Kenapa Perlu Membasuh Baju Baru Sebelum Memakainya?
Semua orang pasti suka akan pakaian yang baharu. Sama ada baju, seluar, tudung atau stokin, semua akan berasa teruja (excited) untuk menggayakannya. Namun tahukah anda, sebelum memakai pakaian baharu, anda perlu membasuhnya dahulu? Kajian menunjukkan bahawa pakaian tersebut adalah lebih kotor dan tidak bersih seperti yang anda lihat. Oleh itu, anda perlu mencuci pakaian tersebut sekurang-kurangnya sekali sebelum memakainya.
Terdapat 3 sebab yang baik untuk mencuci pakaian baru, terutamanya pakaian yang dipakai secara langsung dengan kulit seperti baju, seluar atau pakaian dalam. Hal ini bagi mengelakkan kulit menjadi kemerahan dan berasa gatal-gatal selepas memakainya.
Menghilangkan Pewarna Tambahan Pada Baju
Salah satu sebab untuk mencuci pakaian baru ialah untuk menghilangkan pewarna tambahan yang boleh menyebabkan kerosakan kepada pakaian lain apabila bercampur dan juga mengelakkan daripada warna baju melekat pada kulit.
Kebanyakan kain yang diperbuat daripada serat sintetik (poliester, akrilik) berwarna dengan pewarna azo-aniline. Pewarna ini boleh menyebabkan reaksi kulit yang teruk bagi sesetengah individu, terutamanya kanak-kanak kecil, yang alah kepada kimia. Jika anda mengalami alahan yang teruk, ia akan menjadi ruam yang seakan racun. Sementara untuk tindak balas alahan yang kurang teruk, ia hanya mengakibatkan kulit menjadi kering, gatal-gatal serta keradangan kulit.
Membasmi Bakteria, Kulat Dan Serangga
Bukan itu sahaja, pakaian baharu juga boleh memindahkan kutu, kudis, bakteria, dan kulat dari satu orang ke orang lain apabila pakaian dicuba. Bilik persalinan boleh menjadi tempat pembiakan untuk segala jenis virus dan bakteria.
Membersihkan Kimia Pada Baju
Selain itu, pakaian baru perlu dibasuh untuk mengeluarkan bahan kimia seperti urea-formaldehid. Kimia ini digunakan oleh para pengeluar pakaian untuk meningkatkan warna atau tekstur. Jika anda mempunyai kulit yang sensitif, anda boleh mengalami ruam terutamanya di kawasan kulit seperti ketiak, leher, pinggang dan paha.
Urea-formaldehid merupakan bahan kimia yang digunakan untuk mencegah cendawan daripada terbentuk pada pakaian yang perlu dihantar untuk jarak yang jauh dalam bekas panas dan lembap. Ia mempunyai bau yang sangat kuat yang akan kekal di kain sehingga pakaian dicuci.
Bagaimana Pula Dengan Pakaian Secondhand?
Pakaian dari kedai bundle atau secondhand hendaklah sentiasa dibasuh dan dibersihkan sebelum memakai untuk tujuan kebersihan dan mengelakkan keradangan kulit. Walaupun baju-baju ini mungkin telah dibersihkan sebelum diletakkan untuk jualan, membasuh menggunakan sabun pencuci biasa yang anda gunakan adalah lebih baik. Ini sangat penting jika seseorang di rumah anda sensitif terhadap wangian sabun pencuci dan pelembut.
Kesimpulannya, anda perlu membersihkan semua pakaian baru sama ada sebelum menggayakannya. Hal ini bagi mengelakkan kulit anda mendapat ruam dan gatal-gatal selain mengelakkan daripada virus dan bakteria pada pakaian tersebut merebak ke kawasan lain. Selamat mencuba!