Carian
Populariti Old Town White Coffee – Kopitiam Ini Adalah Pencetus Trend Kafe Masa Kini?
December 9, 2020 Lina Rosli

Kopitiam atau kopi tiam adalah kedai kopi tradisional yang dahulunya merupakan tempat untuk masyarakat tempatan makan dan lepak dan kedai ini kebanyakannya terdapat di Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand. Perkataan kopi adalah istilah Melayu untuk minuman daripada biji kopi dan tiam adalah istilah Hokkien atau Hakka yang bermaksud kedai.

Budaya kopitiam ini telah mula popular sejak tahun 1870 yang mana diperkenalkan oleh migran Hainan di Singapura. Kebiasaannya, mereka menyediakan minuman seperti kopi tarik, teh, roti bakar bersama kaya dan juga telur separuh masak. Seperti namanya juga, kopi yang ditawarkan oleh kebanyakan kopitiam biasanya mempunyai formulasi kopi yang berbeza seperti kopi campuran, kopi putih, kopi herba dan banyak lagi. 

man holding cup and pitcher standing on kitchen

Jika kita lihat pada masa kini, terdapat banyak rangkaian kopitiam yang telah lama bertapak di Malaysia seperti OldTown White Coffee, Hainan Kopitiam, Rengit Kopitiam dan banyak lagi.

Penyertaan kopitiam dalam industri perkhidmatan makanan dan restoran ini telah banyak mengubah dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat sejak awal penglibatannya.

Seperti yang kita lihat sekarang, mereka telah menjadi pencetus idea aktiviti sosial dan kuliner dalam negara ini. Sejak dari itu, mula berkembangnya restoran dan kedai makan yang lebih menarik, kafe hipster dan francais yang versatil.

Bagaimana Kopitiam OldTown White Coffee Mula Bertapak Di Malaysia?

Apabila sebut produk kopi putih atau white coffee, sudah tentu di fikiran anda akan teringat akan jenama OldTown White Coffee. Ia merupakan jenama kopi putih nombor satu di Malaysia yang mana telah berjaya mengeksport produknya ke 19 negara di seluruh dunia termasuk Australia, New Zealand dan Korea Selatan dan juga Amerika Syarikat.

Ia juga mempunyai rangkaian kedai sekitar 240 buah di Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Myanmar dan juga Shanghai. Tujuannya adalah untuk mencipta tempat untuk orang ramai berbincang untuk tempoh yang lama sambil secawan secawan kopi dan roti panggang.

white and blue floral ceramic mug with coffee

Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1999 di Ipoh, Perak. Ia bermula dengan penawaran kopi putih yang mana penghasilan ini bertujuan untuk menyediakan kopi putih yang berkualiti kepada isi rumah Malaysia.

Pada tahun 1999, mereka berjaya mengkomersialkan campuran kopi 3-dalam-1 segera dengan nama jenama OLDTOWN untuk sektor peruncitan. Pada tahun 2000, mereka memulakan eksport pertama campuran kopi segera 3-dalam-1 ke Singapura dan kemudiannya mengembangkan rangkaian produk mereka dengan menambah variasi campuran kopi segera.

Seterusnya pada tahun 2002, mereka berjaya memperluas pengedaran kopi segera ke seluruh negara di kebanyakan rangkaian pasaraya dan pasaraya besar.

Tidak hanya berhenti sekadar membekalkan kopi segara di kedai runcit, OLDTOWN mula berkembang ke sektor perkhidmatan makanan dengan pembukaan kopitiam yang membawakan suasana kedai kopi Ipoh tradisional di bawah jenama OldTown White Coffee.

Mengapa Kopitiam Adalah Pencetus Trend Untuk Idea Kafe Moden?

Kopitiam merupakan sebuah kedai makan bersaiz sederhana di lokasi yang lebih strategik yang mana rata-rata dibina dekat dengan bandar dan juga kawasan kejiranan.

Ia adalah tempat yang mana pelanggan menikmati sarapan, makan tengah hari dan makan malam mereka. Pelanggan sasaran mereka adalah masyarakat atau penduduk setempat dan juga individu yang bekerja. Perkhidmatan makanan dan kopitiam seperti ini kekal sehingga hari ini.

three person holding beverage cups

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, populariti kopitiam jenis baru telah bermula di Malaysia yang kini lebih disebut sebagai kedai kopi atau coffee shop. Kedai kopi baru ini menekankan pengalaman persekitaran dan suasana yang menenangkan di samping menawarkan perkhidmatan tambahan seperti akses Wi-Fi percuma, persekitaran yang insta-worthy dan banyak lagi.

Tidak dinafikan, Malaysia mempunyai budaya minuman kopi yang sangat kuat. Menurut tinjauan, rata-rata rakyat Malaysia minum sekitar 2.38 cawan kopi setiap hari.

Budaya minum kopi telah dipupuk oleh pengembangan perniagaan kopitiam lagi dan ditambah lagi dengan pengaruh dari budaya barat seperti budaya minum kopi di Starbucks. Maka tidak hairanlah, mengapa pekembangan kedai kopi dilihat semakin lama semakin pesat tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Apakah komen anda berkenaan dengan perkembangan budaya kedai kopi ini? Dan apakah pengalaman anda berkunjung ke kopitiam yang tidak boleh anda lupakan?

Komen