anda supaya mereka dapat membantu anda melaksanakan rancangan tersebut.

2. Hadkan masa skrin anda.

Ini adalah amat sukar kerana kami juga sukar melakukannya. Tetapi belajar mematikan semua alat yang membuatkan anda bekerja adalah bahagian penting dalam menjaga keseimbangan. Tetapkan waktu tertentu untuk memeriksa e-mel anda atau menjawab panggilan. Beritahu rakan sekerja atau pelanggan anda bahawa ini adalah jadual anda agar jangkaan semua orang jelas dan anda pula mendapat ketenangan fikiran.

3. Fahami apabila sesuatu keadaan itu adalah kecemasan atau tidak.

Sudah tentu, ada kalanya anda tidak dapat mengabaikan kerja, tetapi belajar bertanya pada diri sendiri “Bolehkah saya tangguh perkara ini?” dan jawab dengan jujur. Sekiranya timbul situasi yang benar-benar harus ditangani, maka atasinya. Sekiranya masalah dapat ditangguhkan, tetapkan masa yang realistik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

4. Amalkan penjagaan diri.

Sangat mudah untuk sibuk dengan tanggungjawab sehingga anda lupa untuk benar-benar menjaga diri anda. Contohnya, jangan hanya makan untuk hidup; makan dengan sihat. Pastikan anda mendapat tidur yang cukup, dan bersenam dengan kerap. Semakin banyak penyelidikan yang menunjukkan bahawa senaman secara berkala meningkatkan fokus, masa reaksi, ingatan, kreativiti, dan kemampuan anda untuk menangani tekanan – dan anda memerlukan diet yang sesuai untuk membantu anda bersenam. Selain memberi anda peluang untuk pulih dari senaman, tidur juga terbukti dapat meningkatkan prestasi mental dan mengurangkan perasaan stress dan kegelisahan.

5. Ambil nafas panjang.

Sepanjang hari, berhenti untuk mengambil nafas panjang 3 atau 5 kali. Tindakan ini membantu menimbulkan satu respons yang menenangkan, atas kaji selidik ‘Harvard School of Medicine’. Untuk memastikan ia menjadi benar-benar berkesan, nafas anda perlu mengisi perut anda dengan penuh. Biarkan perut anda mengembang untuk beberapa kali tarikan nafas dan anda akan merasakan perbezaannya.

6. Ambil masa untuk rileks.

Sediakan masa untuk anda menikmati aktiviti-aktiviti yang anda sukai seperti yoga, berkebun atau membaca. Hobi membantu anda rileks, mengalihkan perhatian anda dari kerja dan membantu anda ‘recharge’. Adalah lebih baik jika anda melakukan hobi ini bersama pasangan anda atau keluarga anda seperti bermain basikal, menonton wayang, menari atau mengambil kelas masakan.

Jangan biarkan kerja anda mengambil alih kehidupan anda! Ambil masa untuk fokus pada diri anda dan orang-orang yang anda sayangi, kerana semua orang akan mendapat manfaatnya — walaupun, akhirnya, majikan anda sendiri.

Kredit:

 https://www.dignityhealth.org