Carian
3 Langkah Mudah Untuk Memastikan Beg Tangan Kemas
March 12, 2020 Lina Rosli

3 Langkah Mudah Untuk Memastikan Beg Tangan Kemas

Beg tangan memainkan peranan penting dalam kehidupan wanita moden. Lebih-lebih lagi untuk wanita yang mementingkan penampilan harian mereka. Beg tangan dianggap sebagai item fesyen yang sangat sinonim dengan mereka tidak kira umur, kerjaya atau gaya hidup.

Kebanyakan wanita pasti akan mempunyai beg lebih daripada satu. Anda mungkin menggunakan beg yang berlainan untuk ke tempat kerja sementara satu lagi beg tangan lain untuk dibawa berjalan. Malah, kadangkala anda juga akan membawa beg lain yang sesuai digunakan untuk ke acara atau majlis keraian.

Oleh itu, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda langkah yang boleh anda praktikkan untuk menjadikan beg tangan anda lebuh tersusun dan kemas. Berikut adalah 3 tips yang mungkin berguna untuk anda:

Pilih saiz dan jenis beg yang betul

Pemilihan beg yang bersesuaian adalah penting untuk menentukan dan mengurus tabiat penggunaan beg tangan. Saiz beg tangan anda mencerminkan kuantiti barang yang akan disimpan di dalam beg tangan anda. Jika anda seorang yang gemar menyimpan banyak barang di dalamnya, anda perlu memastikan anda memakai beg yang mempunyai poket yang banyak. Hal ini bagi memudahkan anda untuk menyimpannya mengikut jenis barangan. 

FashionValet

Cara lain yang boleh anda praktikkan adalah menggunakan beg dengan saiz yang lebih kecil dan terhad. Menerusinya, anda tidak akan memuatkan barangan yang banyak di dalam beg tersebut sekaligus mendidik anda untuk membawa barangan yang penting sahaja.

Tambah pouch untuk penyusunan yang efisien

Pouch kecil membantu anda menyusun dan mengasingkan barangan mengikut jenis selain mengurangkan risiko hilang apabila diletak berterabur di dalam beg. Anda boleh menggunakan pouch yang berlainan untuk menyimpan ubat-ubatan, barangan kosmetik, barangan elektronik, tisu dan lain-lain. Pilih pouch yang berlainan warna untuk memudahkan anda mengenali item yang dimuatkan di dalam  pouch berkenaan.

FashionValet

Jika anda ingin menukar beg tangan berdasarkan gaya pakaian anda, penyediaan pouch ini membantu anda untuk memindahkan barangan dari satu beg ke beg yang lain. Bukan itu sahaja, ia juga menambah struktur di dalam beg anda dengan mengumpulkan segala barangan di satu tempat. Jadi, pengendalian barangan akan menjadi lebih efisien.

Sediakan bekas sampah di dalam beg

Sampah tisu atau sampul gula-gula sering menjadi masalah untuk setiap wanita. Jadi, untuk mengelakkan semua sampah kotor berkumpul dan bersepah di dalam beg anda, pilih bekas khusus untuk menyimpan semua sampah anda. Dan kemudian pastikan anda mengosongkannya pada akhir setiap hari supaya beg anda akan sentiasa bersih dan hanya mempunyai barangan keperluan sahaja.

________________________________________________________________________

Dengan adanya pelbagai bentuk dan variasi penggunaan, ia memudahkan para wanita untuk membawa barang-barang peribadi seperti dompet, kosmetik dan barangan berharga lain yang mereka perlukan setiap hari.  Sesetengah wanita gemar menggunakan beg mereka untuk menyimpan segala jenis barangan dan peralatan lain yang boleh menyebabkan keadaan di dalam beg menjadi tidak tersusun dan bersepah sekaligus menyukarkan anda untuk mencari sesuatu barang di saat memerlukannya.

Komen