Tips Belajar – Menyediakan Nota Menggunakan Kaedah Cornell Note-Taking

Dalam tips membuat nota kali ini, Tajria akan berkongsi kepada anda cara baru dalam menyediakan nota pelajaran secara efektif dan efisien. Terdapat pelbagai cara yang boleh anda praktikkan dalam menyediakan nota yang sempurna. Antaranya adalah menerusi kaedah Cornell.

Cornell adalah sebuah sistem pengambilan nota yang sesuai digunakan sewaktu sesi kuliah.  Penyediaan nota melalui teknik ini juga dikenali sebagai sistem Cornell Note-Taking atau nota Cornell. Kaedah ini dinamakan bersempena Universiti Cornell. 

Untuk kaedah ini, terdapat tiga bahagian penulisan iaitu 20% untuk kata kunci dan idea, 70% untuk penerangan dan contoh dan 10% untuk kesimpulan. Dengan ini, nota anda adalah lebih teratur dan mudah untuk difahami. Kebiasaannya, untuk penyediaan yang lebih efektif, anda boleh menulis objektif dan konsep awal sesebuah topik sebelum masuk ke kuliah dan kemudian tambah penerangan dan huraian yang berkaitan sewaktu sesi pembelajaran dan seterusnya simpulkan ringkasan topik setelah selesai.

Apakah Kelebihan Kaedah Cornell?

Menggunakan Singkatan Dan Simbol

Menarik mengenai kaedah ini adalah ia tidak menggunakan ayat dan huraian yang panjang. Untuk setiap isi kandungan, anda boleh menulis menggunakan singkatan (abbrevation) atau simbol yang mudah difahami. Untuk rajah dan formula, anda turut boleh meletakkannya di bahagian kanan halaman.

Dengan ini, nota akan lebih kemas selain lebih mudah mencari isi penting untuk topik tertentu. Bukan itu sahaja, aturan seperti adalah lebih konsisten selain membantu pelajar mengasingkan perkara dan maklumat penting dengan kandungan topik yang lain.

Ringkas Tapi Lengkap

Penyusunan isi dan idea menerusi kaedah ini adalah lebih jelas dan teratur. Hal ini kerana, kaedah ini telah mempunyai tiga bahagian yang berlainan untuk penulisan fakta. Bukan itu sahaja, ia menggunakan kata kunci mengenai aspek penting sesuatu topik yang dipelajari di kuliah. Selain itu, di bahagian bawah halaman juga anda menulis rumusan ringkas berdasarkan pandangan dan pemahaman anda. 

Untuk sesetengah subjek dan topik yang rumit, anda dinasihatkan untuk menyelesaikan semua nota sejurus selepas kuliah selesai kerana anda boleh terus merujuk kepada pensyarah untuk bahagian yang mungkin anda tidak memahami.

Kesimpulan

Selain penyediaan nota yang kemas dan teratur, kaedah Cornell juga mempunyai kelebihan lain. Antaranya termasuk mengambil masa yang singkat untuk menyerap fakta sebagai hasil pembelajaran yang berkesan. Bukan itu sahaja, ia juga memudahkan anda untuk ulangkaji semula subjek yang telah dipelajari menerusi penyediaan nota yang sempurna. Selamat mencuba!