Tempat Menarik yang Boleh Dilawati di Tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur
Bandaraya Kuala Lumpur mempunyai banyak kawasan yang menarik perhatian. Namun, tidak ramai di antara kitayang sedar dan menafaatkan kewujudan lokasi-lokasi menarik ini kecuali para pelancong asing. Berikut ialah lokasi menarik di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, selain KLCC dan pusat membeli belah lain yang boleh anda lawati:
Taman Botani Perdana
Taman Botani Perdana sudah terkenal sejak dahulu lagi sebagai tempat riadah. Berkeluasan 91.6 hektar, ia mula ditubuhkan pada tahun 1888. Ia dikenali sebagai Lake Gardens sebelum namanya ditukar kepada Taman Tasik Perdana pada tahun 1975. Namanya sekali lagi ditukar sebagai Taman Botani Perdana pada tahun 2011 dan menjalani proses menaik taraf sebelum dibuka semula untuk orang awam pada tahun 2019.
Taman Botani Perdana adalah lokasi yang mesra keluarga yang bukan sahaja menawarkan aktiviti riadah dan persekitaran alam semulajadi yang mendamaikan, ia juga mempunyai banyak lokasi menarik yang bermanafaat buat pengunjungnya. Antara lokasi menarik yang boleh dilawati di dalam Taman Botani Perdana ialah Tugu Negara, Taman Rusa, Taman Orkid, Taman Bunga Raya, Taman Burung, Taman Rama-Rama, Muzium Kesenian Islam Malaysia, Memorial Tun Abdul Razak, Herbarium, dan Planetarium Negara. Rasanya satu hari tidak cukup untuk anda melawat kesemua tempat di dalam Taman Botani Perdana ini.
Taman Eko Rimba Kuala Lumpur
Taman Eko Rimba Kuala Lumpur terletak di Hutan Simpan Bukit Nenas, yang berada 3kilometer dari KLCC. Berkeluasan 10.5 hektar, kawasan hutan hujan ini diwartakan sebagai hutan simpan pada tahun 1906, menjadikan ia hutan simpan yang tertua di Malaysia. Dikelilingi oleh pelbagai bangunan pencakar langit, Taman Eko Rimba Kuala Lumpur berfungsi sebagai ‘green lung’ yang juga berfungsi bukan sahaja sebagai tempat riadah, malahan kawasan untuk pendidikan serta penyelidikan.
Antara tumpuan utama lokasi ini ialah jambatan gantung (canopy walk) sejauh 200meter yang memperlihat keseluruhan kawasan hutan hujan pada persektif ‘birds eye view’.
Taman Eko Rimba Kuala Lumpur terletak berdekatan dengan stesyen Monorel Bukit Nenas. Dari situ, anda hanya perlu berjalan beberapa minit untuk ke destinasi. Menariknya, tiada bayaran yang dikenakan untuk pengunjung, ia percuma sahaja. Taman ini dibuka dari jam 7 pagi hingga jam 7 petang.
Jadi Batek Gallery
Terletak di Jalan Inai off Jalan Imbi, Jadi Batek Gallery adalah lokasi yang boleh anda lawati sekiranya anda adalah penggemar barangan kraf tempatan. Ia menawarkan pelbagai seleksi kraftangan seperti lukisan, barangan perhiasan, pakaian berasaskan batik, ukiran kayu, perak dan pewter, serta mainan.
Menariknya, ia turut menawarkan demonstrasi pembikinan batik kepada para pengunjung. Pusat kraftangan ini juga turut menawarkan kelas pembuatan batik kepada pengunjungnya. Pengunjung akan diajar mengenai jenis dan teknik pembuatan batik serta boleh melukis, mewarnakan dan membawa pulang batik hasil tangan sendiri dengan bayaran serendah RM60.
Kuala Lumpur City Gallery
Kuala Lumpur City Gallery adalah tempat yang perlu anda lawati sekiranya anda ingin mengetahui sejarah lalu, kini dan perancangan masa hadapan Kuala Lumpur dengan lebih lanjut. Ia dipaparkan melalui paparan miniatur lokasi-lokasi ikonik di sekitar banadaraya. Ia juga turut dipersembahkan dengan pameran interaktif dan inovatif yang yang menawarkan pengalaman 360darjah mengenai ibu negara kita ini.
Terletak berhadapan dengan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur City Gallery juga terkenal dengan struktur ikonik I ❤ KL. Jangan lupa berselfie di ikon terkenal ini untuk kenang-kenangan sekiranya anda berkunjung ke sini.