Kuih Muih Tradisional Semenanjung Yang Semakin Dilupakan
Malaysia adalah negara yang kaya dengan kepelbagaian adat resam dan budaya. Budaya yang diamalkan berbeza dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain dan makanan tradisi adalah salah satu ekspresi budaya. Namun begitu, dalam kepesatan dan kemajuan hidup zaman kini, banyak makanan tradisi yang semakin dilupakan. Mari kita lihat senarai kuih muih tradisonal yang semakin dilupakan namun sebenarnya menarik dan boleh anda cuba.
Agar-Agar Kering

Agar-agar kering adalah makanan popular suatu ketika dahulu terutamanya di kawasan pantai Timur. Ia adalah salah satu hidangan sampingan pilihan apabila tiba musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Rekod menunjukkan agar-agar kering wujud sejak kurun ke 15 lagi. Ini tidak menghairankan memandangkan kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia kaya dengan rumpai laut yang merupakan bahan utama dalam penghasilan agar-agar.
Proses penyediaannya adalah sama dengan agar-agar biasa, cuma ia melebihkan penggunaan gula batu berbanding gula pasir. Seterusnya, agar-agar ini perlu dipotong kecil dan dijemur untuk beberapa hari sehingga kering. Walaupun cara penyediaannya mudah, keseluruhan proses penyedian mengambil masa yang lama menyebabkan kuih ini menjadi kurang popular di kalangan generasi baru.
Sarak Jagung
Sarak jagung adalah makanan seakan-akan lepat. Isinya adalah campuran adunan bersama jagung yang diparut yang dibalut dalam kulit jagung itu sendiri. Ia kemudiannya dikukus sebelum dihidangkan. Kaedah pembuatan kuih ini sebenarnya agak mudah namun tenggelam disebalik kepopularan lepat pisang. Mungkin sudah tiba masanya kita menghidupkan semula kuih tradisional ini sebelum ia terus dilupakan.
Tepung Gomak

Pernahkah anda mendengar istilah tepung gomak untuk seseorang yang mengenakan bedak/ solekan terlalu tebal? Istilah tepung gomak itu hadir daripada nama kuih tradisional yang kini semakin dilupakan.
Kuih tepung gomak ini popular di Pantai Timur. Ia diperbuat daripada adunan tepung pulut manakala intinya diperbuat daripada kelapa parut dan gula melaka. Ia kemudiannya dicelur di dalam air panas dan kemudiannya disalut dengan tepung kacang hijau. Kaedahnya pembuatannya hampir sama dengan onde-onde cuma perbezaan satu, dua ramuan yang digunakan. Mungkin sekiranya ia dipopularkan semula, kuih tepung gomak akan kembali mendapat tempat di hati generasi kini?
Lempeng Kelapa
Kebanyakkan kuih dijamah untuk minum petang dan sebagai pencuci mulut. Berbeza dengan lempeng kelapa, ia merupakan hidangan sarapan pagi. Lempeng kelapa adalah seakan-akan penkek, namun ia adalah hidangan yang versatile yang savoury.
Terkenal di Pantai Timur, ia turut dikenali sebagai ‘pek nga’ di Kedah. Selain kelapa, lempeng ini juga dibuat daripada pisang, dan ubi kayu. Ia boleh dimakan dengan gula, dicicah dengan kari, sambal atau sardin. Hidangan ini menawarkan kandungan serat dan tenaga yang sesuai sebagai kickstart di pagi hari. Namun begitu, hidangan ini tenggelam disebalik nasi lemak, roti canai, roti bakar, mi dan mihun yang lebih popular sebagai menu pilihan sarapan pagi.
Kuih Bunga Tanjung

Kuih bunga tanjung adalah kuih tradisonal negeri Cik Siti Wan Kembang. Makanan dari negeri ini memang terkenal dengan kemanisannya maka tidak hairanlah sekiranya kuih bunga tanjung juga merupakan kuih yang manis. Ia diperbuat daripada adunan tepung dan telur itik, diharumkan dengan daun pandan dan bunga cengkih dan disira dengan air gula.
Uniknya, kuih ini berbentuk seperti titisan air. Malahan ia dikatakan merupakan antara kuih kegemaran kerabat diraja Kelantan. Namun begitu, kuih ini sukar dijumpai secara meluas kerana ia adalah kuih disediakan bagi acara keramaian seperti majlis perkahwinan. Tidak hairanlah jika kuih ini sukar dijumpai dan lebih terhad di negeri Kelantan sahaja.