Motion Sickness – Pernahkah Anda Mengalami Mabuk Kenderaan?
Motion sickness atau lebih dikenali sebagai mabuk kenderaan ini sering dialami oleh individu apabila menaiki sesetengah kenderaan. Ia adalah disebabkan oleh gerakan di dalam kenderaan yang berlaku secara berulang atau mana-mana gerakan lain yang mengganggu bahagian dalam telinga. Ia biasanya berlaku semasa anda menaiki kenderaan seperti kereta, bot, pesawat atau kereta api.
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Ia berlaku apabila sensor dan deria organ dalam badan menghantar mesej yang bercampur ke otak anda sekaligus menyebabkan gejala pening dan rasa mual.
Adakah motion sickness berbeza dengan mabuk laut?
Kedua-dua keadaan ini adalah sama dan tidak berbeza. Telinga dalam (inner ear) adalah bahagian vertebrata telinga yang paling dalam yang mempunyai dua komponen: bony labyrinth dan membranous labyrinth. Apa itu labyrinth? Ia adalah bahagian penting dalam sistem vestibular yang mengawal keseimbangan badan. Oleh itu, apabila terdapat gangguan pada sensor gerakan, ia akan menyebabkan seseorang individu berasa pening dan loya.
Apakah simptom anda mengalami motion sickness?
Antara simptom yang biasa dialami oleh sesetengah individu termasuk berpeluh, sukar untuk bernafas, pening dan terasa ingin pitam. Kadangkala, ada juga individu yang akan merasai gejala seperti loya, muntah dan mungkin mengalami masalah untuk mengekalkan keseimbangan badan.
Bagaimana untuk mengurangkan masalah motion sickness?
Apa yang perlu anda lakukan jika anda mengalami masalah motion sickness?Sebagai contoh, jika anda berasa pening atau mual apabila anda menggunakan telefon di dalam kereta, anda boleh mulakan langkah dengan menutup mata anda untuk seketika. Kemudian, tegakkan kepala dan tarik nafas sedalam yang boleh.
Dengan mengekalkan keseimbangan kepala, ia membantu dalam memudahkan penghantaran isyarat dari bahagian badan lain misalnya, mata dan telinga anda. Isyarat yang bertentangan boleh menyebabkan masalah mabuk kenderaan ini. Sebagai contoh, apabila anda berada di dalam kapal terbang, anda tidak dapat melihat pergolakan, tetapi tubuh anda dapat merasakannya. Kekeliruan yang terhasil boleh menyebabkan rasa mual atau muntah.
Antara langkah lain yang boleh dilakukan termasuk:
- Pilih tempat duduk yang membolehkan anda melihat permandangan luar seperti di tepi tingkap atau tempat duduk di bahagian hadapan.
- Elakkan daripada duduk secara terbalik. Sentiasa duduk pada posisi yang membolehkan mata dan badan anda merasai gerakan yang sama.
- Elakkan daripada mengambil bauan yang terlalu kuat atau makan makanan pedas dan berminyak sebelum menaiki kenderaan.
________________________________________________________________________
Motion sickness ini biasanya berlaku pada individu berumur sekitar 2 hingga 12 tahun, ibu mengandung atau orang yang lebih tua. Untuk mengetahui sama ada anda mengalaminya, anda boleh merasai simptom biasa seperti rasa mual, loya dan terasa sukar untuk bernafas. Anda juga boleh membuat diagnosis menerusi pakar atau golongan profesional jika masalah ini masih berlanjutan.
Sumber: Ear Associates , Healthline