Pokok Hiasan Dalam Rumah yang Selamat untuk Haiwan Peliharaan Anda
Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan awal tahun ini, ramai yang mencari hobi baru bagi mengisi masa yang terluang dan menghilangkan kebosanan duduk di rumah. Antara salah satu hobi yang dipopularkan oleh PKP ialah bercucuk tanam, baik pokok hiasan mahupun tumbuhan herba dan sayuran yang boleh dimakan.
Hobi ini tidak terhad untuk mereka yang tinggal di rumah dengan halaman sahaja. Bagi mereka yang mendiami kondominium atau apartmen, saiz ruangan yang terhad bukanlah penghalang untuk meneruskan minat ini kerana terdapat pelbagai tumbuhan hiasan yang sesuai ditanam di dalam rumah. Malahan hobi menanam tumbuhan hiasan dalam rumah juga sesuai untuk mereka yang tidak suka aktiviti yang tidak rumit dan memakan banyak masa memandangkan tumbuhan hiasan mudah untuk dijaga.
Namun begitu, bagi anda yang memelihara anjing atau kucing di rumah, and perlu lebih berhati-hati dengan pemilihan tanaman hiasan dalam rumah kerana bukan semua tumbuhan sesuai dan selamat untuk haiwan peliharaan anda. Antara kesan keracunan akibat termakan tumbuhan yang mengandungi toksin semulajadi yang berbahaya terhadap haiwan peliharaan ialah meleleh air liur, muntah-muntah, masalah pernafasan, cirit birit dan dan terburuk sekali, boleh mengakibatkan kematian.
Berikut adalah senarai pokok hiasan dalam rumah yang boleh ditanam sebagai dekorasi yang selamat bagi haiwan peliharaan anda:
African Violet

African Violet atau nama saintifiknya Streptocarpus sect. Saintpaulia merupakan antara tumbuhan hiasan dalam rumah yang sering menjadi pilihan ramai. Ia menghasilkan bunga berwarna merah jambu atau ungu yang cantik. Menariknya, tumbuhan ini tidak memerlukan cahaya yang banyak dan terang untuk terus hidup. Ia sering dijadikan tanaman dalam rumah memandangkan ia sesuai hidup dalam keadaan bersuhu dan kelembapan yang sederhana tanpa perlu disiram setiap hari. Yang paling penting sekali, African Violet selamat untuk haiwan peliharaan, maka anda tidak perlu risau sekiranya kucing anda gemar bermain dengan tumbuhan ini.
Calathea

Calathea spp. ataupun dikenali dengan nama zebra plant merupakan satu lagi tumbuhan hiasan dalam rumah yang selamat buat haiwan peliharaan. Daunnya bercorak dengan variasi warna pelbagai yang menjadikannya pokok hiasan yang digemari ramai. Ia hanya perlu disiram 1-2 kali seminggu dan memerlukan ruang di mana ia mendapat cahaya yang tidak terlalu terang, memandangkan cahaya yang terlalu terang boleng memudarkan warna daunnya yang menyerlah. Ia hanya memerlukan baja ketika ia dalam proses pertumbuhan dan ketika ia berbunga.
Maiden Hair Fern

Spesis paku pakis yang dianggap sebagai true fern, iaitu Boston, maidenhair, bird’s nest dan staghorn merupakan spesis paku pakis yang selamat ditanam sebagai tumbuhan hiasan dalam rumah. Walaupun ia tidak digalakkan untuk dimakan, ia tidak bersifat toksik sekiranya digigit oleh haiwan peliharaan anda. Oleh yang sedemikian, anda tidak perlu terasa ragu untuk menyimpan pepohon paku pakis dalam rumah sekiranya anda mempunyai haiwan peliharaan. Anda cuma perlu risau rumpunan daun pepakis anda dicarik dan ditarik si bulu yang nakal kerana dedahan daunnya yang panjang melambai lagi mengundang sebagai tempat bermain.
Orkid

Orkid semestinya merupakan pilihan popular. Bunganya yang cantik dan menyerlah menyerikan suasana. Walaupun orkid kelihatan seperti sukar untuk dijaga, ia tidaklah serumit yang disangka. Orkid tidak memerlukan air yang banyak. Ia juga memerlukan pencahayaan yang secukupnya dan sesekali perlu ditukar medium tanamannya untuk memastikan ia kekal berbunga. Anda juga tidak perlu risau akan orkid dengan si manja berbulu anda memandangkan kultivar orkid yang popular untuk hiasan dalam rumah seperti cattleya, cymbidium, dendrobium dan phalaenopsis tidak menghasilkan debunga ataupun mengandungi toksin semulajadi yang boleh membahayakan haiwan peliharaan anda sekiranya ia dimakan.
Spider Plant

Chlorophytum comosum merupakan tumbuhan dalam rumah yang sering menjadi pilihan. Ini adalah kerana ia adalah tumbuhan tahan lasak yang mampu hidup dalam apa jua keadaan. Walaupun begitu, tumbuhan ini juga masih tetap memerlukan perhatian dan penjagaan agar dapat tumbuh dengan sihat dan cantik. Siramlah 1-2 kali seminggu, berikan baja apabila perlu dan letakkan di kawasan yang memerima pancaran cahaya matahari yang tidak terlalu panas. Selain menapis udara dengan baik dan menyerikan ruangan rumah, anda juga tidak perlu risau sekiranya kucing atau anjing anda menggigit daun spider plant ini memandangkan ia tidak beracun buat mereka.
Tumbuhan Succulent

Succulent merupakan salah satu tumbuhan hiasan dalam rumah yang menjadi pilihan ramai. Ia hadir dalam pelbagai bentuk, warna dan saiz yang menarik. Saiznya yang kecil juga menjadikan ia pilihan popular sebagai tanaman dekorasi kerana tidak memakan ruang yang besar. Ia memerlukan medium tanaman dengan saliran yang baik, yang tidak perlu kerap disiram, pendedahan kepada cahaya yang mencukupi dan sekata. Sesekali, berikan succulent anda sedikit baja agar dapat menggalakkan pertumbuhannya. Haiwan peliharaan pada umumnya tidak menggemari succulent dan akan mengelak daripada menggigitnya. Namun, sekiranya anda inginkan succulent yang selamat untuk haiwan perliharaan anda, pertimbangkan succulent seperti burro’s tail (sedum morganianum), Chistmas cactus, echeveria, opuntia, ponytail’s palm dan zebra haworthia (haworthia fasciata).

EXTRA : Wheatgrass

Wheatgrass merupakan cambahan benih biji gandum. Ia mungkin bukan tumbuhan hiasan yang menarik sebagai dekorasi rumah anda namun bagi anda yang mempunyai haiwan peliharaan yang gemar menggigit tumbuhan peliharaan anda (sekaligus menyebabkan daunnya menjadi rosak dan kelihatan kurang cantik), maka sediakanlah cambahan benih gandum untuk kucing dan anjing anda. Wheatgrass bukan sahaja selamat untuk mereka, malah baik untuk memberikan khasiat tambahan dan membantu sistem penghadaman mereka sekiranya dimakan.