Perkara Yang Anda Boleh Lakukan Sewaktu Transit Sebelum Penerbangan Seterusnya

Apakah yang anda selalu buat sementara menunggu penerbangan seterusnya? Sudah pasti anda akan merasa bosan jika berada di sesuatu tempat pada tempoh masa yang lama. Bukan itu sahaja, duduk untuk masa yang lama di kerusi adalah sangat tidak kondusif. Malah ia tidak baik untuk peredaran darah dan oksigen dalam badan.

man sitting on gang chair with feet on luggage looking at airplane

Bagi anda yang ingin tunggu di lapangan terbang sambil menunggu pintu dibuka, anda boleh bertanyakan kaunter pertanyaan untuk mendapatkan peta bangunan lapangan terbang. Dengan ini, anda boleh mendapatkan gambaran mudah untuk pergi ke lokasi yang anda ingin pergi.

Simpan Bagasi Anda Di Dalam Tempat Khas

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mendapatkan loker untuk menyimpan bagasi dan segala barangan yang bernilai di dalamnya. Setelah menyimpan barangan anda, anda boleh mula bergerak ke tempat lain tanpa perlu risau akan keselamatan barangan. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyambung tidur semula bagi mana-mana individu yang mungkin kepenatan setelah seharian bergerak aktif. 

Lawati Kedai Buku Di Lapangan Terbang

Kebanyakan lapangan terbang mempunyai kedai buku dengan pelbagai pilihan buku dan judul yang boleh anda dapatkan. Sebagai contoh di Lapangan Terbang Istanbul, ia menyediakan sekitar 2,550 buku di perpustakaan di terminal domestik. Pengunjung boleg meminjam buku di sana yang mana ia boleh dipulangkan di perpustakaan lain di Turki. Bagi yang berminat, anda hanya perlu mendaftar sebagai ahli di Perpustakaan Lapangan Terbang Istanbul. Lain-lain terminal yang menyediakan perkhidmatan seperti ini termasuk Lapangan Terbang Baton Rounge di Florida, Lapangan Terbang Cape Town dan KLIA.

Cari Kesempatan Untuk Merasai Hidangan Tempatan

Sementara menunggu penerbangan seterusnya, anda boleh mendapatkan hidangan tempatan di kawasan berdekatan. Gunakan kesempatan ini untuk menjelajah budaya dan tradisi sesebuah negara. Luangkan masa untuk mencari restoran yang menyajikan makanan yang unik selain menyediakan ruangan yang kondusif untuk anda berehat.

Bersiar-siar Di Kawasan Sekitar

Kebanyakan lapangan terbang akan menyediakan pelbagai fasiliti untuk para pengunjung yang datang. Ia termasuk ruang istirahat, restoran dan kafe, pusat membeli belah dan macam-macam lagi. 

Jika di KLIA atau KLIA2, anda boleh menonton filem di movie lounge di terminal utama dan KLIA2. Di sana, ia menawarkan sofa dan kerusi berbaring dan memaparkan filem-filem popular di skrin TV besar. Sementara untuk pengunjung yang ingin membeli-belah pula, anda boleh berkunjung ke Gateway Mall yang terletak di KLIA2.

Lawatan Bandar Secara Percuma

Sesetengah lapangan terbang, seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Jepun, dan Lapangan Terbang Changi di Singapura akan membawa anda melawat bandar yang berdekatan sambil menunggu penerbangan anda.

________________________________________________________________________

Terdapat pelbagai lagi aktiviti yang anda boleh lakukan sambil menunggu jadual penerbangan yang seterusnya. Antaranya adalah pergi ke spa atau urutan badan,  atau anda juga boleh mencari untuk mengambil gambar. Bagi yang mempunyai jam transit yang lebih panjang, anda juga boleh mencari hotel untuk berehat pada harga yang rendah.