Tips Memilih dan Menyimpan Buahan dan Sayuran
Kerap kali kita membeli sayuran dan buah-buahan namun ia tidak bertahan lama. Baru beberapa hari dibeli, sudah mula layu dan mengecut. Berikut adalah tips yang boleh anda praktikkan ketika membeli buah-buahan dan sayur-sayuran serta teknik penyimpanan agar ia mampu bertahan lama.
Pilih sayuran di Bahagian Belakang Rak
Pasaraya biasanya akan mempamerkan stok buahan lama dalam pek di bahagian hadapan. Ini membolehkan ia terjual dengan cepat sebelum ia rosak. Oleh yang sedemikian, dapatkan pek sayuran, buahan anda di bahagian belakang rak untuk memastikan ia mampu bertahan lama dalam simpanan anda di rumah.
Ragu-ragu akan Rasa dan Kualiti Buah? Belek dan bau
Ada kalanya, anda akan berasa ragu dengan kualiti dan rasa buah-buahan yang ingin anda beli. Warna kulit buah yang cantik sahaja masih boleh belum menentukan rasa. Adakah ia cukup manis atau ia masam?
Cara terbaik untuk mengagak rasa sesuatu buahan ialah dengan menghidu. Buah yang manis akan berbau wangi dan ‘manis’. Teknik menghidu bau ini sesuai untuk buahan sitrus dan buahan berpit yang lembut seperti apricot, pic, plum, nektarin dan mangga.
Belek buahan yang ingin anda beli. Elakkan buahan yang lebam atau mempunyai tompok coklat, berkedut atau lembik di sesetengah tempat. Sesetengah buah seperti avokado, epal dan plum terasa pejal apabila dipegang manakala sesetengah buahan seperti pic dan apricot seharusnya tidak pejal dan berasa lembut apabila dipicit yang menandakan ia sedia dimakan. (PERINGATAN: jangan picit buahan dan letak semula ke rak apabila ia telah rosak, tindakan ini adalah sangat tidak bertanggungjawab.)
Sekiranya anda ingin membeli buah tembikai, pastikan tangkainya kering dan bentuknya bulat (dan bukan lonjong). Buahan seperti pir atau tembikai susu sebaiknya terasa lembut di bahagian tangkai.
Membeli-belah Barangan Segar Pada Hari Bekerja

Kebanyakan barangan segar di pasaraya distokkan pada hari Isnin memandangkan hujung minggu adalah hari yang sibuk dan pasaraya padat dengan pengunjung. Menjelang pertengahan minggu, stok minggu sebelumnya yang masih berlum terjual akan dijual pada harga yang lebih rendah. Oleh yang sedemikian, membeli-belah barangan keperluan terutamanya sayuran dan buahan pada pertengahan minggu bukan sahaja memastikan anda mendapat bekalan barangan yang paling segar, anda juga dapat menjimatkan wang.
Beli Barangan Segar di Pasar Tani dan Pasar Malam

Selain membeli- belah di pasaraya, anda juga boleh mendapatkan barangan segar di pasar tani dan pasar malam. Kebanyakan sayuran dan buahan lokal seperti buah naga, markisa, rambutan, cempedak, nangka madu dan durian boleh didapati pada harga jauh lebih murah di sini berbanding di pasaraya. Terdapat pelbagai varieti dan pilihan untuk sayuran dan buahan serta kesegarannya dapat dijamin memandangkan kebanyakkan produk dijual terus dari ladang. Apa yang anda perlu lakukan ialah bijak memilih dan pandai menawar harga. Namun begitu, jangan tergoda sehingga membeli barangan yang tidak diperlukan kerana harga yang murah semata-mata.
Elakkan Menyimpan Buahan Ini Berdekatan dengan Sayuran dan Buahan Lain

