Kuarantin Di Rumah Menjadikan Anda Sukar Untuk Tidur?
Kini sudah hari ketiga sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Sudah pasti ramai di kalangan anda sudah tidak tahu akan aktiviti apa yang boleh dilakukan di rumah. Bukan itu sahaja, terdapat juga segelintir individu sudah mula rasa mimbang akan kondisi dan keadaan yang sedang berlaku pada masa sekarang sehingga mengakibatkan masalah untuk tidur.

Jadi, apakah yang boleh anda lakukan bagi mendapatkan semula tidur yang lebih baik dan berkualiti? Oleh itu, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda cara atau kaedah yang boleh anda lakukan di rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.
- Melakukan senaman sebelum tidur. Anda digalakkan untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 20 sehingga 25 minit sebelum anda tidur untuk bersenam. Anda boleh melakukan senaman ringan seperti bermeditasi, yoga dan juga senaman aerobik bagi mendapatkan tidur yang lebih nyenyak. Seeloknya, letakkan masa yang tetap setiap hari bagi kesan yang lebih efektif.
- Makan ikut waktu yang ditetapkan. Tidak dinafikan apabila duduk di rumah atau kerja dari rumah anda akan lebih cenderung untuk makan dan minum dengan lebih kerap. Hal ini akan memberi kesan kepada waktu tidur anda yang mana ia disebabkan oleh badan masih lagi memproses makanan yang diambil pada hari tersebut. Sediakan jadual makan untuk pengurusan masa yang lebih baik.
- Melakukan perkara yang santai dan selesa. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di rumah termasuk mendapatkan mandian hangat, melakukan beberapa regangan badan atau body massage dan juga meletakkan wangian aromaterapi di bilik anda. Dengan ini, ia dapat membantu menyelesaikan masalah tidur sekaligus menjadikan anda berasa lebih tenang sebelum tidur.
- Membaca bahan bacaan yang ringan. Sebaik sahaja di atas katil, anda tidak perlu terus tidur. Sebaliknya, cuba buka buku yang menarik minat anda untuk baca sehingga anda merasa letih. Pastikan anda membaca sebelum lampu bilik tidur ditutup.
Berikut adalah beberapa kaedah atau langkah yang mungkin anda boleh praktikkan di rumah yang mana sedikit sebanyak boleh mengurangkan rasa bimbang anda terhadap perkara yang sedang berlaku pada masa kini. Terdapat pelbagai lagi cara lain yang mungkin lebih bersesuaian dengan gaya hidup anda. Selamat mencuba!