Cara Ringkas Untuk Menyediakan Onigiri Kegemaran Anda
Onigiri, ataupun rice balls merupakan makanan jepun yang sangat mudah untuk dimakan. Berasal daripada perkataan oni-o-kiru yang bermaksud untuk memutuskan roh yang jahat, onigiri juga mempunyai sejarah seperti orang Jepun zaman dahulu memperingati tuhan mereka iaitu bukit lalu membentukkan makanan mereka seperti bukit (segi tiga).
Orang Jepun membawa onigiri sebagai bekalan mereka ke tempat kerja, sekolah mahupun semasa berkelah. Hal ini kerana onigiri merupakan makanan yang ringkas dan mudah dibawa ke mana-mana.
Kini, onigiri juga menjadi pilihan makanan untuk mereka yang mengejar masa ke tempat kerja ataupun sekolah, dengan hanya membeli di kedai serbaneka yang terdekat. Namun begitu, onigiri juga boleh dibuat sendiri oleh kerana resepinya yang mudah dan cepat.
Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan onigiri telur:
Bahan untuk nasi (hidangan untuk 2-4 orang)
- 1 pot beras jepun
- 2 sudu kecil minyak zaitun
- Garam secukupnya (pilihan)
Bahan untuk isi
- 1 biji telur ayam
- Sedikit lada hitam (hancur)
- Mayonis
- Garam secukup rasa
- Keju (pilihan)
Bahan umum
- Rumpai laut kering (dipotong)
Cara Memasak:
1. Tanak nasi seperti biasa, namun sukatan air mestilah mengikut tapak tangan. Setelah selesai sukatan air, masukkan minyak zaitun dan garam sebagai penambah perasa.
2. Masak bahan untuk telur. Kacau telur yang telah dicampur garam dan masak seperti scrambled egg. Kemudian, gaulkan telur tersebut dengan mayonis.
3. Sediakan acuan onigiri dan masukkan rumpai laut di tepi sebelah dalam acuan.
4. Setelah nasi masak, sejukkan sebentar dan masukkan ke dalam acuan onigiri yang berisi rumpai laut tersebut sehingga separuh acuan.
5. Letakkan bahan telur tadi di tengah-tengah nasi. Kemudian, letakkan nasi lagi di atas telur bagi menutup telur tersebut.
5. Akhir sekali, keluarkan onigiri tersebut daripada acuannya. Kepulkan agar melekat nasi tersebut di rumpai laut dan onigiri anda telah siap. Hidangkan onigiri bersama teh hijau untuk kesegaran yang maksima!