Mengapa Kos Upah Untuk Jurusolek Tinggi?
Sudah menjadi satu trend dalam kalangan individu akan mengupah jurusolek untuk sesetengah majlis, lebih-lebih lagi untuk majlis perkahwinan. Terdapat segelintir jurusolek mengambil upah pada harga yang rendah, namun ada juga dalam kalangan mereka yang memberikan tawaran harga yang boleh dikatakan agak tinggi.
Jika di luar negara, antara jurusolek yang menerima nilai upah yang tertinggi adalah Mario Dedivanovic. Beliau adalah jurusolek peribadi untuk selebriti popular Kim Kardashian. Persoalannya, apakah yang membezakan kos yang ditawarkan oleh setiap jurusolek di Malaysia? Berikut adalah beberapa faktor yang mendorong kepada perbezaan kos upah untuk solekan yang diberikan:
Jenama produk yang digunakan. Salah satu faktor yang menjadikan kos upah berbeza adalah mengikut jenama yang digunakan oleh sesetengah jurusolek untuk sesuatu solekan. Sebagai contoh, antara jenama produk premium yang sering digunakan termasuk Fenty Beauty, NARS, MAC, Urban Decay dan Dior. Dengan adanya barisan kosmetik ini, ia menunjukkan bahawa jurusolek berkenaan mementingkan kualiti dalam solekan sama ada menginginkan solekan lebih tahan lama, warna lebih pigmentasi dan finishing yang lebih memukau.
Alatan solek yang berkualiti. Selain pemilihan barisan produk yang eksklusif, penggunaan alatan solek yang baik seperti berus eyeshadow juga mempengaruhi solekan pelanggan. Ini boleh membuat perubahan besar bagaimana tahap aplikasi produk menggunakan alatan yang berkualiti memberi impak kepada wajah anda.
Penyesuaian antara solekan dan pakaian. Tahukah anda kesinambungan di antara solekan dengan pakaian yang anda gayakan mempengaruhi antara satu sama lain? Jika anda memilih pakaian dengan warna cerah dan lembut, sudah tentu solekan anda tidak boleh meletakkan warna-warna terang sepeti kuning, merah jambu atau biru. Ia akan kelihatan seakan dua imej yang berbeza dan bertentangan. Bukan itu sahaja, gaya tudung dan rambut juga perlu disuaikan dengan baik. Jadi, jika anda lihat jurusolek seperti Syedewa, Ainaa Nabilla atau mana-mana jurusolek lain pasti akan menggayakan kedua-dua perkara dengan baik.
________________________________________________________________________
Seni solekan adalah bergantung kepada bakat yang seseorang jurusolek itu. Oleh itu, jika jurusolek berkenaan mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut, sudah tentu ia memerlukan pembayaran yang setimpal. Di harap dengan perkongsian ini, ia dapat membantu mana-mana individu membuat pilihan yang terbaik dalam mendapatkan khidmat solekan dari jurusolek yang berkaliber dalam bidang seni di Malaysia.