Carian
Makanan Tempatan yang Harus Anda Cuba Sekiranya Berkunjung ke Sabah
February 17, 2020 Min Ahmad

Makanan Tempatan yang Harus Anda Cuba Sekiranya Berkunjung ke Sabah

Sabah terkenal dengan kecantikan alam semulajadi dan kaya dengan budaya masyarakat berbilang kaum. Atas faktor ini, ramai yang menjadikan Sabah lokasi pilihan untuk melancong ke dalam negeri. Namun begitu, sekiranya anda berkunjung ke Sabah, tidak lengkap percutian anda sekiranya tidak mencuba hidangan masyarakat setempat. Berikut adalah cadangan makanan tempatan yang harus anda cuba sekiranya anda ke Sabah:

 

Hinava

Sumber: Maggi Malaysia

Hinava ialah makanan tradisi masyarakat Kadazan-Dusun. Hinava di perbuat daripada isi ikan mentah segar yang digaul bersama dengan biji buah bambangan yang diparut, potongan peria, cili merah, halia, bawang merah, jus limau kapas dan garam. Menariknya, makanan ini menyerupai sashimi di mana ia tidak perlu dimasak dan dimakan seperti kerabu. Hinava juga boleh disediakan dengan udang adalah makanan yang biasanya dihidangkan untuk upacara Tadau Kaamatan ataupun majlis keraian yang lain.

 

Buah-buahan Tempatan Sabah

Sumber: FB Borneo

Bumi Borneo mempunyai banyak buah-buahan eksotik yang tidak boleh didapati di tempat lain. Antaranya ialah buah bambangan. Buah ini merupakan genus mangifera yang merupakan keluarga buahan mempelam. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya mempunyai isi dan serabut yang tinggi seakan-akan kuini dan bacang serta bau yang kuat. Ia merupakan salah satu bahan utama dalam penghasilan hinava, selain turut dijadikan jeruk atau dicampur dalam masakan tempatan lain.

Sumber: gwaliman.bogspot.com

Buah tarap juga salah satu antara buah yang hanya boleh didapati di Borneo. Ia tergolong dalam genus artrocarpus yang turut meliputi sukun, nangka dan cempedak. Oleh yang sedemikian, ia mempunyai struktur yang hampir sama dengan buahan tersebut. Namun begitu, bentuknya adalah bulat dengan isi yang berwarna putih serta buah yang sudah matang lebih mudah untuk dikopek. Rasanya pula adalah seakan-akan mangga dan durian, dengan isi yang juicy. 

Sumber: FB Pertanian Satu Perniagaan

Selain buah bambangan dan buah tarap, Sabah juga terkenal dengan durian isi merah atau nama saintifiknya durio graveolens. Tidak seperti buah durian yang gugur apabila masak, buah durian isi merah harus dipetik dari pokok apabila matang. Durian yang betu-betul matang di atas pokok mempunyai bau yang kurang menyengat dan rasa yang lunak. Ia mempunyai biji yang besar berwarna coklat kehitaman. Ia lebih sesuai dijadikan tempoyak dan tempoyak yang diperbuat dariapada durian ini dikatakan mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding durian Semenanjung.

 

Ambuyat

Sumber: freemalaysiatoday.com

Ambuyat adalah satu lagi makanan yang terkenal di Borneo dan merupakan makanan tradisional masyarakat Brunei dan Bisaya. Di kalangan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Bajau, ia dikenali dengan nama linut. Ia merupakan antara menu pilihan untuk majlis keraian.

Ambuyat diperbuat daripada sagu rumbia yang dikenali sebagai ambalung yang dicampur dengan air panas. Teksturnya adalah seperti kanji yang likat dan kenyal. Ia dihidangkan panas-panas dengan lauk pauk lain seperti ikan bakar, ikan rebus, ulam-ulaman atau dicicah dengan kuah yang masam atau pedas. Menariknya, ambuyat dimakan dengan menggunakan dua batang penyepit yang dikenali sebagai candas.

 

Pinaasakan

Sumber: sensasimedia.com

Sekiranya Semenanjung mempunyai masak pindang dan singgang, Sabah pula mempunyai pinaasakan. Pinaasakan ialah makanan tradisi masyarakat Kadazan-Dusun. Ia diperbuat daripada ikan sungai atau ikan laut yang direnihkan bersama kunyit, halia , asam takob-bakop, garam dan perasa sehingga airnya hampir kering. Pinaasakan mampu disimpan lama dan merupakan hidangan wajib bagi sambutan pesta Kaamatan.

 

Sayur Manis Sabah

Sumber: burpple.com

Seperti midin yang hanya boleh didapati di Sarawak, sayur manis atau ‘Sabah vege’ hanya boleh didapati di Sabah. Rasanya segar, manis, dan rangup terutamanya di bahagian pucuk. Bahagian pucuk sayur manis ini selalunya dimasak secara stir-fry dengan bawang putih atau/ dengan belacan manakala bahagian yang berdaun selalu dimasak dengan telur.  Ia dihidangkan dengan nasi dan lauk-pauk yang lain. Sekali anda makan hidangan sayur manis ini, selamanya anda akan teringat-ingat.

 

Komen