Jenis Dan Saiz Cawan Boleh Mengubah Rasa Dan Aroma Kopi – Hidangan Dalam Cawan Kertas Hasilkan Rasa Teruk
Kopi merupakan salah satu minuman yang kaya dengan pelbagai rasa dan aroma. Tapi, tahukah anda bahawa ukuran cawan yang kita gunakan dapat mempengaruhi rasa dan citarasa seseorang untuk pengambilan kopi.
Penyelidikan baru mendapati bahawa ketinggian dan diameter secawan kopi dapat mengubah bagaimana orang melihat rasa, aroma, suhu dan juga kos belian.
Menurut kajian yang dilaksanakan Food Quality and Preference, seramai 300 peminum kopi di China, Columbia, dan UK telah membuat penilaian dan pemilihan ke atas kopi yang dihidangkan.
Hasil kajian menunjukkan bahawa kopi yang disediakan di dalam cawan yang lebih pendek dan lebih kecil adalah lebih pahit, dengan aroma yang lebih kuat dan rasa yang lebih kuat, sementara cawan dengan diameter yang lebih luas dikatakan lebih manis.
Tidak dinafikan, jika anda perasan sewaktu melakukan pembelian kopi, anda akan mendapati minuman ais kisar yang disediakan oleh jenama seperti Starbucks, The Coffee Bean & Tea Leaves menghasilkan kopi dengan rasa yang lebih lembut berbanding kopi panas yang dihidangkan pada cawan yang lebih kecil.
Mengapa Saiz Boleh Mempengaruhi Rasa Dan Aroma?
Ukuran cawan memainkan peranan penting dan boleh mempengaruhi sesuatu rasa. Ini berkaitan dengan jumlah yang diperlukan untuk mencapai minuman tertentu terutama dengan minuman berasaskan espresso di mana nisbah kopi dan susu serta jenis susu dapat menentukan cawan mana yang akan digunakan.
Espresso adalah kopi terkecil yang disajikan dalam cawan kecil atau gelas. Ia adalah minuman asas untuk setiap cawan kopi yang mana ia hadir dengan rasa, aroma dan paras kafein yang kuat. Jadi, untuk hidangan kopi yang lain pula akan ditambah sama ada air, susu dan juga buih-buih lain.
Bahan Cawan Juga Memberi Kesan Kepada Rasa Kopi?
Cawan diperbuat dari porselin, kaca, kertas, plastik dan banyak lagi yang lain. Kesemua jenis cawan ini juga sedikit sebanyak menambah rasa pada kopi.
Sebagai contoh, cawan kertas atau plastik adalah salah satu bahan yang sering menambah rasa kopi. Ini juga bergantung pada kualiti kertas atau plastik. Selalunya cawan kertas dilapisi dengan bahan lain untuk mengelakkan rasa kadbod yang mengerikan meresap ke dalam minuman anda.
Ia selalunya dapat dirasa ketika minum air sejuk. Rasanya tidak begitu ketara dirasa di dalam minuman, namun lidah anda tetap akan merasakan sesuatu rasa lain dari rasa kopi sewaktu anda meneguk.
Kadangkala, penggunaan cawan jenis kaca untuk kopi berasaskan espresso turut akan mengganggu rasa aslinya. Ia mungkin disebabkan perbezaan suhu. Selalunya cawan kaca tidak dipanaskan terlebih dahulu yang mana kesannya, kopi yang anda tuangkan di dalamnya tidak mengedarkan suhu panas kopi secara merata seperti porselin.
Tidak dinafikan, kopi di dalam cawan porselin atau seramik akan menghasilkan minuman berasaskan espresso dengan lebih baik. Hal ini kerana, kopi akan berubah rasa ketika ia sejuk. Jadi, porselin akan memegang dan memastikan suhu pada cawan lebih tahan lama berbanding bahan cawan yang lain.
Jenis Dan Fokus Cawan Untuk Penyediaan Kopi
Cawan berbentuk tulip menumpukan aroma. Apabila dinding cawang menutup hidung semasa anda menghirup, aroma akan dibau dengan lebih kuat. Malah, ia turut menambah kejelasan dan sedikit lebih mudah untuk mengetahui rasa yang berbeza.
Sementara, cawan permukaan yang lebih besar akan menyebabkan kehilangan kelikatan dan suhu, yang boleh menjadi baik atau buruk bergantung pada jenis kopi dan pilihan peribadi anda. Malah kopi dijangka lebih manis dari cawan berdiameter lebih luas.
Cawan dengan permukaan bawah yang lebih bulat akan memberikan crema yang lebih kuat dan tebal. Sekiranya bahagian bawahnya rata, espresso akan terasa lebih lembut dan tidak begitu kuat.
Sumber: Deneen Pottery, Science Direct