Tips Belajar – Bagaimana Untuk Membuat Nota Menggunakan Peta Minda?
Peta minda merupakan sebuah cara membuat nota menerusi gambaran visual yang membantu dalam menyusun dan mengatur nota dengan lebih efektif dan efisien. Teknik ini sangat berguna dalam mengaitkan hubungan antara topik dan subtopik dalam sesuatu pembelajaran. Bukan itu sahaja, ia juga menghubungkan bit untuk setiap topik dalam membentuk hierarki yang mudah untuk difahami dan diingati.
Antara kebaikan menggunakan peta minda adalah ia membantu pelajar untuk belajar secara visual atau pemerhatian. Menerusinya, ia memberi penekanan untuk unsur visual pelajar seperti imej, warna dan bentuk yang membantu meningkatkan fungsi kognitif dalam minda.
Jadi, bagaimana anda boleh menulis nota menggunakan peta minda yang efektif?
Menggunakan Warna Dan Gambar Yang Bersesuaian
Pilih lakaran dan imej yang bersesuaian dengan topik atau subjek yang dibincangkan. Apabila anda menggunakan elemen atau unsur yang bersesuaian, ia menjadikan lebih mudah untuk anda menggambarkan visual sesuatu idea. Anda tidak perlu meletakkan imej yang kompleks, ia cukup sekadar lakaran imej mudah yang mewakili kata kunci di peta minda anda.
Elakkan daripada menggunakan warna yang seakan sama, hal ini kerana ia akan menyukarkan anda untuk memadankan warna dan idea yang betul. Oleh itu, anda boleh meletakkan tiga warna asas seperti merah, biru dan kuning di dalam peta minda anda.
Menggunakan Kata Kunci Dan Ayat Ringkas
Bukan itu sahaja, anda juga hanya perlu menggunakan ayat ringkas dan isi penting seperti kata kunci untuk ditulis di dalam peta minda. Dengan menekan idea penting, anda dapat menjimatkan masa yang penting semasa belajar. Hal ini kerana, otak anda akan secara aktif membuat hubungan antara idea-idea, menambah maklumat lain dan menghasilkan idea kreatif yang lebih lanjut.
Otak anda bertindak balas terhadap lakaran rajah dan peta minda kerana ia akan meningkatkan proses pemikiran semula jadi, selain membuatkan proses pembelajaran lebih menyeronokkan. Elakkan daripada melakar peta minda yang terlalu kompleks kerana ia akan mengambil masa yang terlalu panjang untuk menyiapkannya.
Rangka Idea Untuk Pemetaan Yang Lebih Teratur
Semasa anda melakar peta minda, idea anda akan mengalir dengan lebih laju dan mudah. Bagi mengelakkan anda membincangkan topik yang tidak berkaitan, pastikan anda merangka idea dan isi yang ingin diletakkan. Hal ini kerana, anda akan lebih mudah untuk nampak kesinambungan idea dalam satu lakaran rajah. Kemudian, anda boleh menyusun semula atau mengeluarkan isi penting yang tidak anda perlukan dari peta minda.
Untuk membuat peta minda, anda boleh memilih untuk melakar menggunakan perisian komputer atau tulis secara manual menggunakan pen berwarna. Peta minda akan berfungsi sebagai bantuan visual. Jadi, anda boleh mencetaknya dan simpan sebagai rujukan masa hadapan.
________________________________________________________________________
Peta minda merupakan salah satu teknik yang membantu pelajar menyediakan nota pelajaran. Menerusinya, ia dapat meningkatkan memori selain mengeluarkan maklumat penting dari artikel dan teks yang panjang. Ia mempunyai pelbagai kebaikan termasuk meningkatkan fungsi kognitif minda selain menghubungkan setiap idea dengan lebih mudah.