Kebaikan Herba dan Rempah Ratus yang Tidak Kita Ketahui
Makanan kita kaya dengan herba dan rempah ratus yang memberikan rasa yang unik. Walaubagaimanapun rempah dan herba tersebut bukan sekadar penambah rasa untuk makanan, ia juga mempunyai banyak kebaikan lain untuk kesihatan:
Halia

Halia ialah antara herba yang paling senang ditemui dalam masakan. Ia mengandungi kandungan gingerol yang tinggi yang bersifat anti radang dan anti oksida. Ia terbukti mampu mengurangkan kesakitan otot. Bagi mereka yang mempunyai masalah osteoathritis, gingerol membantu mengurangkan kesakitan yang diakibatkan oleh keradangan sendi dan kekejangan.
Halia juga mampu melegakan rasa loya dan ia terbukti lebih efektif berbanding ubat-ubatan, terutamanya buat mereka yang mudah mabuk kenderaan, mabuk laut serta ibu mengandung yang mengalami simptom ‘morning sickness’.
Pengambilan halia juga digalakkan buat mereka yang mempunyai masalah kesakitan abdomen ketika menstruasi.
Malahan kajian pada 2015 terhadap sekumpulan penghidap diabetes tahap 2 juga mendapati pengambilan halia sebanyak 2 gram setiap hari mampu menurunkan 12% kadar gula dalam darah dan mengurangkan pelbagai faktor yang menyumbang kepada risiko sakit jantung.
Bawang Putih

Sering digunakan sebagai bahan tumis dalam masakan, bawang putih mempunyai pelbagai kebaikan kepada badan selain memperisakan makanan.
Bawang putih mampu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan merendahkan kadar kolesterol LDL dalam darah daripada 10 hingga 15 peratus. Kajian mendapati pengambilan bawang putih secara konsisten setiap hari adalah lebih berkesan daripada ubat Atenolol untuk menurunkan tekanan darah tinggi.
Selain itu, bawang putih juga mengandungi bahan bersifat anti oksida yang menyokong mekanisma perlindungan badan terhadap kerosakan oksidatif. Ia juga dapat meningkatkan enzim bersifat anti oksida yang mampu mengurangkan kesan kerosakan tekanan oksidatif untuk mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi. Kajian telah mengesahkan bahawa manafaat daripada kebaikan bawang putih ini dapat mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan otak seperti Alzheimer’s dan demensia.
Kunyit

Selain mewarnakan makanan dengan warna kuning semulajadinya, kunyit juga kaya dengan bahan anti oksida.
Seperti yang kita sedia maklum kerosakan akibat radikal bebas akan mengakibatkan proses pengoksidaan terhadap nutrien, kompenen penting yang menyokong pembentukan struktur sel yang sihat serta DNA yang mampu mengakibatkan penuaan dan pelbagai penyakit yang berkaitan penuaan.
Curcumin, kompenen utama dalam kunyit adalah bahan anti oksida yang meningkatkan pertahanan badan dan berkesan untuk meneutralkan radikan bebas. Selain itu curcumin juga mampu merangsang badan untuk menghasilkan enzim anti oksida untuk menentang tindakan pengoksidaan.
Seperti halia, kunyit juga mampu mengurangkan pembengkakan dan kesakitan oto dan sendi. Ini adalah kerana curcumin yang terkandung dalam kunyit juga mempunyai kompaun anti radang yang mampu melegakan simptom arthritis.
Kayu Manis

Kayu manis sering dijumpai dalam masakan, minuman dan jem, namun penggunaannya tidak terhad untuk kegunaan dapur semata-mata.
Kayu manis mengandungi bahan yang dikenali cinnamaldehyde yang mampu melawan jangkitan kuman. Minyak kayu manis mampu melawan jangkitan saluran pernafasan yang diakibatkan oleh fungi dan menghalang pertumbuhan bakteria, terutama sekali yang mengakibatkan kerosakan gigi dan nafas berbau.
Oleh yang sedemikian, tidak hairanlah sekiranya ekstrak minyak kayu manis sering digunakan dalam ubat gigi dan gula-gula penyegar nafas.
Cengkih

Seperti kayu manis, umum diketahui cengkih adalah salah satu bahan semulajadi yang sering digunakan dalam produk penjagaan mulut. Selain memberikan perisa dan bauan yang menharumkan mulut, cengkih juga bersifat anti mampu membunuh kuman yang merosakkan gigi dan gusi.
Cengkih mengandungi kompaun yang dikenali sebagai eugenol yang bersifat anti oksida.
Kajian dalam makmal juga mendapati cengkih mampu mengawal kadar gula dalam darah dengan menggalakkan peningkatan penyerapan gula dalam dalah ke dalam sel-sel badan, menggalakkan pengahsilan insulin dan menambahbaik fungsi sel yang bertindak untuk mengahasilkan insulin.
Namun begitu, harus diingatkan pengambilan cengkih dalam penjagaan kesihatan secara keseluruhan haruslah dikuti dengan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat.
Sumber: Healthline