Apa Selepas SPM? Ini Yang Mungkin Anda Boleh Lakukan Selepas Ini
Bagi anda yang baru sahaja mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anda mungkin tertanya-tanya apakah perancangan anda yang seterusnya. Mungkin ada yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Atau mungkin juga anda ingin mencari dan mencuba peluang lain seperti menyertai mana-mana bengkel atau kursus yang berkaitan dengan minat dan kemahiran.
Pemilihan kerjaya pendidikan selepas SPM adalah penting untuk anda menentukan bidang yang ingin anda ceburi pada masa akan datang. Jadi, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda mengenai langkah dan halatuju yang seterusnya selepas SPM yang mana mungkin boleh dipertimbangkan. Berikut adalah pilihan senarai pendidikan yang boleh anda sambung selepas tamat sekolah:
Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)/ Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)
Bagi kebanyakan pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang lebih gemar memilih untuk mengemukan permohonan mereka di universiti awam (UA) untuk menyambung pengajian dalam bidang Asasi dan Diploma.
Apa itu Asasi? Asasi adalah satu program yang ditawarkan oleh kebanyakan universiti awam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM). Program ini membawakan beberapa jurusan khusus termasuk Asasi Undang-undang, Kejuruteraan, TESL dan Sains. Kebiasaannya, program ini akan mengambil masa kira-kira satu hingga dua tahun.
Sementara Diploma pula adalah program pengajian tiga tahun yang menampilkan variasi jurusan termasuk bidang perakaunan, perniagaan, perkomputeran dan banyak lagi. Program ini ditawarkan oleh kebanyakan universiti di Malaysia tidak kira IPTA atau IPTS.
Program Matrikulasi
Untuk program matrikulasi, ia diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang menawarkan dua pilihan program iaitu Program Satu Tahun (PST) dan Program Dua Tahun (PDT). Bidang yang disediakan adalah Sains Hayat, Sains Fizikal, Sains Biologi, Perakauanan dan Teknikal.
Bagi yang berminat untuk meneruskan pengajian dalam program matrikulasi, kadar yuran yang perlu dijelaskan adalah tidak setinggi program yang lain iaitu sekitar RM580 untuk kedua-dua program PST/PDT selain turut hadir dengan bantuan elaun satu semester RM250 atau RM1250 setahun.
Walau bagaimanapun, sukatan pelajaran di Matrikulasi adalah lebih bersifat terbuka berbanding program Diploma yang menawarkan pelbagai jenis jurusan yang lebih spesifik. Bukan itu sahaja, selepas tamat program ini anda akan memperoleh sijil Matrikulasi dan seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Muda.
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
STPM atau Sijil Tingkatan 6 akan ditawarkan secara automatik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia menyediakan subjek pelajaran seakan SPM yang menampilkan dua jurusan iaitu Jurusan Perakauanan dan Jurusan Kemanusiaan selain ia mempunyai tiga semester yang mengambil masa kira-kira satu tahun setengah.
Berbeza dengan STPM sebelum ini, cara pengendalian peperiksaan telah diubah kepada peperiksaan di setiap hujung semester berbanding peperiksaan pada semester terakhir untuk STPM sebelum ini. Bukan itu sahaja, STPM turut melaksanakan pentaksiran baharu iaitu peperiksaan bertulis dan kerja khusus.
Dari segi yuran pula, ia menawarkan yuran asas sebanyak RM120 dan RM90 untuk bayaran setiap matapelajaran. Pelajar perlu mengambil sekurang-kurangnya 4 matapelajaran dan maksima 5 matapelajaran untuk satu semester.
Politeknik
Seterusnya, anda juga boleh meneruskan pengajian untuk program politeknik. Terdapat tiga jenis politeknik iaitu Politeknik Premier, Konvensional dan METrO yang menyediakan bidang-bidang seperti kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan di peringkat separa profesional.
Politeknik Premier: Program ini adalah setanding universiti awam dan permohonan kemasukan adalah melalui Permohonan UPU secara atas talian. Ia menyediakan program pada peringkat Diploma, Diploma Lanjutan dan Sarjana Muda.
Politeknik Konvensional: Ia adalah politeknik biasa untuk lepasan SPM yang menawarkan program pengajian pada peringkat Sijil dan Diploma. Ia terbuka untuk pelajar sepenuh masa dan separuh masa.
METrO: Ia merupakan institusi pendidikan dan latihan bagi memenuhi keperluan sosio ekonomi tempatan yang menyediakan bidang seperti service industries.
Institut Pendidikan Guru (IPG)
Untuk anda yang berminat untuk menceburi bidang perguruan dan menjadi tenaga pengajar di sekolah-sekolah, anda boleh membuat permohonan di maktab perguruan atau lebih dikenali sebagai IPG.
Kementerian Pelajaran Malaysia kini menawarkan jurusan perguruan sehingga ke peringkat Sarjana Muda. Bagi yang berkelayakan, pelajar dikehendaki mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) selama satu tahun atau tiga semester di IPG yang ditetapkan oleh KPM. Kemudian, setelah lulus PPISMP, pelajar akan diberikan sijil dan ditawarkan meneruskan pengajian PISMP selama empat tahun secara sepenuh masa.
Program Teknikal Dan Latihan Kemahiran
Antara program lain yang mungkin anda boleh masukkan di dalam senarai permohonan anda adalah bahagian teknikal dan latihan kemahiran. Ia merupakan program pengajian yang menawarkan bidang kemahiran yang terdapat di Malaysia.
Senarai Institusi Latihan Kemahiran Awam yang ditawarkan adalah:
- Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan yang mana menyediakan kursus: Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Akademi Kemahiran Beli Golf (AKBG)
- Institusi Latihan Jabatan Negara Malaysia (ILJTM) yang membawakan pelbagai bidang kursus di bawah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP)
- Majlis Amanah Rakyat (MARA)
- Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP)
Kursus Lain: Giatmara, Kolej Komuniti Dan Lain-lain
Bukan itu sahaja, anda juga boleh mencuba peluang untuk memohon dan meneruskan pengajian di Latihan Kemahiran GIATMARA yang menawarkan program latihan untuk pelajar berumur 15 tahun ke atas.
Atau, anda juga boleh membuat permohonan di Kolej Komuniti yang tersedia di seluruh Malaysia. Selain itu, jika anda mempunyai minat yang mendalam dalam bidang lain seperti kententeraan, penerbangan dan perubatan, anda boleh mendapatkan kursus di mana-mana institusi seperti Asasi UPNM, Akademi Laut Malaysia (ALAM), Kursus Penerbangan (Aviation), Latihan Separa Perubatan.
________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari atau membuat permohonan meneruskan pengajian di laman rasmi UPU. Selamat mencuba!
Sumber: Info UPU