Dyson Corrale – Straightener Rambut Dengan Sistem Pemanasan Pintar
Terdapat sesetengah hair straightener atau pelurus rambut boleh menyebabkan rambut anda rosak jika digunakan dengan kerap. Ia boleh menjadikan rambut anda kasar dan kering. Hal ini kerana, haba pada straightener berkenaan mengeringkan rambut sekaligus membuatkan rambut bercabang dan rosak. Bagi mengurangkan masalah berkenaan, Dyson kini hadir dengan straightener rambut baharu yang menggunakan haba 50 peratus lebih sedikit berbanding jenama lain.
Dyson Corrale membawakan rekaan flexing plates untuk membentuk dan meluruskan rambut lebih mudah. Ia menggunakan manganese copper alloy yang berupaya untuk mengumpulkan rambut dengan lebih kemas dan baik selain dapat meluruskan rambut tanpa menggunakan haba yang banyak.
Menarik mengenai teknologi baru dari Dyson ini, ia juga menyertakan sistem pemanasan dengan kawalan pintar yang dapat mengekalkan suhu yang konsisten dan sama rata. Selain itu, sistem sensor bersepadu turut mengawal suhu plat sekitar 100 kali sesaat, menjadikan ia tidak melebihi suhu yang telah ditetapkan.
Kebiasaannya, untuk meluruskan rambut juga memerlukan masa dan haba yang bersesuaian. Oleh itu, straightener ini membawakan tiga tetapan suhu yang berbeza iaitu 330, 365 dan 410 darjah Fahrenheit. Perbezaan tetapan ini akan menghasilkan waves dan styling yang berbeza.
Bukan itu sahaja, straightener ini juga hadir dengan fleksibiliti tanpa wayar yang membawakan prestasi seakan termal dengan kord dengan kawalan sistem pengurusan bateri pintar untuk mengoptimumkan output haba.
Buat masa ini, straightener ini masih belum ditawarkan di Malaysia. Namun bagi yang berminat, ia bakal dijual pada harga RM2199 dengan pilihan warna Black Nickel/Fuschia dan Purple/Black. Layari laman rasmi Dyson untuk maklumat lebih lanjut.