Carian
Betul Atau Salah? Ini 7 Perkara Mengenai Wabak Covid-19
March 13, 2020 Lina Rosli

Betul Atau Salah? Ini 7 Perkara Mengenai Wabak Covid-19

Sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak informasi dan maklumat yang berlegar di arena web mengenai wabak coronavirus iaitu Covid-19. Jadi, ia amat penting untuk semua individu mengetahui mengenai kesahihan sesuatu informasi yang disampaikan. Jadi, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda mengenai Covid-19 bagi membantu anda dan keluarga anda sihat dan selamat.

Virus Covid-19 boleh dipindahkan atau merebak di kawasan yang mempunyai iklim panas dan lembab.

Melihat kepada kes-kes sebelum ini, virus Covid-19 boleh dipindahkan di dalam semua keadaan dan kawasan, termasuk cuaca beriklim panas dan lembab. Lebih-lebih lagi di kawasan atau negara yang berpotensi tinggi. Cara terbaik untuk melindungi diri anda daripada wabak Covid-19 adalah membersihkan tangan anda dengan kerap. Jadikan ia sebagai satu tabiat selepas anda melakukan sentuhan pada barangan yang digunakan oleh orang ramai. Dengan ini, anda dapat menghapuskan virus yang mungkin berada di tangan anda sekaligus mengelakkan jangkitan apabila anda menyentuh mata, mulut, dan hidung.

Adakah semburan alkohol atau klorin di seluruh badan dapat membunuh virus?

Jawapannya adalah tidak. Menyembur alkohol atau klorin di seluruh badan anda tidak akan dapat membunuh virus yang telah memasuki badan anda. Bahkan, jika anda melakukan perkara sedemikian, ia dapat memudaratkan pakaian anda serta memberi kesan kepada mucous membrane seperti mata dan mulut individu. Hal ini kerana, alkohol dan klorin hanya boleh digunakan untuk membasmi permukaan barangan seperti lantai, perabot, dinding dan tidak sesuai disembur ke anggota badan.

Makan bawang putih dapat membantu mencegah jangkitan Covid-19.

Tidak benar. Tidak dinafikan bawang putih adalah makanan yang sihat yang mungkin mempunyai beberapa sifat antimikrobial selain mempunyai allicin yang membantu melawan penyakit seperti sakit jantung dan kanser. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti lain yang menyatakan dengan memakan bawang putih dapat menghalang individu daripada terkena virus Covid-19.

Covid-19 hanya berlaku pada orang tua sahaja. Budak kecil tidak akan dijangkiti wabak ini.

Salah. Wabak ini boleh menjangkiti semua individu daripada semua peringkat umur. Walau bagaimanapun, orang tua atau orang yang mempunyai masalah dan penyakit seperti asma, diabetes, penyakit jantung adalah lebih terdedah untuk mendapat virus berkenaan. Sementara kanak-kanak pula juga cenderung untuk dijangkiti Covid-19, namun simptom yang dialami adalah tidak kelihatan teruk.

Pihak WHO menasihati orang ramai untuk mengambil langkah dan inisiatif untuk melindungi diri mereka daripada virus, contohnya dengan mengikuti kebersihan tangan yang baik dan kebersihan pernafasan yang baik.

Adakah antibiotik berkesan dalam mencegah dan merawat Covid-19?

Tidak, antibiotik tidak berfungsi untuk melawan virus, dan ia hanya berkesan pada bakteria. Coronavirus atau Covid-19 adalah virus yang mana antibiotik tidak sesuai untuk digunakan sebagai pencegahan atau rawatan.

Adakah terdapat ubat-ubatan khusus untuk mencegah atau merawat Covid-19?

Sehingga kini, tiada ubat khusus yang disyorkan untuk mencegah atau merawat virus Covid-19. Walau bagaimanapun, mereka yang dijangkiti virus harus menerima rawatan yang sesuai untuk mengubati dan mengurangkan reaksi virus. Untuk individu yang mempunyai penyakit dengan kes berat, mereka perlu mendapatkan penjagaan dan rawatan sokongan yang optimum.

Individu yang mengalami Covid-19 akan mati.

Ia adalah tidak benar. Covid-19 yang membawa maut mempunyai peratusan kecil untuk segelintir kumpulan masyarakat. Dalam satu laporan baru-baru ini, Chinese Center for Disease Control and Prevention menyatakan bahawa 80.9% kes COVID-19 adalah ringan.

________________________________________________________________________

Dengan ini dapat disimpulkan bahawa kunci utama untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak atau virus Covid-19 ini adalah dengan menjaga kebersihan diri dan sekeliling. Jika anda mempunyai tanda-tanda awal seperti demam dan selsema, dapatkan rawatan kesihatan dengan kadar segera bagi mengelakkan ia tersebar kepada umum. Kurangkan interaksi dan aktiviti di luar lebih-lebih lagi di kawasan orang bagi mengelakkan daripada dijangkiti virus tersebut.

Rujukan: WHO

Komen