Carian
Tips Bajet – Cara Mudah Untuk Anda Menjimatkan Kos Tenaga
January 21, 2020 Lina Rosli

Tips Bajet – Cara Mudah Untuk Anda Menjimatkan Kos Tenaga

Jika kita lihat sejak kebelakangan ini, elektrik dan beberapa sumber tenaga yang lain telah menjadi salah satu perkara yang mudah untuk didapati, terutamanya di Malaysia. Oleh sebab itu, kebanyakan individu menjadi tidak peka terhadap pembaziran sumber tenaga dalam kehidupan seharian. 

Terdapat banyak perkara kecil yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Menguruskan kadar penggunaan tenaga pada waktu harian bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan kos bulanan, malah penggunaan sumber tenaga yang optimum membantu memelihara alam sekitar menjadi lebih lestari.

Jadi, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda mengenai tips dan cara untuk menjimatkan tenaga dan kos elektrik dalam rutin harian anda. Berikut adalah beberapa idea penjimatan tenaga untuk mengurangkan kos tenaga:

Gunakan mentol lampu LED

Teknologi LED juga memberikan banyak kelebihan tambahan terhadap lampu pijar, lampu fluorescents, lampu pendarfluor dan alat pencahayaan. Ini termasuk jangka hayat yang lebih panjang iaitu sekitar 60,000 jam, penggunaan tenaga yang rendah, mengurangkan kos penyelenggaraan, dan kualiti keselamatan yang lebih tinggi.

Matikan suis dan plag yang tidak digunakan

Elakkan daripada membiarkan suis dan plag sentiasa terpasang, kerana akan memberi kesan kepada penggunaan tenaga. Matikan suis perkakas elektrik seperti periuk nasi, ketuhar dan  pengecas telefon bimbit apabila anda tidak menggunakannya.

black male plug in front of electric socket

Matikan penghawa dingin apabila anda meninggalkan bilik

Menurut Tenaga Nasional Berhad ini, ini sahaja akan menjimatkan sekitar RM80 setahun untuk kos tenaga anda. Tetapkan suhu penghawa dingin anda pada keadaan 24 atau 25 darjah Celcius dan pastikan anda servis penghawa dingin secara berkala bagi mengelakkan penggunaan tenaga yang maksima.

Beli perkakas elektrik yang jimat tenaga

Walaupun harga perkakas elektrik jimat tenaga lebih tinggi dari perkakas eletrik biasa, kos operasi mereka adalah sekitar 9 hingga 25% lebih rendah daripada model konvensional.

Hadkan penggunaan pemanas air

Pemanasan air adalah penyumbang utama kepada penggunaan tenaga anda. Selain daripada membeli pemanas air yang jimat tenaga, terdapat dua kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga untuk pemanasan air iaitu memanaskan air pada suhu sederhana dan menolak termostat pada pemanas air. 

Tempoh penggunaan air yang pendek

Elakkan daripada mandi terlalu lama. Hal ini kerana, memendekkan masa mandi juga akan membantu mengoptimumkan penggunaan air dan tenaga. Selain mandi, elakkan daripada membasuh pakaian terlalu kerap kerana ia juga menyumbang kepada penggunaan tenaga yang tinggi.

________________________________________________________________________

Dengan ini dapat disimpulkan, anda harus menilai setiap aktiviti yang menggunakan tenaga dengan memulakan pemilihan dan tempoh penggunaan produk elektrik termasuk peti sejuk, mesin basuh, pengering, pemanas air dan peralatan lain. Secara amnya, kos tenaga sering meningkat dan ia memberi kesan kepada kos perbelanjaan dan bil sekaligus menjadi sukar untuk anda mengekalkan bajet yang ditetapkan.

Komen