Carian
Tips Selamat – Apa Yang Harus Anda Lakukan Sekiranya Kenderaan Rosak Di Lebuhraya?
February 13, 2020 Lina Rosli

Tips Selamat – Apa Yang Harus Anda Lakukan Sekiranya Kenderaan Rosak Di Lebuhraya?

Setiap kali perjalanan jauh, anda perlu memastikan keadaan kereta anda lebih-lebih lagi tahap keselamatan kenderaan adalah berada dalam keadaan yang baik. Sudah tentu anda tidak mahu berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku. 

Enjin kenderaan berhenti di tengah jalan, tayar kenderaan pancit atau bocor, pendingin hawa dalam keadaan yang panas dan enjin kenderaan tersenguk-senguk merupakan salah satu mimpi ngeri bagi setiap pemandu lebih-lebih lagi pemandu wanita dan pemandu yang baru pertama kali memandu perjalanan jauh. Walaupun anda telah memastikan kenderaan anda dalam kondisi yang baik, janganlah anda pandang rendah risiko dan implikasi jika kenderaan anda rosak di tengah jalan. 

long straight road with trees on the side

Apabila berlaku sesuatu ke atas kenderaan anda, sebagai contoh tiba-tiba rosak di tengah jalan, sudah pasti anda perlu meminta bantuan daripada mana-mana pihak yang berkenaan. Namun, harus diingatkan bahawa keselamatan anda juga adalah penting. Elakkan daripada mendapatkan bantuan daripada orang asing atau trak tunda yang datang entah dari mana sebelum sempat anda menelefon bantuan. Anda harus sentiasa berwaspada dalam menerima pertolongan daripada pihak lain. Hal ini kerana, terdapat segelintir trak tunda yang akan menyediakan 1001 helah dan ‘peluang’ untuk mengambil kesempatan ke atas anda.

Jadi, apa yang perlu anda lakukan jika berlaku sesuatu perkara ke atas kenderaan anda? Untuk membantu anda, Tajria akan berkongsi sedikit tips atau panduan yang boleh anda lakukan bagi mendapatkan bantuan di lebuhraya.

Langkah untuk mendapatkan bantuan di highway

Tenang dan tidak bersikap panik atau gelabah. Sekiranya anda mempamerkan reaksi panik  semasa menunggu bantuan, akan ada pihak yang akan memanipulasi minda panik anda dan anda akan ditipu! Ikuti langkah di bawah sekiranya kenderaan anda rosak di highway :

1. Perlahankan kenderaan anda dan hidupkan lampu kecemasan. Anda digalakkan berhenti di bahu jalan di laluan kecemasan sekiranya tidak mampu untuk ke kawasan rehat dan rawat (RnR) terdekat. Jika hujan lebat, pastikan anda berada jauh dari kawasan yang mempunyai pokok rimbun.

2. Jangan duduk di dalam kereta untuk mengelakkan daripada berlaku kejadian yang tidak diingini. Lebih baik untuk anda berdiri di tepi kereta dan meletakkan segi tiga amaran 50-100 m dari kenderaan anda sebagai peringatan kepada kenderaan lain. Dapatkan lokasi kilometer kenderaan anda berada. 

3. Hubungi PLUSRonda di talian 1800-88-0000 dan beritahu keadaan kenderaan anda beserta nama, jenis kenderaan dan nombor pendaftaran kenderaan anda. Pastikan bantuan yang datang kepada anda itu ialah pihak yang telah anda hubungi. 

4. Bantuan PLUSRonda akan membawa anda ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) terdekat sekiranya anda tidak ke kawasan tersebut. 

5. Hubungi pihak insurans kenderaan anda bagi mereka menghantar kenderaan anda ke pusat servis yang anda pilih ataupun bengkel yang percaya. Pihak insurans akan menawarkan perkhidmatan tunda secara percuma pada 200 kilometer yang pertama. Anda akan dihubungi melalui syarikat insurans anda dan akan dimaklumkan dengan lebih lanjut.

________________________________________________________________________

Dengan mengikuti langkah-langkah yang berikut, anda mungkin tidak akan ditipu oleh pihak yang tidak berlesen dan terhindar dari konspirasi mereka. Semoga perjalanan anda dalam keadaan yang baik dan selamat. Selamat memandu, pandu cermat, nyawa selamat! 

Komen