Sesetengah buahan seperti epal, tembikai madu, aprikot, pisang, tomato, avokado, pic, pir, nektarin, plum dan fig menghasilkan gas ethylene yang menggalakkan buahan lain disekitarnya menjadi ranum. Oleh yang sedemikian, buahan ini harus diasingkan daripada disimpan bersama buahan dan sayuran lain untuk memastikan ia dapat disimpan dengan lebih lama.
Amalkan Teknik Penyimpanan yang Betul
Untuk memastikan sayuran berdaun seperti sawi, salad, kailan, bayam, kangkung dan bok choy dapat bertahan dengan lebih lama, pastikan ia dibasuh, dikeringkan, dibalut dengan kertas tuala simpan dan disimpan dalam beg plastik yang bertutup dengan kitaran udara yang baik di dalam peti ais.
Asparagus boleh disimpan dengan membalutnya dengan kertas tuala basah dan disimpan dalam beg plastik atau diletakkan sejambak dalam botol yang diisikan sedikit air, dan mesti disimpan di dalam peti ais.
Sayuran berubi seperti keladi, keledek dan kentang beserta bawang, bawang putih dan labu disimpan di luar peti ais di kawasan yang kering dan sejuk, jauh dari pancaran cahaya matahari.
Tomato yang belum masak sebaiknya disimpan di atas kaunter jauh dari pancaran cahaya matahari dan disimpan di dalam peti ais selepas ia masak dengan sekata.
Sayuran herba seperti daun ketumbar, daun selasih, daun sup dan daun bawang boleh disimpan didalam botol disikan air di atas kaunter dapur anda.
Harus diingatkan bahawa teknik penyimpanan ini akan memanjangkan hayat sayuran dan buahan untuk beberapa hari. Sebaiknya beli apabila diperlukan dan gunakan sesegera mungkin dalam minggu yang sama ia dibeli untuk menjamin kesegaran.
Bekukan Buah-buahan dan Sayur-Sayuran

Cara lain untuk menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran ialah dengan kaedah sejuk beku. Kaedah ini membolehkan keenakkan sayuran dan buahan ini dapat dinikmati untuk tempoh yang lama.
Buahan beri seperti strawberi, blueberi, blackberi dan raspberi hendaklah dibasuh dan dikeringkan sebelum disejukbekukan manakala buahan seperti nenas dan mangga hendaklah dipotong sebelum disimpan ditempat beku.
Sayuran seperti jagung hendaklah dikopek dan isinya dicelur ke dalam air mendidih selama 2 hingga 3 minit sebelum diangkat, disejukkan dalam celuran air sejuk, dikeringkan dan disimpan. Kaedah ini juga sesuai untuk kacang buncis, kacang peas, baby spinach, kale dan lobak.
Jangan risau tentang khasiat kerana teknik ini memastikan khasiat buahan serta sayuran tersebut terjamin. Namun pastikan anda menghabiskan produk sejukbeku ini dalam tempoh 6 bulan untuk memastikan kesegarannya.
Jangan Terlalu Cepat Membuang Sayuran dan Buahan
Ada kalanya sesetengah buah-buahan dan sayur-sayuran akan menjadi lebih enak untuk dinikmati apabila ia bertukar rupa. Sesetengah buahan atau sayuran mempunyai rasa yang lebih manis apabila ranum.
Pisang contohnya, baik dimakan mentah ketika kulitnya masih kuning dan kurang tompok coklat kehitaman. Namun ia lebih sesuai untuk dijadikan cucur ataupun kek apabila kulitnya bertukar warna memandangkan teksturnya lebih lembut dan rasanya lebih manis.
Begitu juga dengan epal dan pir. Walaupun sudah sedikit mengecut, tidak bermakna ia tidak boleh dimakan. Sekiranya anda gemarkan pastri, epal boleh dijadikan pai yang enak. Kulit pastri boleh dibeli di pasaraya dan anda tidak perlu bersusah-susah di dapur.
Tomato, cili dan lobak pula boleh dikisar.. Anda boleh kisar untuk dijadikan sos marinara yang boleh disimpan di dalam peti ais apabila diperlukan atau dijadikan bahan masakan lain seperti untuk ayam masak merah, sos cili atau nasi tomato.