Adakah Mimpi Akan Memberi Kesan Kepada Tidur Anda?
Pernahkah anda mengalami mimpi sewaktu anda tidur? Jika pernah, ia adalah satu perkara normal dan boleh dialami oleh sesiapa sahaja, tidak kira lelaki atau perempuan, muda atau tua. Mimpi merupakan sebahagian daripada tidur yang mana ia boleh berlaku di mana-mana peringkat tidur, lebih-lebih lagi semasa fasa REM.
Apa itu REM? REM atau rapid eye movement dikenali sebagai peringkat mimpi yang mana sewaktu fasa ini mata akan bergerak dengan laju. Ia akan bergerak dari sisi ke tepi selain gelombang otak lebih aktif berbanding di Tahap 2 dan 3 tidur.

Kebiasaannya, seseorang boleh bermimpi sekitar 4 hingga 6 kali setiap malam. Terdapat kajian mendapati bahawa semua orang akan mengalami mimpi sebenarnya, sama ada mereka mengingati mimpi mereka atau tidak. Lebih-lebih lagi jika terbangun semasa tidur di fasa REM yang mana ia adalah lebih mudah untuk seseorang mengingati mimpi mereka.
Kesan Mimpi Pada Tidur Seseorang
Mimpi boleh dikategorikan sebagai mimpi positif atau negatif. Namun, adakah mimpi boleh memberikan kesan kepada tidur seseorang? Jawapannya adalah ia tidak akan memberi kesan kepada yang mengganggu aktiviti pada keesokan harinya. Secara amnya, mimpi juga tidak memberi apa-apa kesan yang signifikan terhadap tidur seseorang individu.
Namun, terdapat juga penyelidikan menyatakan bahawa kesan mimpi ini bergantung kepada cara gambaran individu itu sendiri. Sebagai contoh, apabila seseorang tidur dalam keadaan yang baik, mereka akan menggambarkan mimpi yang lebih menenangkan dan gembira, manakala orang yang menderita insomnia cenderung mempunyai sedikit emosi yang negatif berkaitan dengan mimpi mereka. Walau bagaimanapun, mimpi yang bahagia atau sedih tidak bermakna anda akan mendapat kesan tidur yang lebih baik atau lebih buruk.
Mimpi Mencerminkan Realiti
Kandungan mimpi sering dikaitkan dengan apa yang berlaku dalam kehidupan seseorang individu. Sekiranya anda mengalami tekanan yang rendah dalam kehidupan sehari-hari, anda mungkin akan lebih cenderung untuk mempunyai mimpi yang lebih positif. Sebaliknya, jika anda tertekan atau cemas pada siang hari, anda mungkin mempunyai mimpi yang tidak menyenangkan dan kualiti tidur dikompromi pada waktu malam.
Menarik mengenai mimpi, anda tidak dapat mengawal mimpi secara langsung. Namun, anda masih boleh mengurus dan mengatur mimpi kepada yang lebih baik dengan cara mengawal pemikiran anda pada siang hari atau sebelum tidur. Dengan ini, ia dapat membantu meningkatkan kualiti tidur sekaligus menjadikan kesihatan badan anda bertambah baik.