Kellies Castle – Salah Satu Tarikan Menarik Di Batu Gajah, Perak
Nama Kellies Castle atau Istana Kellie ini seperti sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Bangunan lama yang terletak di Batu Gajah ini dilihat menyimpan seribu satu sejarah dan kenangan yang mungkin tidak ramai ketahui. Jadi, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai istana yang menjadi kunjungan orang ramai sejak kebelakangan ini.
Siapa William Kellie Smith?
Menarik mengenai Istana Kellie ini adalah ia menggabungkan pelbagai emosi mengenai percintaan, tragedi dan misteri. Sejarah Istana Kellie bermula daripada pemuda dari Scotland yang bernama William Kellie Smith. Beliau meninggalkan Scotland pada usia 21 tahun dan merantau ke Tanah Melayu. Selepas tiba di Tanah Melayu, William bekerja sebagai jurutera awam dan membantu membina jalan di Batu Gajah berhampiran Ipoh.
Selepas beberapa tahun, William ingin mengubah hidupnya dan kemudian melakukan pelaburan berkenaan peladangan getah. Setelah berada di puncak kehidupannya, beliau pulang ke Scotland untuk melawat ibunya yang dikatakan sakit. Apabila kesihatan ibu William bertambah baik, William bertemu Agnes dan memutuskan untuk berkahwin dengan wanita tersebut. Selepas itu, William kembali ke Tanah Melayu dan memutuskan untuk membina Istana Kellie sebagai hadiah untuk isterinya. Keluarga Smith tidak lama lagi mempunyai dua anak, seorang anak perempuan bernama Helen, dan anaknya Anthony.
Reka Bentuk Istana Kellie
Istana Kellie menggabungkan beberapa gaya untuk reka bentuk luaran dan dalaman. Hal ini kerana, William mempunyai keinginan untuk memiliki sebuah rumah agam yang besar dan mewah. Ia bertujuan untuk menunjukkan kehebatan dan kekayaan beliau yang pernah dipersoal oleh sesetengah birokrat.
Idea awal untuk Istana Kellie adalah menampilkan istana dengan beberapa tingkat selain menara yang tinggi, gelanggan tenis tertutup serta ruang untuk melakukan majlis dan acara di bahagian bumbung. Bukan itu sahaja, ia juga hadir dengan binaan lif pertama untuk suatu ketika dahulu. Untuk mendirikan istana ini, William juga mengimport beberapa pekerja Tamil dan batu bata serta marmar dari India.
Episode Tragedi Istana Kellie
Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi William yang mana impiannya tidak sempat menjadi kenyataan. Disebabkan Perang Dunia Pertama (World War I) yang berlaku pada sekitar tahun 1915, ia telah mengganggu proses pembinaan yang mana telah melambatkan penghantaran bekalan bahan dan tenaga kerja.
Selepas perang tamat, kawasan Batu Gajah dilanda serangan wabak Pandemik Selsema 1918 yang telah mengakibatkan ramai buruh istana tersebut terbunuh sewaktu menjalankan projek pembinaan. Setelah wabak tersebut surut, pembinaan Istana Kellie diteruskan sehingga tahun 1926. Kemudian, William Kellie Smith berhijrah ke Lisbon dan semasa di sana dia mengalami pneumonia dan meninggal dunia. Isterinya, Agnes pula tidak pernah kembali ke Tanah Melayu selepas kematian Willian dan dia menjual Istana Kellie tersebut. Pemilik baru rumah agam tersebut dilihat tidak berminat untuk meneruskan pembinaan bangunan tersebut dan mengabaikannya.
Dan hari ini, Kerajaan Malaysia menyedari akan potensi pelancongan dan nilai warisannya. Kawasan tersebut telah dibersihkan dan membina semula tanpa menjejaskan struktur asal bangunan dan akhirnya telah membukanya sebagai tarikan pelancongan.
Lawati Dan Kunjungi Istana Kellie
Bagi anda yang berminat untuk berkunjung ke Kellies Castle atau Istana Kellie:
Alamat: Kellie’s Castle, 31000 Batu Gajah, Perak
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari – 9 pagi hingga 6 petang
Bayaran Masuk:
- Warganegara RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak
- Bukan Warganegara RM10 untuk dewasa dan RM9 untuk kanak-kanak