Carian
4 Tips Untuk Bekerja Dari Rumah Dengan Efisien
March 19, 2020 tekong

4 Tips Untuk Bekerja Dari Rumah Dengan Efisien

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa dari 18 Mac sehingga 31 Mac, kesemua rakyat Malaysia diperintahkan untuk berada di rumah. Walaubagaimanapun ia bukan bermakna syarikat menutup operasi, malah kebanyakan orang perlu melakukan kerja dari rumah.

Bekerja dari rumah mempunyai cabarannya yang tersendiri. Di pejabat anda mungkin dihujani mesyuarat, gangguan rakan sekerja yang suka bersembang, dan anda mungkin merasakan kerja dari rumah adalah satu alternatif terbaik. Namun kerja dari rumah juga mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Bayangkan di rumah terdapat banyak stok makanan, hiburan yang boleh ditonton pada bila-bila masa, PS4 yang memanggil anda untuk memainkan permainan baru dan mungkin anda dapat elak gangguan rakan sekerja, namun kini ada gangguan orang lain di rumah, sudah pasti ia mengganggu gerak kerja anda seharian.

Berikut merupakan 4 cara untuk bekerja dari rumah dengan efektif.

Mempunyai Ruang Atau Sudut Khusus Untuk Bekerja

Percayalah apabila konsep bekerja dari rumah itu ada, tidak bermaksud anda boleh melakukan kerja tersebut dari bilik tidur. Bahkan sekiranya anda melakukan pelbagai kerja menggunakan iPad di pejabat, tidak bermakna anda dapat melakukan kerja anda diatas katil dengan efisien. Ini adalah apa yang dipanggil sebagai suasana.

Justeru, anda dicadangkan untuk mempunyai satu ruang atau sudut yang terasing dari gangguan suasana sebegini. Jika anda mampu, mungkin boleh membuat satu bilik berasingan untuk tujuan bekerja dari rumah. Bilik atau sudut yang terasing ini juga perlu direka supaya mempunyai suasana kerja, seperti mempunyai pengudaraan yang selesa atau mempunyai pendingin hawa, tertakluk kepada keperluan anda.

Malah tidak keterlaluan jika ruang tersebut perlu mempunyai bau seperti pejabat kerana ia boleh membantu anda menyesuaikan keadaan dari berehat di rumah kepada bekerja dari rumah. Kelebihan mempunyai bilik adalah anda juga boleh mengunci pintu sekaligus teman serumah tidak dapat mengganggu fokus anda.

Jika anda tidak mempunyai bilik terasing, sudut tertentu juga boleh diubahsuai menjadi tempat kerja namun anda mungkin memerlukan kelengkapan tertentu untuk membuatkan anda lebih fokus sewaktu kerja.

Menggunakan Kelengkapan Yang Membantu Kerja Untuk Lebih Fokus

Katil bukanlah tempat yang ideal untuk bekerja jadi mungkin anda perlu duduk untuk melakukan kerja. Anda boleh melakukan kerja dari sofa, atau meja makan. Anda disarankan untuk memiliki kerusi yang selesa dan ergonomik untuk memastikan anda kekal fokus sewaktu bekerja dari rumah. Lebih baik jika anda mempunyai kerusi pejabat di rumah.

Sofa pastinya menjanjikan keselesaan sewaktu bekerja, namun biasa juga membuatkan anda terlentok lena. Jika anda menggunakan meja makan untuk bekerja, pastikan kerusi anda mempunyai kusyen untuk membantu anda duduk dengan lebih lama.

Menggunakan fon kepala juga merupakan salah satu cara untuk fokus dan juga, memberikan isyarat kepada orang lain yang anda tidak mahu diganggu. Jika berkemampuan, mempunyai fon kepala dengan fungsi pembatalan hingar dapat memberikan anda fokus yang lebih baik. Dan anda juga boleh memainkan lagu kegemaran anda yang boleh mempengaruhi fokus anda.

Malah, sekiranya anda mempunyai masalah untuk fokus, satu lagi cara adalah mungkin dengan memakai pakaian pejabat walaupun di rumah. Ia dapat membantu anda secara tidak sedar, dan memberikan perasaan anda sedang bekerja meskipun anda di rumah.

Menetapkan Masa Tertentu Untuk Kerja Rumah

Jika anda bukan tinggal seorang atau anda bukanlah tinggal di rumah bujang, baik anda seorang yang sudah berkeluarga atau tinggal dengan ibu bapa, tentunya ada cabaran khusus untuk situasi ini. Acapkali kerja dari rumah dikaitkan dengan kerja yang boleh ditangguhkan dan disambung kemudian, menyebabkan anda sering diganggu dengan tugasan rumah.

Situasi ini tidak elok untuk produktiviti. Katakan anda sedang fokus menulis atau sedang ditengah-tengah perbincangan atas talian, diganggu tugasan rumah oleh pasangan atau ibu bapa anda dapat merencatkan fokus dan produktiviti.

Justeru selain dari mempunyai bilik khusus, atau menggunakan fon kepala untuk mengisyaratkan tanda anda sedang bekerja, ada baiknya anda menetapkan jadual atau waktu yang anda boleh ‘diganggu’. Dengan kata lain, pada waktu-waktu tersebut, anda boleh melakukan tugasan yang dilakukan seperti membasuh baju, menyidai kain, mencuci pinggan dan pelbagai lagi.

Namun fikirkan juga mengenai situasi, mungkin ada baiknya anda dan pasangan mengambil pusingan untuk melakukan kerja rumah dan juga menjaga dan menghiburkan anak-anak.

Mempunyai Aplikasi Yang Boleh Menghadkan Akses Untuk Sesetengah Aplikasi

Sesetengah pejabat mempunyai polisi dan menghadkan akses internet untuk laman sosial. Perkara ini mungkin menjadi cabaran kerana laman sosial boleh menjadi satu bentuk gangguan konsentrasi dan produktiviti. Terdapat beberapa aplikasi yang boleh mengehadkan akses kepada laman sosial dan berikut merupakan beberapa pilihan untuk anda.

Focus: Aplikasi untuk macOS sahaja ini membolehkan anda mengehadkan akses bukan sahaja untuk internet, malah untuk aplikasi yang lain seperti aplikasi permainan. Ia juga membolehkan pengguna untuk menetapkan status pada aplikasi lain, dan menghidupkan mod Do Not Disturb pada Mac. Anda boleh mencuba aplikasi ini secara percuma selama seminggu.

RescueTime: Aplikasi yang boleh digunakan pada semua platform ini turut mengira waktu produktiviti anda namun untuk mengehadkan akses internet, ia memerlukan langganan sebanyak 6USD sebulan. Atau anda boleh memilih tempoh percubaan selama 14 secara percuma.

FocusMe: Jika anda memerlukan had akses untuk aplikasi pada pelbagai platform, FocusMe ini tersedia untuk Windows, Mac & Android. Berbanding dengan yang diatas, anda boleh menggunakan FocusMe ini pada 5 komputer berlainan. Dan aplikasi ini ditawarkan untuk Android secara percuma.

Meskipun kebanyakannya memerlukan pembayaran, terdapat tempoh percubaan yang membolehkan anda mencubanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Diharap dengan tips asas ini dapat membantu anda melakukan kerja dari rumah dengan efisien. Selamat bekerja dari rumah

Komen