Lina Rosli Diterbitkan 21 January 2020

Panduan Pemilihan Pakaian Untuk Menghadiri Temu Duga

Panduan Pemilihan Pakaian Untuk Menghadiri Temu Duga

Pemilihan baju dan gaya sewaktu temu duga adalah sangat penting kerana ia memberikan gambaran dan persepsi awal mengenai perwatakan seseorang individu. Bukan itu sahaja, ia juga menunjukkan kepada pihak penemu duga akan usaha anda untuk mengenali dan memahami budaya syarikat yang anda ingin bekerja. 

black rolling chairs beside brown table

Oleh kerana setiap syarikat mempunyai budaya yang berbeza, anda perlu mengetahui gaya yang menarik dalam masa yang sama masih menepati ciri yang diperlukan sewaktu temu duga. Berikut adalah beberapa idea dan gaya untuk memastikan anda menggayakan pakaian yang bersesuaian:

Kemeja Dengan Pilihan Warna Asas

Contoh untuk pilihan warna asas adalah termasuk putih, biru navy, hitam dan beige. Penggunaan warna-warna seperti ini bukan menjadikan anda kelihatan lebih kemas dan formal, malah ia juga memberikan impak kredibiliti dan versatil sewaktu hadir ke temu duga. Pastikan anda memilih saiz yang bersesuaian (tidak terlalu kecil atau besar) dan rekaan baju yang minimal tanpa sebarang aksesori tambahan yang berlebihan.

Skirt Labuh Dan Seluar Panjang

Jika anda hadir untuk temu duga di syarikat yang mengamalkan budaya formal, adalah disarankan kepada anda untuk mengenakan baju bersama seluar panjang atau skirt labuh. Elakkan daripada mengenakan skirt dengan warna dan corak yang keterlaluan. Warna klasik seperti coklat, biru dan hitam adalah padanan yang paling cocok untuk semua gaya.

Bagi syarikat startup yang kasual, padanan jeans dengan kemeja adalah dibenarkan, namun pastikan ia bersih, tidak kelihatan lusuh dan tidak mempunyai lubang atau ragged.

Tudung Atau Skarf Yang Bersesuaian

Bagi wanita yang memakai tudung, pastikan anda memakai anak tudung yang bersesuaian dengan warna tudung. Anak tudung juga penting bagi mengelakkan rambut anda dari terkeluar selain menjadikan penampilan anda lebih kemas. Selain itu, pakai warna tudung yang senada dengan baju untuk tampil lebih elegan. 

Kasut Bertutup Dan Bertumit

Bukan itu sahaja, kasut turut menyumbang kepada pemilihan gaya yang sesuai sewaktu temu duga. Elakkan daripada memakai selipar atau sandal dengan rekaan yang terbuka di bahagian hadapan. Pilih kasut bertumit yang tidak terlalu tinggi seperti loafers atau pumps untuk tampil lebih bergaya.

Portfolio Dan Beg Bimbit

Anda juga boleh membawa beg bimbit atau fail bagi meletakkan segala dokumen dan sijil-sijil yang berkaitan untuk temu duga. Ia bagi mengelakkan dokumen anda berterabur atau tercicir di kawasan sekitar. Pilih beg atau fail yang tidak terlalu menyerlah selain saiz yang bersesuaian.

________________________________________________________________________

Pemilihan gaya yang sesuai sangat penting sewaktu menghampiri temu duga. Bukan itu sahaja, padanan warna dan corak juga perlu dititik beratkan. Jika anda pergi ke syarikat yang formal, anda perlu tampil dengan gaya yang formal, atau untuk syarikat yang mengamalkan gaya kasual, anda boleh hadir dengan lebih relaks. Selamat mencuba!