5 Perkakasan Elektrik Yang Memudahkan Kehidupan Seharian
Kecanggihan teknologi masakini sesungguhnya banyak memudahkan kehidupan seharian. Sekiranya anda menjalani gaya hidup yang sibuk dan ingin menjimatkan masa dalam melaksanakan aktiviti harian, berikut adalah 5 perkakasan elektrik yang perlu anda ada untuk memudahkan kehidupan seharian:
Pengering Rambut
Sedia maklum buat anda yang mengenakan hijab, rambut perlu dibasuh dengan kerap untuk mengelakkan ia berbau, kusut dan rosak. Namun begitu, rambut yang tidak dikeringkan dengan betul sebelum memakai hijab juga akan mengakibatkan rambut menjadi berbau, kusut dan rosak. Oleh yang sedemikian, anda memerlukan pengering rambut. Ia membolehkan anda membasuh rambut walaupun di pagi hari dan dikeringkan dengan cepat.
Risau pengering rambut akan mengeringkan rambut anda? Terdapat banyak pengering rambut di dalam pasaran yang kini hadir dengan teknologi ionik. Ia menghasilkan jutaan ion yang tercas secara negatif, yang memecahkan molekul air yang tercas secara positif. Pengering rambut ionik ini tidak menghasilkan haba panas yang membuka liang rambut yang menjadikan ia poros dan kering. Oleh yang sedemikian, rambut kekal halus dan lembut tanpa kusut. Ia juga sesuai untuk memastikan curls pada rambut anda kekal lenting secara semulajadi.
Untuk menggunakan pengering rambut, anda disyorkan untuk menggunakannya dengan krim/ minyak rambut yang bersesuaian dengan jenis rambut untuk memberikan ia lembapan tambahan agar ia kekal rapi.
Air Fryer
Air fryer ialah perkakasan dapur yang sangat membantu dalam penyediaan makanan. Ia menggoreng masakan anda seperti kentang, nuget, ayam dan ikan dengan menggunakan udara panas, tanpa minyak. Penggunaan air fryer juga dapat mengurangkan masa untuk menggoreng dan yang paling penting sekali, ia menjadikan makanan bergoreng tidak berminyak, rendah kalori, lemak, serta tidak mempunyai kompaun kimia berbahaya yang terjadi akibat proses menggoreng itu sendiri. Selain dapat menikmati makanan yang sihat, anda juga tidak perlu berhadapan dengan situasi terkena minyak panas ketika menggoreng atau membersihkan percikan minyak selepas memasak.
Seterika Wap
Seterika wap adalah antara peralatan elektrik yang memudahkan hidup anda yang tidak boleh hidup tanpa pakaian yang bergosok. Penggunaannya adalah semudah menambah air ke dalam seterika, yang kemudiannya akan bertukar menjadi wap panas. Ia memudahkan proses menggosok pakaian, menjadikan pakaian digosok menjadi kemas dan rapi dalam masa yang singkat. Kepanasannya juga tidak perlu dilaraskan, jadi anda tidak perlu risau sekiranya pakaian anda terbakar akibat tersalah tetapan tahap kepanasan. Seterika wap juga menjaga kualiti pakaian dan menjadikannya tahan lama kerana ia tidak mengeringkan fabrik.
Periuk Pintar
Periuk pintar bukan merupakan periuk nasi teknologi baru semata-mata, ia adalah lebih daripada itu. Anda boleh membuat sup, memasak bubur, memanaskan pau segera, mengukus kek, pulut, puding, ikan stim, atau apa-apa jua masakan lain dengan mudah.
Dengan periuk pintar, anda tidak lagi perlu bersusah-susah untuk kerap ke dapur kerana bimbang masakan akan hangit. Ia hadir dengan penggera masa yang akan memberitahu anda apabila makanan sudah siap untuk dinikmati. Menariknya, makanan yang disediakan dengan menggunakan periuk pintar tidak berkerak dan boleh terus kekal panas dalam mod warm. Anda boleh memasak sup dengan membiarkan ia direnihkan di awal pagi dan dapat menikmati sup yang panas untuk hidangan makan malam selepas anda pulang ke rumah dari kerja. Mudah bukan?
Robot Vakum
Robot vakum ialah perkakasan elektrik autonomi yang direka untuk membersihkan permaidani, lantai jubin atau marmar serta lantai kayu daripada sebarang kotoran sama seperti pembersih vakum yang lain. Bezanya, robot vakum memudahkan kerja-kerja pembersihan dan mengurangkan masa yang diluangkan untuk membersihkan rumah. Anda hanya perlu plug in robot vakum ke palam pengecas, membuat tetapan dan ia akan menjalankan tugasnya.
Sesetengah model boleh dihubungkan ke telefon pintar anda membolehkan anda memantau proses pembersihan. Ia berfungsi di setiap jenis permukaan untuk setiap jenis kekotoran. Robot vakum juga dibina dengan memori dalaman yang mampu mengingati susun atur perabot dan pelan rumah. Ia adalah antara perkakasan yang patut anda pertimbangkan sekiranya anda mempunyai binatang peliharaan berbulu sperti anjing atau kucing.