Carian
Rumah Sewa Mana Lebih Baik? Fully / Partial / Non Furnish ? 
December 31, 2020 tekong

Rumah Sewa Mana Lebih Baik? Fully / Partial / Non Furnish ? 

Bagi anda yang ingin menyewa rumah, kadangkala persoalan yang bermain di minda adalah rumah dengan pilihan furnishing mana yang lebih penting ? Dan jika anda baru sahaja mendirikan rumah tangga, yang mana lebih jimat atau memberikan nilai kepada anda?

Saya pernah menyewa rumah dengan pilihan Fully Furnish, kemudian diikuti dengan non-furnished dan baru-baru ini baru menyewa rumah yang partial furnish. Ketiga-tiga ini dalam kategori apartmen dan mempunyai ciri-ciri yang berbeza, sama sejajar dengan pilihan furnishing yang ada.

Artikel ini akan merangkumi faktor furnishing sahaja, dan tidak akan merangkumi faktor penyewaan lain seperti lokasi dan kemudahan fasiliti bangunan yang kadangkala turut mempengaruhi harga sewa rumah.

Fully Furnish

Saya mula menyewa Fully Furnish di Puncak Alam pada tahun 2013. Pada kadar sewa bulanan RM 450, dengan lantai marmar, kabinet dan dapur, mesin basuh, peti ais, TV, sofa, katil, almari bilik, ini semua memberikan lebih nilai pada kadar harga tersebut.

Namun apabila tinggal di rumah yang Fully Furnish, salah satu perkara yang perlu difikirkan adalah usia barangan di rumah tersebut dan juga faktor ‘wear and tear’. Kesemua barangan milik tuan rumah biasanya sudah digunakan terlebih dahulu dan sekiranya rosak, siapakah yang akan menanggung kos pembaikan alatan tersebut ? Ada baiknya perkara sebegini dinyatakan dalam perjanjian sewa rumah.

Dan bagi tuan rumah, menyediakan peralatan kelengkapan rumah Fully Furnish boleh menaikkan bayaran sewa rumah. Ia sesuai untuk penyewa yang mungkin tinggal hanya beberapa bulan, dan tidak ingin tinggal lama. Ini kerana mereka yang tidak ingin tinggal lama tidak akan menghadapi masalah pindah randah kerana perpindahan rumah akan memakan kos sewaan lori dan sebagainya.

 

Bagi mereka yang ingin menyewa rumah Fully Furnish untuk satu jangkamasa panjang, mungkin boleh juga memikirkan kos pemilikan barangan dalam rumah. Seperti contoh rumah yang sama non-furnish pada RM 800, jika disewa pada keadaan Fully Furnish, harganya mungkin boleh mencecah RM 1200 keatas.

Dan pada bayaran tambahan RM 400 sebulan, selepas anda menyewa selama 12 bulan, akan berjumlah RM 4,800 yang mana mungkin sudah merangkumi harga barangan yang anda sebenarnya boleh beli sekiranya anda menyewa unit kosong, dan barangan tersebut menjadi milik anda berbanding barangan Fully Furnish. Namun ini juga tertakluk jika barangan anda senang dipindahkan seperti kabinet dapur atau almari baju yang besar.

Saya hanya menyewa rumah Fully Furnish ini selama dua bulan, kemudian berpindah ke rumah Non-Furnish, yang hanya mempunyai sofa di Damansara Damai dengan kadar sewaan rumah kedai tersebut RM 550 sebulan pada tahun 2013.

Non-Furnish

Bagi rumah Non-Furnish, tidak dinafikan saya perlu berbelanja banyak untuk membeli kelengkapan rumah. Sewaktu pindah masuk, alatan dan perabot yang dibeli adalah kabinet dapur, peti ais, dapur, mesin basuh, almari, rak buku, TV, tilam, dan pelbagai lagi.

Namun anda tidak perlu membeli kesemuanya sekaligus, dan boleh membeli secara berperingkat. Saya membeli tilam pada tahun 2013 namun hanya membeli katil pada tahun 2015. Ini membolehkan anda mengawal perbelanjaan, disamping hanya menambah kelengkapan mengikut keperluan.

Unit Non-Furnish ini secara tidak langsung juga memberikan anda kebebasan untuk merubah furnishing mengikut citarasa sendiri. Dan bagi perabot, kebanyakan perabot dari IKEA mempunyai nilai jualan semula yang sangat tinggi. Saya sendiri berjaya menjual semula almari, katil, tilam, rak TV, dan juga rak buku dari IKEA dan mendapatkan semula 50% nilai asal sewaktu ingin berpindah ke rumah sewa baharu pada November 2020.

Partial Furnish

Rumah sewa ketiga di Bukit Jalil yang dipilih menawarkan Partial Furnish pada kadar sewa RM 1,100 sebulan. Pada kadar ini, terdapat mesin basuh, kabinet dapur, dapur elektrik, peti ais, almari bilik dan rak tv. Harganya adalah sedikit tinggi memandangkan ia mempunyai kemudahan yang jauh berbeza dengan rumah-rumah sebelum ini.

Bagi rumah Partial Furnish, faktor kiraan barangan juga sama sahaja seperti Fully Furnish namun ada baiknya anda mengetahui perabot dan kelengkapan apakah yang disediakan oleh pemilik rumah. Barangan yang mahal seperti kabinet dapur ataupun almari tinggi adalah berbaloi untuk dikira sebagai Partial Furnish.

Faktor Lain Yang Perlu Diambil Kira

Sekiranya anda ingin membeli barangan kelengkapan rumah, adalah penting untuk anda memikirkan jangkahayat sesuatu barangan tersebut. Untuk barangan penting seperti Peti Ais atau Mesin Basuh, lebih baik anda membeli model terbaik dan boleh bertahan lama. Ini kerana barangan sebegini, boleh dijual semula dan anda boleh membeli barangan lebih baru apabila berpindah.

Dan perabot-perabot IKEA mempunyai nilai jualan semula yang agak tinggi jika dilihat pada harga yang biasanya dipaparkan di Carousell. Malah IKEA sendiri mempunyai ruangan As-Is yang menjual barangan terpakai dari pengguna atau telah digunakan sebagai barangan pameran, serta barangan yang sudah dihentikan penjualannya,

Akhir kata, pilihlah rumah sewa dengan pilihan kesediaan furnishing mengikut tahap kewangan anda. Semoga artikel ini sedikit sebanyak memberikan panduan untuk anda.

Komen