Tips Perjalanan Bagi Anda Yang Ingin Memandu Jauh Secara Solo
Memandu untuk kilometer yang jauh memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Bukan itu sahaja, kemahiran untuk mengawal sesuatu keadaan juga harus diambil kira bagi mengekalkan kualiti pemanduan yang selamat dan efisien.
Secara umumnya, anda digalakkan untuk berhenti rehat sekurang-kurangnya 15 minit setiap dua jam, dan tidak memandu lebih daripada lapan jam dalam sehari, untuk memastikan anda sentiasa peka dan prihatin sekaligus mengelakkan pelbagai risiko lain. Risiko ini termasuk kehabisan bahan api, kenderaan hilang kawalan dan gangguan emosi.
Untuk membantu anda memahami akan kepentingan menjaga keselamatan diri sewaktu memandu seorang, Tajria telah menyusun tips dan langkah yang boleh anda praktikkan untuk memandu pada jarak yang jauh seorang diri.
Tetapkan batas jam memandu. Elakkan daripada memandu terlalu lama. Ia bukan sahaja akan menyebabkan badan anda tidak selesa, malah ia juga mengurangkan daya tumpuan anda terhadap pemanduan. Terhadkan waktu memandu maksimum kepada 10 jam sehingga 12 jam. Walau bagaimanapun, cara pemanduan setiap individu adalah berbeza, jadi jumlah jam pemanduan adalah bergantung kepada ketahanan mental dan fizikal seseorang.
Gunakan alat navigasi untuk menetapkan destinasi. Peta digital seperti Waze dan Google Maps berfungsi untuk menunjukkan arahan dan menggunakan maklumat trafik masa nyata untuk mencari laluan terbaik ke destinasi anda. Dengan navigasi suara, anda akan mendengar isyarat lalulintas, simpang mana yang perlu anda belok, lorong yang hendak digunakan, atau memberikan pilihan laluan yang lebih baik. Bukan itu sahaja, ia juga membantu anda dalam mengetahui jarak dan masa perjalanan yang diperlukan untuk tiba di destinasi yang dituju.
Sediakan pilihan muzik yang anda ingin dengari. Pilih muzik yang anda ingin dengar sebelum anda pergi. Terdapat kajian menunjukkan bahawa mendengar muzik boleh memberi kesan positif terhadap emosi semasa memandu, yang boleh digunakan untuk mempengaruhi keadaan dan tingkah laku yang selamat.
Tetapkan kawasan rehat yang anda ingin tuju. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda telah memilih tempat yang ingin anda berhenti sama ada untuk berehat, mengisi bahan api atau pergi ke tandas. Hal ini kerana, anda perlu merancang maksimum kilometer yang boleh anda pergi untuk mengisi bahan api sebelum tiba di destinasi. Jika anda tidak membuat perancangan yang betul, ia berkemungkinan besar akan memberikan risiko yang tinggi kepada perjalanan anda. Perlu diingatkan, tidak semua jalan mempunyai stesen minyak yang berdekatan.
Pastikan bateri telefon bimbit mencukupi. Beli pengecas telefon tambahan untuk digunakan di kereta. Apabila berjalan jauh, telefon adalah penting untuk anda menghubungi atau mendapatkan sesuatu maklumat. Oleh itu, bateri dan kredit untuk telefon perlu disediakan secukupnya.
Pandu menggunakan kasut atau sandal yang selesa. Untuk pemanduan yang jauh, guna kasut yang selesa untuk kaki anda. Elakkan daripada memakai kasut tumit tinggi. Tambahan, jika kenderaan anda rosak dan anda perlu berjalan kaki, sekurang-kurangnya anda mempunyai kasut yang sesuai untuk berjalan jauh dengan lebih mudah dan selesa.
________________________________________________________________________
Apabila anda memandu, pastikan pintu anda dikunci agar orang luar tidak boleh bukanya bagi mengelakkan insiden lain. Jangan lupa pakai tali pinggang keledar dan berhati-hati dalam meletakkan kenderaan anda. Sekiranya perjalanan anda membawa anda ke jalan raya dengan sedikit trafik, pertimbangkan untuk mendapatkan tayar ganti saiz penuh dan bukannya tayar donat yang hanya boleh pergi jarak yang pendek. Anda boleh mendapatkan tayar ganti yang berkualiti pada harga yang berpatutan.