Ini 5 Perkara Yang Anda Boleh Lakukan Menggunakan Touch ‘n Go eWallet

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia telah mengumumkan perkhidmatan dompet digital nirtunai yang terpilih untuk program eTunai RM30. Dengan ini, pengguna boleh menebus kredit sebanyak RM30 di salah satu daripada tiga dompet digital terpilih bermula 15 Januari 2020. Tiga perkhidmatan dompet digital yang dipilih adalah Touch ‘n Go eWallet, GrabPay dan Boost.

Menerusi program ini, ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi pengguna dompet digital nirtunai untuk menikmati pelbagai kemudahan dan tawaran hebat yang disediakan menerusi setiap perkhidmatan e-wallet yang dipilih. Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda tentang lima perkara yang anda boleh lakukan menggunakan Touch ‘n Go eWallet.

Tawaran Dan Promosi Setiap Bulan Oleh Pelbagai Jenama

Melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, anda boleh mendapatkan pelbagai tawaran dan promosi hebat dari pelbagai jenis jenama. Antara yang ditawarkan termasuk pulangan tunai sebanyak RM6.88 jika anda berbelanja sebanyak RM60 di Giant, pulangan tunai bernilai RM8 untuk perbelanjaan minima RM60 di Watson, belian minuman di Starbuck pada harga RM10 (untuk tiga minuman terpilih), tiket wayang di TGV pada harga RM10 setiap hari dan banyak lagi promosi yang disediakan untuk anda nikmati setiap hari.

PayDirect – Tolakan Kredit Untuk Pembayaran Di Plaza Tol

Pada Disember 2019 yang lepas, Touch ‘n Go eWallet telah memperkenalkan ciri pembayaran secara tolakan kredit melalui PayDirect. Dengan ini pengguna boleh memautkan kad fizikal TNG pada aplikasi Touch ‘n Go eWallet, yang mana tolakan kredit akan dikenakan pada dompet digital dan bukannya kad fizikal TNG sekiranya anda menyentuh kad TNG anda pada plaza tol. Langkah ini memudahkan pengguna untuk membuat tambah-nilai dan pembayaran tol secara atas talian tanpa menggunakan tunai.

Sokongan Pembayaran Parkir

Pengguna juga boleh melakukan pembayaran tempat letak kenderaan menggunakan aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Antara lokasi yang diperkenalkan adalah kawasan perbandaran Kuala Lumpur, Subang Jaya, Putrajaya, Kuala Langayt dan Kota Bharu. Dengan sokongan ini, anda hanya perlu membuka aplikasi Touch ‘n Go eWallet, memilih ikon “Parking”, dan seterusnya menambah informasi kenderaan, memilih lokasi dan memilih jarak masa.

Pembayaran Bil  Utiliti Dan Tiket

Anda turut boleh membuat pembayaran secara nirtunai menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet kepada penjual. Beberapa kategori disediakan menerusi perkhidmatan Touch ‘n Go eWallet termasuk:

  • Tambah nilai prabayar
  • Bil pascabayar
  • Bil utiliti
  • Tiket wayang
  • Tiket kapal terbang

Semak Baki Kad Digital Terus Pada Aplikasi

Perkhidmatan Touch ‘n Go eWallet turut menyokong pautan kad fizikal TNG secara terus kepada aplikasi yang memudahkan para pengguna untuk menyemak baki pada kad fizikal dengan mudah. Pengguna boleh menambah maksima sehingga tiga kad TNG sahaja pada sesuatu masa (termasuk MyKad).

________________________________________________________________________

Buat masa ini, aplikasi ini masih tidak menyokong pemindahan baki daripada Touch ‘n Go eWallet ke kad fizikal. Malah, baki yang diperlihatkan juga hanya dikemaskini lewat sehari dan bukannya dalam paparan masa-nyata. Bagi anda yang menggunakan khidmat Touch ‘n Go, boleh memuat-turun aplikasi Touch ‘n Go eWallet ini ke peranti anda hari ini.

Muat-turun: Play Store , App Store