Carian
5 Cara Untuk Mengurangkan Penyebaran Kuman Atau Virus Selsema Di Rumah
January 28, 2020 Lina Rosli

5 Cara Untuk Mengurangkan Penyebaran Kuman Atau Virus Selsema Di Rumah

Tahukah anda kebersihan diri adalah bermula di rumah? Jika anda perasan, biasanya jika seorang daripada ahli keluarga selsema, kebarangkalian untuk berjangkit kepada ahli keluarga yang lain adalah tinggi.

Virus selsema adalah mudah tersebar dipersekitaran yang terdedah yang mana ia merebak walaupun sebelum simptom muncul. Oleh itu, dengan menerapkan beberapa langkah kebersihan yang mudah di rumah, anda boleh membantu keluarga anda sihat dan mencegah bakteria dan virus daripada merebak.

Berikut adalah beberapa langkah untuk mencegah penyebaran virus di rumah:

Tutup mulut dan hidung ketika batuk dan bersin

Penyebaran virus biasanya tersebar melalui titisan air dari mulut dan hidung. Oleh itu, anda digalakkan untuk menggunakan topeng muka sekiranya batuk atau bersin. Pastikan anda membuang tisu dengan serta-merta dan basuh tangan anda dengan segera. Sekiranya tiada tisu yang bersih, batuk atau bersin ke dalam siku-siku anda. Elakkan daripada tutup mulut atau hidung menggunakan tapak tangan anda kerana ia turut menyumbang kepada penyebaran virus apabila anda menyentuh tempat lain.

Elakkan menyentuh mata, hidung, dan mulut anda

Bagi anda yang sering menaiki pengangkutan awam, peratusan untuk anda terdedah dengan virus adalah lebih tinggi. Hal ini kerana, kuman selsema dilihat boleh bertahan selama dua hingga lapan jam di permukaan yang rata dan keras. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menyediakan sanitizer yang secukupnya dari rumah sebelum anda keluar. Seterusnya, elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut selepas memegang mana-mana peralatan yang digunakan orang ramai tidak kira di dalam atau luar rumah.

Basuh tangan anda dengan kerap

Jadikan tabiat membasuh tangan sebelum dan selepas anda menyentuh barangan perabot atau bersalaman dengan individu di rumah terutamanya kanak-kanak. Untuk langkah yang lebih berkesan, pastikan anda dan keluarga anda mengikuti langkah-langkah ini:

  • Bersihkan tangan anda dengan air suam
  • Tambah sabun
  • Skrub tangan selama sekurang-kurangnya 20 saat.
  • Bilas dan keringkan

Bukan itu sahaja, anda juga perlu memastikan anak-anak anda mencuci tangan setiap kali:

  • selepas menggunakan bilik mandi
  • sebelum mereka makan
  • selepas mereka pulang dari sekolah
  • Atau selepas bermain di luar rumah

Bersihkan rumah anda

Di dalam rumah, terdapat beberapa tempat yang paling berisiko tinggi untuk penyebaran kuman dan virus. Ia termasuk:

  • Kerusi dan meja makan
  • Alat kawalan televisyen dan penghawa dingin
  • Suis lampu dan kipas
  • Plug untuk perkakas elektrik
  • Tandas dan bilik mandi
  • Penyapu sampah
  • Sinki dan kabinet dapur

Oleh itu, anda perlu membersihkan dan membasmi kuman di alatan dan kelengkapan rumah yang sering digunakan orang ramai secara kerap. Jika terdapat individu di dalam rumah yang demam atau selsema, pastikan anda mengambil perhatian khusus sewaktu membasuh pakaian dan barangan mereka. Basuh dengan sabun dan keringkan pada suhu yang tinggi. Pastikan anda membersihkan tangan anda sejurus selepas mengurus pakaian kotor.

Praktikkan gaya hidup sihat

Selain menyediakan persekitaran yang bersih dan bebas kuman, anda juga perlu menitik beratkan pengambilan makanan dan minuman yang sihat. Dengan ini, ia boleh menjadikan tahan imun dalam badan lebih kuat dan berkesan. Berikut antara contoh gaya pemakanan yang baik:

  • Kurangkan makan makanan luar
  • Ambil buah-buahan dan sayuran yang sihat seperti brokoli, bayam, buahan citrus dan yogurt
  • Minum air yang telah dimasak
  • Letak bawang putih dalam masakan kerana ia mengandungi alicin yang boleh menghalang badan daripada dijangkiti kuman

Kesimpulan

Walau bagaimanapun, anda juga dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin untuk meningkatkan antibodi dalam badan. Tabiat dalam membersihkan diri dan persekitaran juga penting bagi mengurangkan kuman dan virus daripada merebak dengan pantas. Kurangkan aktiviti luar jika anda mempunyai gejala seperti selsema atau batuk kerana ia menyumbang kepada penyebaran kuman yang tidak baik.

Komen