Persediaan Kawalan Pergerakan – Perlukah Anda Simpan Dan Kumpul Barang Asas?
Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan kawalan pergerakan kepada semua rakyat Malaysia bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Hal ini berikutan peningkatan jumlah individu yang diuji positif Covid-19 sejak beberapa minggu ini. Bagi mengurangkan penyebaran dan jangkitan virus di seluruh kawasan, setiap individu dinasihatkan untuk mengasingkan atau mengelakkan diri daripada menyertai perhimpunan tertutup dan juga berada di kawasan orang ramai.
Jadi sebagai langkah persediaan, anda perlu memastikan rumah anda mempunyai bekalan makanan dan perubatan (jika anda mempunyai penyakit yang memerlukan pengambilan ubat setiap hari) yang mencukupi. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna anda perlu mendapatkan dan memborong segala barangan dan keperluan secara berlebihan di pasaraya dan gedung membeli-belah.
Perlukah stock up bekalan makanan di rumah?
Jawapannya adalah tidak. Anda tidak perlu menyimpan stok yang berlebihan di rumah kerana perniagaan seperti kedai runcit, pasaraya dan farmasi masih beroperasi seperti biasa yang mana anda masih boleh mendapatkan segala kelengkapan jika telah habis. Buat masa ini, anda boleh membeli barangan asas seperti makanan, ubat dan kelengkapan peribadi yang lengkap dengan kuantiti yang memadai bagi tujuan mengurangkan interaksi dan mengelakkan anda berada di kawasan sesak sewaktu tempoh kawalan.

Apakah langkah dan persiapan yang boleh anda lakukan?
Lakukan pemeriksaan kesihatan
Bagi anda yang sering terdedah dengan orang ramai, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik kesihatan yang berdekatan. Lebih-lebih lagi jika anda mengalami gejala batuk dan selsema. Segera dapatkan rawatan yang diperlukan dan terhadkan interaksi dengan orang ramai.
Sentiasa peka dengan berita dan tidak mencetuskan panik
Elakkan penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan panik. Dapatkan informasi dan maklumat yang sahih dan relevan menerusi laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kurangkan aktiviti luar yang tidak penting
Jika anda sakit, pastikan anda duduk di rumah sehingga demam anda pulih. Pastikan anda tidak menyertai mana-mana perhimpunan atau berada di kawasan yang sesak. Elakkan sentuhan dekat (close contact) seperti bersalaman, berpelukan dan lain-lain.
Pastikan anda menjaga kebersihan diri
Basuh tangan menggunakan sabun sekurang-kurangya 20 saat sebelum dan selepas makan. Amalkan tabiat membasuh tangan ketika masuk rumah atau mana-mana bangunan. Guna sanitizer selepas memegang sesuatu objek. Pakai penutup mulut atau tisu muka jika anda batuk atau selsema dan buang di bakul sampah tertutup.
Amalkan gaya hidup sihat
Basuh barangan dan item yang kerap digunakan orang ramai seperti butang lif, tombol pintu dan permukaan meja. Jika anda ada risiko kesihatan yang tinggi, dapatkan bantuan kesihatan daripada pakar. Jauhi makanan dan minuman yang tidak sihat dan ambil ubat fever-reducing jika terlihat gejala awal demam.
________________________________________________________________________
Kesimpulannya, kebersihan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan setiap individu berada dalam keadaan terkawal. Ketahui maklumat dan informasi terkini mengenai isu-isu berkaitan penyebaran virus Covid-19. Jangan panik dan amalkan tabiat hidup yang lebih positif.