Pernahkah anda mengalami masalah untuk mendapatkan tidur yang berkualiti? Kadangkala tidur anda sering terganggu dengan masalah kencing malam yang mengakibatkan masalah bangun tidur yang kerap. Kekerapan bangun untuk membuang air kencing dikenali sebagai nocturia atau nocturnal polyuria

Masalah ini kebiasaannya dihadapi oleh golongan lelaki dan wanita untuk pelbagai lapisan umur. Ia tidak hanya berlaku pada warga tua, malah ia turut boleh dihadapi oleh golongan dewasa yang lebih muda juga. Di Malaysia, satu tinjauan yang telah dijalankan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai nocturia. Menurut butiran dari tinjauan yang dilakukan, 57% responden adalah dari golongan yang berumur, manakala 2% sehingga 18% adalah daripada mereka yang berumur 20-40 tahun. 

Terdapat beberapa punca atau faktor utama kepada masalah ini termasuk peningkatan umur,  perubahan gaya hidup yang memberi kesan kepada tekanan darah tinggi, diabetes atau penyakit buah pinggang serta kapasiti pundi kencing yang rendah. Melalui tinjauan yang dilakukan, hampir 40% daripada responden mengatakan pengambilan kuantiti air yang berlebihan pada waktu malam juga merupakan punca berlakunya nocturia.

Kira-kira 60% daripada mereka yang mengalami gangguan tidur akibat nocturia turut mengalami masalah cepat lesu, 43% mengalami kesukaran dalam menumpukan perhatian dan 41% memberi kesan kepada perasaan negatif sehingga mengakibatkan kemelesetan produktiviti, imuniti dan kualiti hidup. Ia juga boleh menyebabkan kemurungan, memberi kesan yang negatif kepada kemampuan kognitif dan ingatan serta meningkatkan risiko penyakit Alzheimer. Mereka yang mengalami nocturia juga terdedah kepada risiko jatuh, kemalangan di jalan raya dan tempat kerja, dan jika dibiarkan, akan menambahkan risiko penyakit kardiovaskular dan diabetes. 

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan masalah nocturia termasuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik untuk mengelakkan terjadinya masalah kesihatan yang lebih berat.

  1. Kurangkan makan dan minum sebelum tidur - Pastikan anda mengurangkan pengambilan makanan dan minuman sebelum tidur. Anda disarankan untuk berhenti makan dan minum dua jam sebelum tidur terutamanya minuman yang mengandungi alkohol dan kafein.
  2. Lakukan senaman dan kawal berat badan - Tingkatkan tahap kecerdasan dengan melakukan senaman, terutama senaman ringan seperti yoga. Anda juga digalakkan untuk mendapatkan berat badan yang ideal bagi mengurangkan kadar tekanan darah tinggi pada tahap sempurna. 
  3. Kurangkan garam dalam makanan - Kurangkan pengambilan garam dalam pemakanan harian.
  4. Pergi ke tandas sebelum tidur - Jadikan proses buang air kecil sebelum masuk tidur sebagai satu amalan.
  5. Ambil bahan diuretik pada waktu siang - Bagi individu yang mengambil ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan, pastikan anda memakannya selewat-lewatnya pada waktu tengahari. 
  6. Membuat rekod - Pantau rutin harian termasuk kekerapan kencing dan dan jadual pemakanan pada waktu malam.

Jika bantuan farmaseutikal diperlukan, dapatkan khidmat rawatan daripada pakar atau doktor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tahap kesihatan anda. Untuk maklumat lanjut mengenai cara menangani nocturia, sila layari www.waketowee.com.

Lihat profil
Lina Rosli

910 artikel di Tajria.