Tips Belajar – Bagaimana Anda Boleh Mengatur Jadual Belajar Dengan Baik?
Tidak dinafikan untuk mengatur dan menyusun jadual harian anda bukanlah mudah. Ia bukan sahaja memerlukan anda untuk menyenaraikan segala aktiviti, tugasan dan keperluan harian anda, malah ia juga memerlukan anda untuk memberikan sepenuh komitmen ke atas jadual yang disediakan. Hal ini kerana, jika ia tidak dapat dipenuhi dengan baik, maka ia bukanlah sebuah jadual yang baik dan efisien.
Jadual belajar adalah penting untuk pelajar atau mana-mana individu yang terlibat untuk mengurus masa mereka. Menerusinya, pembahagian waktu adalah lebih konsisten selain menjadikan individu lebih berdisiplin. Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai cara mengatur jadual dengan lebih baik, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda sedikit tips untuk anda jadikan sebagai rujukan.
Bangun awal waktu
Salah satu masalah yang dihadapi oleh kebanyakan pelajar adalah mereka tidak dilatih untuk bangun pada awal waktu. Baring di tempat tidur pada jangkamasa yang lama akan memberi kesan ke atas pengaturan jadual waktu anda. Pertama sekali, anda kehilangan masa yang anda mungkin gunakan dalam aktiviti yang berguna. Oleh itu, penting untuk anda bangun pada awal waktu yang mana anda akan merasakan anda mempunyai waktu yang cukup untuk melaksanakan tugasan anda.
Sediakan garis masa untuk setiap subjek
Menyediakan jadual garis masa adalah salah satu langkah yang efektif yang mana ia membantu anda dalam mengurus topik yang perlu dipelajari sebelum peperiksaan bermula. Untuk memastikan bahawa garis masa pelajaran anda merangkumi semua topik yang diperlukan dan selari dengan silibus di pusat pendidikan (sekolah, universiti atau pusat ilmu yang lain), anda boleh membuat senarai semak topik pembelajaran untuk setiap subjek yang berasingan. Pastikan anda meletakkan kesemua topik utama termasuk subtopik yang dipelajari didalam senarai semak anda.
Mula dengan tugas utama dan penting
Di dalam jadual belajar anda, ia mungkin mengandungi topik atau subjek yang dipelajari, latihan tekan-tubi yang berbeza serta pelbagai tugas dan kerja rumah. Walaupun anda masih boleh mencatatkan senarai panjang perkara yang ingin dilakukan atau ‘to-do list’ di jadual belajar anda, namun keutamaan tugas anda juga adalah penting, kerana anda pasti tidak mahu perkara yang lain terganggu akibat penstrukturan jadual yang tidak betul. Pertimbangkan perkara yang menghampiri deadline untuk membantu anda dalam mengatur semula tugas anda.
Tetapkan had masa
Tempoh belajar yang paling produktif biasanya berlaku sekitar 25 hingga 30 minit pertama. Waktu belajar tidak lebih dari 30 minit pada satu masa dapat membantu anda memaksimumkan produktiviti anda, tetap fokus dan menghasilkan kerja yang lebih berkualiti tinggi. Oleh itu, untuk setiap sesi pembelajaran anda disarankan untuk meletakkan tempoh masa 30 minit dan waktu rehat sekitar 5 hingga 10 minit untuk mengisi semula bateri anda dan menyegarkan semula otak anda, supaya anda dapat menyerap dan menganalisis maklumat tersebut.
Menyusun bahan pembelajaran dan nota dengan teratur
Selain itu, kumpulkan kesemua nota pembelajaran yang berkaitan. Nota yang berkaitan termasuk nota di kelas, slaid perbentangan, kertas latihan dan pembetulan peperiksaan yang boleh dijadikan sebagai rujukan. Hal ini kerana, mengekalkan bahan pembelajaran di dalam satu fail adalah penting untuk pengurusan jadual belajar kerana ia akan menjadi lebih mudah untuk mencari apabila anda memerlukannya. Walaupun anda mempunyai nota dalam laptop anda, namun anda masih perlu menyediakan nota fizikal untuk membuat semakan secara lebih terperinci.
________________________________________________________________________
Berikut adalah 5 cara atau langkah yang boleh anda praktikkan dalam membentuk jadual belajar yang efisien dan efektif. Melaluinya, anda boleh mengurus jadual harian dan jadual belajar anda secara adil selain me jadikan diri anda lebih berdisiplin. Jika anda mempunyai langkah untuk mengatur jadual yang lain, anda boleh berkongsikan kepada Tajria dan pembaca lain untuk mendapatkan pengurusan diri yang baik. Selamat mencuba!