Lina Rosli Diterbitkan 23 March 2020

Jom Masak Ikan Bilis Goreng Dengan Bawang Dan Cili Api

Jom Masak Ikan Bilis Goreng Dengan Bawang Dan Cili Api

Ikan bilis goreng cili api dan bawang adalah menu yang sering disediakan oleh kebanyakan individu lebih-lebih lagi jika menginginkan hidangan yang mudah dan cepat untuk disediakan. Ia bukan sahaja mudah, malah juga sedap untuk dijamu seisi keluarga. 

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan ikan bilis goreng:

Bahan-bahan:

  • 1 genggam ikan bilis (ikut citarasa anda)
  • 1 1/2 biji bawang merah besar (dihiris)
  • 3 biji bawang putih (dihiris)
  • 7 tangkai cili api (dihiris)
  • Garam secukup rasa
  • Ajinomoto secukup rasa

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis sehingga rangup. Untuk memastikan ikan bilis anda rangup dan garing, anda boleh belah ikan bilis dan buang bahagian ikan bilis sehingga bersih.
  2. Angkat ikan bilis goreng dan masukkan ke dalam mangkuk.
  3. Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang merah, bawang putih dan cili api yang telah dihiris. Pastikan ia garing dan berbau wangi sebelum anda masukkan ikan bilis yang telah di goreng sebentar tadi.
  4. Gaulkan sehingga sekata dan siap, dan anda boleh hidangkan bersama nasi panas dan lauk yang lain. Selamat mencuba!

Anda juga boleh meletakkan kicap, limau nipis dan petai jika menginginkan hasil yang lebih menyelerakan!