Lina Rosli Diterbitkan 20 March 2020

Jarak Sosial – Adakah Ia Berhasil Melawan Covid-19?

Jarak Sosial – Adakah Ia Berhasil Melawan Covid-19?

Apa itu jarak sosial? Jarak sosial atau social distancing bermaksud menjauhkan diri yang mana tindakan yang dilakukan bagi mengelakkan hubungan dan sentuhan dengan orang lain. Ia sekaligus membantu anda meminimalkan masa sewaktu berada di luar lebih-lebih lagi di tempat awam.

Oleh itu, kerajaan Malaysia telah menyarankan orang ramai untuk mengurangkan aktiviti tidak penting di luar dengan mengumumkan perintah kawalan pergerakan kepada semua rakyat Malaysia sehingga 31 Mac 2020. Melaluinya, orang ramai dinasihatkan untuk mula bekerja dari rumah (jika boleh), tidak melakukan perjalanan keluar, tidak berada di tempat-tempat orang ramai seperti kedai makan, pusat membeli-belah dan lain-lain tempat sosial serta tinggal di rumah selama 14 hari bagi individu yang mempunyai gejalan atau simptom seperti batuk, selsema dan demam.

Bagaimanakah Anda Boleh Mengamalkan Jarak Sosial?

Pertama, anda boleh mengurangkan risiko jangkitan coronavirus atau Covid-19 dengan mengurangkan kadar hubungan anda dengan orang lain. Elak daripada berada di tempat awam dan perhimpunan sosial yang tidak perlu. Ia bertindak sebagai langkah pencegahan awal kepada penyakit berjangkit seperti selesema, batuk dan demam.

people sitting on train seat

Langkah lain termasuk mengurangkan penggunaan pengangkutan awam yang tidak perlu. Sekiranya anda perlu keluar, pastikan anda mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter serta mengelakkan sentuhan fizikal dengan orang lain dalam situasi sosial, termasuk berjabat tangan.

Selain itu, anda turut digalakkan untuk mengasingkan diri dari orang ramai sebanyak yang mungkin. Lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang yang mana anda mungkin tidak tahu siapa pembawa virus dalam kalangan masyarakat. Sekiranya anda tidak dapat menghindari berkongsi bilik mandi atau tandas, bersihkan setiap kawasan ini dengan kerap. 

________________________________________________________________________

Jadi, adakah ia berhasil? Terdapat bukti dari wabak sebelum ini iaitu wabak selsema 1918 dan wabak Ebola pada tahun 2014, penjarakan sosial secara berkesan dapat menghadkan penyebaran jangkitan. Oleh itu, dengan perlaksanaan kaedah ini dapat membendung atau mengurangkan penularan wabak Covid-19 yang kebanyakannya disebarkan melalui batuk atau bersin yang terkena di mana-mana permukaan dan tangan individu. Selain Malaysia, banyak negara-negara lain yang telah mengamalkan kaedah ini bagi mencegah penularan wabak termasuk China, Itali dan negara Eropah yang lain. 

Di China, kerajaan mereka melaksanakan beberapa kawalan ketat iaitu dengan melakukan kuarantin dan pengasingan diri dan bangunan serta mengawasi pergerakan orang bagi mencegah jangkitan yang dilakukan sewaktu melakukan perjalanan. Sementara di Eropah pula, kerajaan mereka mengenakan sekatan perjalanan dan menutup sekolah-sekolah dan tempat-tempat awam lain seperti restoran dan bar. 

Kesimpulan

Dengan ini dapat disimpulkan bahawa kaedah jarak sosial sedikit sebanyak dapat membantu mengawal risiko jangkitan virus dengan mengubah cara berhubung di antara individu. Perubahan ini termasuk mengurangkan hubungan sosial, melakukan kerja dari rumah dan menangguhkan sesi persekolahan dan pembelajaran IPTA dan IPTS dengan tujuan untuk mengurangkan penyebaran wabak. Oleh itu, mari kita bersama-sama melaksanakan perintah yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengurangkan jumlah kes Covid-19 dengan menjaga kebersihan diri dan mengurangkan interaksi di luar rumah.

Rujukan: Newscientist