Carian
Ini Adalah 5 Pusat Penjagaan Kesihatan Terbaik Di Negeri Selangor
March 16, 2020 Lina Rosli

Ini Adalah 5 Pusat Penjagaan Kesihatan Terbaik Di Negeri Selangor

Penjagaan kesihatan adalah penting untuk setiap individu lebih-lebih lagi sewaktu negera dilanda wabak pandemik, Covid-19. Menerusi penjagaan kesihatan yang baik, ia membantu dalam mengawal sesuatu penyakit atau virus daripada merebak dengan cepat dan menjangkiti orang di sekeliling anda. Bagi anda yang mengalami simptom atau gejala-gejala ringan yang mungkin boleh mendatangkan kemudaratan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang terdekat dengan kadar segera.

Secara amnya, Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang baik dan efisien yang beroperasi dalam dua peringkat iaitu sistem kesihatan universal kerajaan dan juga sistem kesihatan sedia ada swasta. Setiap pusat kesihatan dan hospital bertanggungjawab dalam merawat pesakit yang hadir bagi mendapatkan rawatan. Rawatan yang diberikan juga mestilah berkualiti tinggi dan menggunakan cara yang lebih kos efektif. Oleh itu, hari ini Tajria akan berkongsi kepada 5 pusat penjagaan kesihatan yang boleh anda lawati di Selangor.

KPJ Damansara Specialist Hospital

Hospital Pakar Damansara atau KPJ Damansara Specialist Hospital adalah sebahagian daripada KPJ Healthcare Group yang merupakan pusat penjagaan kesihatan swasta. Ia menawarkan pelbagai perkhidmatan dan servis termasuk Kardiologi, Pembedahan Bariatrik, Onkologi, In Vitro Fertilization (IVF), Ortopedik, Pediatrik & Neonatologi, dan pemeriksaan kesihatan. Bukan itu sahaja, KPJ Damansara juga hadir dengan pelbagai servis lain seperti perancangan keluarga, pendidikan antenatal, pemeriksaan kesihatan wanita, dan PAP smear testing.

Sunway Specialist Centers Damansara

Sunway Specialist Centers Damansara (SSCD) pula memfokuskan kepada perkhidmatan konsultasi, rawatan untuk pesakit luar dan pembedahan biasa. Ia merupakan anak syarikat Pusat Perubatan Sunway (SunMed), salah satu penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia. Setiap Pusat Perubatan dibawah naungan Sunway dilengkapi dengan kemudahan dan kelengkapan moden, disokong oleh pasukan profesional dan berpengalaman untuk bahagian penjagaan kesihatan seperti perunding perubatan, kakitangan kesihatan bersekutu dan jururawat terlatih. Antara servis yang ditawarkan termasuk ginekologi, pediatrik, optalmologi dan dermatologi.

The Tun Hussein Onn National Eye Hospital

Tun Hussein Onn National Eye Hospital (THONEH) telah ditubuhkan pada tahun 1986 oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga. Beliau merupakan pengerusi untuk Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) pada tahun 1975 sehingga 1990. 

Tun Hussein Onn National Eye Hospital telah membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan selama lebih kurang 30 tahun yang mana hospital ini menyediakan penjagaan kesihatan mata khusus yang berkualiti dalam pelbagai kepakaran selain menggunakan teknologi terkini bagi menawarkan rawatan perubatan yang relevan dan maju dalam bidang optometrik.

Avisena Specialist Hospital

Seterusnya, Hospital Pakar Avisena pula merupakan pusat penjagaan kesihatan yang berkembang pesat di Shah Alam yang menawarkan spektrum penjagaan primer, perkhidmatan pakar dan program kesihatan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan untuk setiap lapisan masyarakat. Antara servis dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit seperti diabetes, penyakit jantung, kanser dan gangguan buah pinggang. Hospital ini terletak hanya 15 minit dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, dan 35 minit dari pusat bandaraya Kuala Lumpur. 

Columbia Asia Hospital Bukit Rimau

Hospital Columbia Asia Bukit Rimau adalah sebuah hospital yang menawarkan perkhidmatan kesihatan di Shah Alam. Hospital Columbia Asia mempunyai kakitangan dan jururawat yang berkemahiran tinggi dan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang terkini. Hospital ini juga meliputi pelbagai bidang perubatan seperti Kardiologi, Ortopedik, Rheumatologi, Perubatan Kecederaan Sukan, Pediatrik, Pembedahan Am, Radiologi dan Urologi.

Setiap hospital mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Ia membawakan barisan panel dan doktor yang cukup pakar dan arif dalam pelbagai bidang perubatan kesihatan. Justeru, pesakit harus jelas dengan servis dan perkhidmatan yang ditawarkan di setiap hospital bagi mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik. Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Komen