Peralihan dari alam belajar ke alam bekerja pastinya akan memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Career readiness atau kesediaan kerjaya amatlah penting bagi anda untuk memenuhi keperluan industri. Tidak kira sama ada di peringkat SPM, Diploma mahupun Sarjana Muda, anda perlu bersedia untuk bergerak ke satu dunia yang baru yang mana memerlukan anda untuk mencari, memperoleh, mengekalkan, dan berkembang dalam pekerjaan. 

Apabila anda ingin mula melangkah ke alam pekerjaan, ia adalah penting untuk anda mempersiapkan segala keperluan dan maklumat berkenaan diri untuk menempatkan anda di dalam sesebuah syarikat. Antara bahagian yang penting termasuk penyediaan resume yang baik untuk diserahkan kepada pihak pengurusan syarikat.

Tapi, bagaimanakah cara untuk menjadikan resume anda selari dengan keperluan industri? Sebagai langkah pertama, anda perlu memastikan yang mana resume anda adalah mudah untuk dibaca dan difahami, jelas dengan tujuan yang ingin disampaikan serta menepati kriteria dan butiran pekerjaan yang telah dinyatakan.

woman signing on white printer paper beside woman about to touch the documents

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai resume anda, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda struktur dan butiran penting yang diperlukan bagi menjadikannya lebih baik. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda pertimbangkan:

Kenalpasti Kata Kunci Dalam Siaran Pekerjaan

Tempat terbaik untuk bermula ketika bersiap untuk menulis resume adalah dengan berhati-hati membaca siaran atau posting pekerjaan yang menarik minat anda. Jika anda memohon untuk pekerjaan yang berbeza, anda harus mengkaji setiap huraian dan baris ayat yang dinyatakan untuk pekerjaan yang dipilih bagi mendapatkan idea yang ingin disampaikan. 

Oleh itu, anda disarankan untuk mengenalpasti kata kunci yang menjelaskan mengenai jawatan yang disediakan, skop dan keterangan perkejaan serta butiran diri yang diperlukan. Dengan ini, ia dapat menjadikan resume anda lebih relevan sekaligus menepati keperluan syarikat itu sendiri,

Nyatakan Maklumat Dengan Tepat Dan Lengkap

Pastikan anda menyatakan apa yang perlu diketahui oleh pihak pengurusan atau majikan syarikat tersebut. Sebagai contoh di dalam ruang Contact Information, anda perlu meletakkan nama, tarikh lahir, umur dan alamat. Anda dinasihatkan untuk menggunakan alamat yang tetap bagi memudahkan urusan surat menyurat di masa akan datang.

Selain itu, anda juga hendaklah memastikan maklumat diri anda;

  • mudah untuk dibaca dan difahami. Hal ini kerana, sesebuah syarikat akan menerima puluhan pilihan resume dalam jangka masa yang pendek. Jadi, mereka mempunyai masa yang minimum untuk menyemak resume anda, jadi kebolehbacaan adalah kunci utama dalam menyediakan resume. Elakkan daripada menggunakan struktur ayat yang kompleks dan berulang. 
  • disediakan ringkas. Anda hanya perlu meletakkan maklumat yang penting dan relevan sahaja. Dengan itu, majikan dapat mengetahui lebih banyak maklumat tentang anda, dan lebih cepat memahami objektif dan peranan anda untuk sesuatu pekerjaaan.

Elakkan daripada menggunakan satu resume untuk banyak syarikat. Adalah lebih baik jika anda menyediakan resume secara spesifik untuk setiap syarikat yang anda ingin bekerja. Hal ini kerana, setiap syarikat mungkin menyediakan jawatan dengan kriteria yang berbeza. Jika resume yang disediakan adalah lebih custom ia dapat memberikan impak yang lebih mendalam sekaligus menjadikan resume anda berkualiti tinggi.

Hr Process, Hr, Selection, Interview, Employee, Resume

Hanya masukkan maklumat yang paling relevan dan masukkan maklumat yang paling penting terlebih dahulu

Walaupun anda mungkin mempunyai pengalaman kerja atau pengalaman yang luas, penting untuk memastikan resume anda mengurus dan menyusun maklumat penting di dalam resume. Terdapat kajian menyatakan majikan atau pihak pengurusan syarikat cenderung menghabiskan masa hanya 6 saat untuk setiap resume. 

Sekiranya resume anda mengandungi maklumat lama atau tidak relevan, seperti jawatan yang telah disandang 10 tahun yang lepas atau pencapaian sewaktu sekolah rendah, ia mungkin akan menjadikan resume anda terlalu panjang dan tidak efektif.

Cuba untuk memasukkan hanya pengalaman kerja, pencapaian, pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian sekurang-kurangnya untuk 2-3 tahun sebelumnya atau bagi fresh graduate anda boleh meletakkan keputusan pencapaian anda sekurang-kurangnya SPM, Diploma dan Sarjana serta sijil-sijil khusus yang berkaitan. 

Beri perhatian kepada pencapaian penting

Daripada menyenaraikan semua tugas-tugas anda di bawah satu bahagian pengalaman sahaja, anda boleh memilih tiga atau empat pencapaian paling penting dalam setiap peranan yang anda buat. Jika boleh, masukkan nombor yang mengukur kejayaan anda untuk matlamat atau pencapaian tertentu itu.

Anda juga boleh mempertimbangkan untuk menyediakan bahagian khusus untuk "Pencapaian" atau "Kemahiran" secara berasingan bagi menyerlahkan pencapaian yang relevan dalam pendidikan, kerjaya, kerja sukarela atau pengalaman lain.

Mengesahkan dan mengedit

Sebelum menghantar resume anda, anda perlu memastikan anda menyemak resume anda beberapa kali untuk memastikan tiada ralat ejaan atau tatabahasa. Anda digalakkan untuk meminta bantuan daripada pihak ketiga untuk melihat dan memberi respons yang bersesuaian untuk resume anda. Sebagai contoh, anda boleh meminta bantuan daripada individu daripada bidang yang sama dengan jawatan yang anda inginkan untuk membetulkan atau memperbaikinya.

________________________________________________________________________

Resume anda sering merupakan langkah pertama untuk mendapatkan temuduga dengan majikan. Pastikan anda menyertakan maklumat yang paling relevan mengenai resume anda, mengurus dan mengatur maklumat yang paling penting dan semak semula dengan teliti untuk kesilapan. Selamat mencuba!

Lihat profil
Lina Rosli

447 artikel di Tajria.