Di Malaysia, purata perbelanjaan makan di luar untuk individu di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor adalah sekitar RM795 sehingga RM901 sebulan. Manakala untuk kawasan lain Semenanjung Malaysia pula adalah sekitar RM370 sehingga RM519.

Perbezaaan dalam jumlah purata perbelanjaan bulanan untuk makan adalah disebabkan oleh tiga faktor iaitu tahap perbandaran, kuasa membeli dan gaya hidup di sesebuah kawasan. Misalnya, bagi individu yang bekerja di Kuala Lumpur, mereka lebih cenderung untuk makan di luar berbanding masak di rumah kerana kekangan masa dan komitmen kerja selain akses untuk mendapatkan makanan dengan lebih mudah dan pantas.

Manakah yang lebih berbaloi, makan di luar atau masak di rumah?

Jawapannya adalah bergantung kepada gaya hidup anda yang mana perbelanjaan ini adalah tidak tetap tetapi ia boleh dijejak menerusi perbelanjaan bulanan sebelumnya. Jika anda tinggal berseorangan, anda boleh memilih sama ada ingin membeli makanan di luar atau masak di rumah. Hal ini kerana, ia tidak melibatkan jumlah orang yang banyak. Sebagai contoh, anggaran kos makan tengahari dan makan malam adalah RM24 sehari, manakala jika masak, anda perlu mengambil kira kos-kos bahan mentah yang boleh dikatakan agak tinggi di kawasan bandar. 

Namun, bagi yang sudah bekeluarga, kos adalah sedikit berbeza yang mana jika anda makan di luar yang mana perbelanjaan akan meningkat sehingga 4 kali ganda. Jadi, anda lebih disarankan untuk masak di rumah dengan perbelanjaan seminggu sekitar RM200. Oleh itu, anda perlu bijak dalam merancang perbelanjaan barangan dapur agar tidak membazir.

Berikut adalah tips untuk mengelakkan pembaziran untuk barangan dapur (kering dan basah):

1. Bandingkan harga barangan untuk setiap kedai

Sebelum anda membeli sesuatu kelengkapan dan barangan dapur, pastikan anda bandingkan harga untuk setiap kedai di kawasan rumah anda. Dengan ini, anda boleh mendapatkan sesuatu barangan pada harga yang lebih murah. 

2. Belanja mengikut keperluan

Jika anda seorang yang jarang memasak, elakkan daripada membeli barangan pada kuantiti yang berlebihan. Hal ini bagi mengelakkan pembaziran serta mengurangkan kos pembelajaan mingguan anda. Bukan itu sahaja, beli secara berkala, yang mana ia boleh membantu anda untuk mengurus pantri dan dapur dengan lebih efektif.

3. Senaraikan barangan yang ingin dibeli

Untuk cara yang lebih mudah, kemaskini senarai barangan dapur anda yang masih boleh digunakan di dapur. Anda boleh lakukan setiap kali anda menggunakan sesuatu bahan. Dengan ini, ia membantu anda mengenalpasti bahan-bahan yang perlu dibeli atau sudah kehabisan stok.

4. Gunakan bakul atau raga yang lebih kecil

Apabila anda menggunakan bakul yang lebih kecil, ia bukan sahaja mengawal anda daripada membeli secara berlebihan, malah ia juga membantu anda memilih barangan mengikut kepentingan. 

5. Jangan mudah terpedaya dengan kupon dan diskaun

Pastikan anda mengikut senarai bahan yang telah disediakan. Kadangkala sesetengah individu cenderung untuk membeli barangan yang mungkin tiada dalam senarai beli. Lebih-lebih lagi apabila terdapat diskaun untuk sesuatu bahan. Ingat, walaupun anda merasakan anda membeli barangan pada harga yang lebih rendah, namun ia juga telah menambah perbelanjaan untuk barangan yang tidak perlu.

________________________________________________________________________

Nilai perbelanjaan anda setiap bulan. Anda boleh mengira jumlah perbelanjaan di akhir bulan, lihat semula resit perbelanjaan anda. Sekiranya anda memenuhi matlamat atau target untuk berjimat pada kadar yang telah anda tetapkan (sebagai contoh, RM300 sebulan), maksudnya anda telah berjaya untuk tidak membazir. Sekiranya ia berakhir belanja yang tinggi, cuba semak kembali rancangan atau target anda untuk bulan tersebut sama ada masuk akal atau tidak. Selamat mencuba!

Lihat profil
Lina Rosli

415 artikel di Tajria.