6 Lokasi Seni Jalanan Yang Boleh Anda Lawati Di Selangor
Terdapat banyak seni jalanan yang boleh dilawati di Negeri Selangor. Seni jalanan dapat membantu industri pelancongan dengan menjadi salah satu destinasi pelancongan untuk para pelancong. Terdapat kawasan seni jalanan di Lembah Klang dan Shah Alam yang telah menghasilkan karya seni jalanan yang menarik. Seni jalanan ini mendapat sambutan hangat oleh pengunjung yang hadir untuk bergambar. Oleh itu, berikut adalah senarai seni jalanan yang boleh dikunjungi di Negeri Selangor:
Laman Seni 7, Shah Alam
Laman Seni 7 terletak berdekatan dengan i-City yang merupakan lokasi yang membawakan seni lukis mural yang kreatif. Kawasan ini adalah salah satu inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengubah lorong belakang kawasan komersial dan perindustrian menjadi selamat, bersih dan tenang.

Pelbagai hasil seni yang dilukis seperti Lukisan 3D, Pemasangan 3D, Perabot Jalan dan lain lain lagi. Laman Seni 7 ini berkonsepkan ciri-ciri “Komuniti Shah Alam”, “Tarikan Pelancong” dan juga “Konsep Hijau”.
Laman Seni Seksyen 2, Shah Alam
Selain Laman Seni 7, Shah Alam turut membawakan kepada rakyat Malaysia satu lagi lokasi mural yang dinamakan Laman Seni Seksyen 2.
Tema yang dibawakan di lokasi seni ini adalah ‘kembali ke sekolah’. Di sana, anda boleh mengimbau suasana nostalgia dahulu yang mana anda akan melihat bilik gantung, bas sekolah, lukisan haiwan dan lain-lain lagi. Bukan hanya itu, terdapat juga medan selera di mana anda boleh berehat setelah bergambar di lokasi lukisan mural.
Safari Jejak Warisan, Klang
Jika anda kunjungi ke Bandar Diraja Klang, Safari Jejak Warisan adalah lokasi yang penting untuk anda singgah. Ia menampilkan barisan kedai yang menjual pelbagai barangan untuk masyarakat India malah anda juga boleh singgah untuk mengambil gambar lukisan mural yang menarik dan bertemakan “Safari” sepanjang lorong-lorong belakang kedai di bandar lama Klang.

Sasaran Art, Kuala Selangor
Ia dibangunkan oleh Organisasi Sasaran Art dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor. Ia membawakan pembinaan bangunan 2 tingkat yang telah dijadikan sebagai sebuah pusat galeri seni yang dinamakan “Balai Seni Sasaran Kuala Selangor”.

Ia bertindak sebagai pusat seni, festival ataupun pameran tempatan dan antarabangsa dalam mempromosikan aktiviti kesenian dan kebudayaan.
Mural Jalan Kenari, Puchong
Kawasan mural ini terletak di Jalan Kenari 5, Puchong. Ia dihiasi dengan pelbagai lukisan mural yang dihasilkan oleh 103 orang pelajar tahun akhir dari The One Academy, Subang Jaya dan juga dari Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik.

Hasil lukisan yang ditampilkan menggambarkan kecantikan dan elemen budaya Malaysia berdasarkan tema Negeri Selangor dan keunikan Negara.
Kuala Kubu Bharu Mural, Hulu Selangor
Selain itu, anda juga boleh mengunjungi Bandar Kuala Kubu Bharu bagi menikmati pelbagai tarikan semula jadi seperti water tubing dan white water rafting.

Anda juga boleh mengunjungi seni mural yang dilukis di dinding bangunan lama kawasan KKB yang mana lukisan ini dilukis oleh 40 orang pelajar dan staf dari ALFA College pada tahun 2014.
Lawati dan kunjungi kawasan menarik di sekitar negeri Selangor. Jangan lupa untuk kongsikan pengalaman anda bersama pembaca Tajria!